Selain comel, haiwan tersebut dikatakan memiliki personaliti yang unik dan sesuai dijadikan sebagai peneman ketika sunyi.

Bagaimanapun, trend tersebut sudah mulai berubah apabila seorang wanita menyatakan bahawa membela ayam lebih seronok dan menguntungkan.

Wanita itu, Julie Baker dari New Hampshire berkata, selain menternak ayam, dia juga menjalankan perniagaan menjual lampin untuk haiwan itu dan mendapat keuntungan daripadanya.

Cerita Baker, dalam tempoh setahun, dia berjaya menjana pendapatan sehingga AS$50,000 (RM205,475) hanya dengan menjual lampin untuk ayam.

Kain kapas

“Ia merupakan jumlah yang besar dan saya amat terkejut kerana perniagaan ini begitu menguntungkan.

“Jika dahulu, membela ayam sering dikaitkan dengan masyarakat luar bandar, namun kini ia semakin popular dalam kalangan masyarakat di bandar-bandar besar,” ujarnya.

Menurutnya, dia mula membela ayam sebagai haiwan peliharaan kira-kira 10 tahun lalu.

Tutur Baker, dia bersama anak perempuannya terlihat satu video tentang lampin yang dipakaikan pada ayam bagi mengelakkan najis haiwan itu bersepah.

Tertarik dengan produk tersebut, Baker terfikir untuk menghasilkan lampin untuk ayam-ayam peliharaannya memandangkan ayam kesayangannya, Abigail sering membuang air besar di merata-rata tempat.

“Saya rasa idea memakaikan lampin pada ayam itu sesuatu yang bijak dan mula membeli kain kapas untuk dijahit sebagai lampin.

“Tidak lama kemudian, ramai rakan yang juga membela ayam mula menghubungi saya dan menempah lampin buat ayam peliharaan mereka,” jelas wanita berambut perang itu.

Memandangkan ia mula mendapat sambutan yang menggalakkan, Baker kemudian mula menjual lampin ayamnya secara atas talian yang diberi nama Pampered Poultry pada tahun 2010.

Bermula daripada situ, perniagaannya semakin berkembang maju apabila Baker mula dihubungi oleh ramai individu yang membela ayam di sekitar AS yang mahu membeli lampin buat haiwan tersebut.

Sehelai lampin ayam dijual dengan harga AS$18 (RM73.80).

Dalam tempoh sebulan, Baker berjaya menjual 500 hingga 1,000 helai lampin ayam.

Kerja gila

Menyedari perniagaannya semakin mendapat sambutan, Baker menjadi lebih kreatif dengan menjahit gaun untuk ayam.

“Saya turut menjahit gaun untuk ayam dan tidak menyangka ia turut mendapat sambutan,” ujarnya.

Biarpun mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan mereka yang menjadikan ayam sebagai haiwan peliharaan, namun masih ramai yang berpendapat bahawa memakaikan lampin kepada ayam merupakan satu kerja yang gila.

Begitu pun, Baker tidak peduli dengan kata-kata orang di luar sana kerana sebagai individu yang membela ayam, dia faham keperluan haiwan tersebut dan pemakaian lampin menjadikan ayam lebih gembira.

“Sama seperti manusia, ayam juga memerlukan perhatian dan kasih sayang. Memakaikan lampin serta menjaga kebajikan mereka amat penting bagi kesihatan ayam,” ujarnya.