PERASAAN teruja dan gembira jelas terpancar di wajah Pangiran Nurdian Syah Zainal Abidin, 31, ketika menyelusuri Jalan Penarikan yang didakwa dilalui Laksamana Hang Tuah ketika mengetuai misi menyunting Tun Teja di Pahang bagi Sultan Melaka.

Fikirannya cuba membayangkan laluan tersebut sibuk dengan kapal-kapal dagang dan tentera kerajaan terdahulu seperti Sriwijaya, Majapahit, China, Siam dan Aceh yang melalui laluan pintas menghubungkan Selat Melaka ke Laut China Selatan.

Sepanjang menyelusuri laluan tersebut menaiki bot kecil terutama di Sungai Pahang yang luas dan dalam ternyata memberi satu cabaran yang besar kepadanya.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai ekspedisi menyelusuri sungai dari Pahang ke Melaka. Ia ternyata satu pengalaman yang unik dan menarik kerana para peserta juga menggayakan busana Melayu dan berkeris,” katanya.

Pengalaman itu diperoleh semasa menyertai Ekspedisi Menyelusuri Laluan Penarikan Bersejarah Tamadun Awal Melayu bersama 119 peserta lain berusia 19 hingga 45 tahun dengan menaiki 25 buah bot menyusuri sungai dan daratan dari Pahang ke Melaka selama lima hari empat malam bermula 3 Oktober lalu.

Lebih menarik, dalam ekspedisi tersebut, guru Silat Gayung Makrifat itu turut diberi tanggungjawab melakonkan semula watak Hang Tuah yang berbakti kepada sultannya dengan menyunting Tun Teja di Pahang. Hang Tuah dipercayai merentasi Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang sejauh 450 kilometer.

“Pengalaman paling tidak dilupakan apabila ekspedisi kami terlibat dalam gimik menarik sebuah bot beramai-ramai di Jalan Penarikan di Kampung Jambu Lapan, Bahau, Jempol. Lakonan semula itu berlangsung dari Sungai Jempol ke Sungai Muar memandangkan laluan asal dari Sungai Serting ke Sungai Jempol tidak lagi sesuai untuk tujuan itu.

“Bot membawa saya bersama Tun Teja ditarik selama 30 minit berhampiran Sungai Jempol ke daratan menggunakan hampir 10 batang pokok pinang bagi mengalihkannya ke Sungai Muar,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kampung tersebut baru-baru ini.

Tujuan utama

Ekspedisi anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor bermula dari Pekan, Pahang melalui Kampung Gancung Tengah, Kampung Ibam dan Kuala Bera terus ke Serting melalui Kampung Jambu Lapan, Jempol dan melalui Kampung Olak Sepam, Kampung Brohol di Muar dan terus ke muara Sungai Duyung sebelum berakhir di muara Sungai Melaka.

Tujuan utama ekspedisi itu adalah memastikan Laluan Penarikan terpelihara dari sudut sejarah yang merupakan laluan pengangkutan utama bagi menghubungkan satu negeri dengan negeri lain serta antara barat dan timur.

Jalan Penarikan hilang fungsinya sebagai jalan perdagangan penting selepas pengenalan jalan darat yang lebih moden pada zaman penjajah Inggeris di Tanah Melayu (Malaysia).

British mula membina jalan darat seperti landasan kereta api menghubungkan Bahau dengan Kuala Lipis dan beberapa kawasan pantai timur Semenanjung Tanah Melayu sekali gus mengakibatkan peranan laluan sungai sebagai jalan pengangkutan utama sedikit demi sedikit lenyap.

Apabila Laluan Penarikan tidak lagi digunakan, sungai menjadi semakin cetek dan saiznya bertambah kecil sehinggalah pada sekitar tahun 1970-an, kerajaan Negeri Sembilan mengambil inisiatif membangunkan semula lokasi bersejarah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, Jalan Penarikan yang dikenali sebagai Londar Siam itu merupakan sebatang jalan darat antara yang tertua diketahui di Semenanjung Malaysia.

“Ia terletak di Kampung Jambu Lapan dalam daerah Jempol di Negeri Sembilan dengan panjang kira-kira 0.6 kilometer (km) menghubungkan Sungai Serting dan Sungai Jempol.

“Sungai Serting mengalir ke Pahang melalui Sungai Bera dan mengalir pula ke Sungai Pahang yang seterusnya ke Laut China Selatan manakala Sungai Jempol pula mengalir masuk ke Sungai Muar yang melintasi sempadan Negeri Sembilan dan Johor di Gemas lalu mengalir ke Selat Melaka,” ujarnya.

Shamsulkahar yang pernah menjadi setiausaha Persatuan Sejarah Jempol berkata, laluan yang menghubungkan kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu merupakan jalan alternatif para pedagang, pembesar, tentera dan pendakwah Islam selain jalan laut melalui Temasik (Singapura) suatu ketika dahulu.

Jelas beliau, laluan itu mendapat namanya daripada perbuatan menarik perahu dan kapal di laluan darat antara Sungai Serting dan Sungai Jempol.

Bercerita lanjut, beliau memberitahu, Jalan Penarikan yang asal adalah melalui Sungai Jempol sehingga ke Taman Tuanku Puan Chik dan dari situ perahu atau kapal akan ditarik ke daratan menggunakan batang kayu yang bertindak sebagai roda sehingga ke lokasi berhampiran Istana Serting sebelum masuk semula ke Sungai Serting.

“Berhampiran lokasi asal itu juga terdapat tempat dinamakan Parit Siam. Apabila kerajaan Siam menyerang Melaka suatu ketika dahulu, mereka turut melalui laluan ini selain belayar di lautan.

“Tentera Siam yang tiba di tempat ini cuba menggali tanah untuk menyambungkan Sungai Serting dengan Sungai Jempol, tetapi gagal selepas angkatan tentera Melaka berjaya mengalahkan tentera Siam.

“Ini terbukti dengan penemuan beberapa kubur tentera Siam di lokasi berkenaan yang kononnya mati ketika menggali tanah bagi menyambungkan kedua-dua sungai tersebut,” katanya.

Potensi

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting memaklumkan laluan berusia lebih 700 tahun itu juga dipercayai pernah dilalui Hang Tuah ketika misi membawa pulang Tun Teja dari Pahang ke Melaka pada zaman kegemilangan empayar Melaka.

“Terdapat pelbagai versi berhubung kisah Hang Tuah melarikan Tun Teja dari Pahang ke Melaka. Versi pertama mendakwa peristiwa itu berlaku di jalan laut. Bagaimanapun, versi kedua pula mendakwa Hang Tuah membawa Tun Teja melalui Jalan Penarikan.

“Selain itu, buku Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang menyatakan kawasan ini menjadi laluan pemerintah kerajaan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah untuk berundur ke Pahang setelah tewas kepada Portugis pada tahun 1511,” katanya.

Mengulas mengenai Ekspedisi Menyelusuri Laluan Penarikan Bersejarah Tamadun Awal Melayu, beliau menyifatkan ekspedisi tersebut dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang selain menjadikan tempat itu sebagai tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.

Sementara itu, peserta yang melakonkan semula watak Tun Teja dalam ekspedisi tersebut, Murni Safinaz Abu Salim, 28, berkata, ekspedisi berkenaan memberikan pengalaman baharu yang tidak ternilai kepadanya kerana di sepanjang sungai dari Pahang hingga ke Melaka, dia didedahkan dengan pelbagai budaya dan adat resam di setiap kampung yang disinggahi.

“Bagi saya, Jalan Penarikan mempunyai potensi besar untuk dijadikan lokasi pelancongan popular di negara ini jika budaya unik terutama di daerah ini dapat ditonjolkan sekali gus mampu menggamit ramai pengunjung datang ke sini,” katanya yang juga penyampai radio Melaka FM.