Wanita itu yang lebih mesra disapa Nadia bersama adik lelakinya akan terbang ke negara jiran, Singapura selama dua hari untuk satu percutian pendek.

“Sejujurnya, ini merupakan kali keempat saya berkunjung ke Singapura yang juga lebih terkenal dengan jolokan Kota Singa itu.

“Setiap kali berkunjung ke Singapura, saya tidak pernah risau untuk memilih waktu penerbangan memandangkan terdapat banyak syarikat penerbangan yang menawarkan tiket untuk laluan itu.

“Jadi, amat mudah untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Singapura termasuk dengan tawaran harga yang menarik, saya cuma perlu pilih waktu penerbangan sahaja,” ujarnya yang memilih untuk terbang ke Singapura dengan menaiki pesawat syarikat penerbangan Malindo Air kali ini.

Kemudahan mendapatkan pesawat antara Kuala Lumpur (KL) dan Singapura cukup memudahkan perjalanan penumpang.

Jarak perjalanan yang hanya memakan masa selama satu jam itu juga menjadikan perjalanan ulang-alik antara dua negara jiran itu atas pelbagai urusan menjadi sangat mudah.

 

30,537 penerbangan

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh syarikat OAG Aviation iaitu pusat pengumpulan data dan jadual penerbangan di dunia mendapati, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapura menjadi laluan penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia.

Data yang direkodkan dari Mac 2017 sehingga Februari 2018 mencatatkan sebanyak 30,537 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Sebagai pengendali lapangan terbang, Pengurus Besar Pemasaran Penerbangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohamed Sallauddin Hj. Mat Sah memberitahu, dalam tempoh sehari, terdapat anggaran 40 penerbangan antara KLIA dan terminal keduanya, klia2 ke Lapangan Terbang Changi Singapura.

“Ini bermakna, dalam tempoh seminggu, terdapat lebih 300 penerbangan antara ketiga-tiga lapangan terbang tersebut, menjadikan ia sebagai laluan atau route antarabangsa paling sibuk di dunia,” katanya ketika ditemui kru Panorama di pejabat beliau yang terletak di KLIA.

Berkata lanjut, Mohamed Sallauddin berkata, antara faktor yang mendorong jumlah penumpang yang tinggi bagi laluan itu ialah urusan perniagaan serta melancong memandangkan kedua-dua buah negara itu memi­liki tarikannya yang tersendiri.

Mengulas lanjut tentang jenis penumpang yang menggunakan penerbangan antara dua bandar raya besar itu, Mohamed Sallauddin memberitahu, ia atas pelbagai urusan seperti ahli-ahli perniagaan yang berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Singapura atas urusan kerja selain para pelancong.

 

Urusan perniagaan

“Bagi jenis penumpang yang menggunakan laluan ini, data MAHB merekodkan bahawa kebanyakan penumpang terbang antara dua lokasi tersebut atas empat urusan utama iaitu urusan kerja, melancong, melawat rakan-rakan dan ahli keluarga serta pelajar Malaysia yang menuntut di universiti-universiti di Singapura.

“Sebab-sebab inilah yang mendorong jumlah penerbangan yang tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura,” jelasnya.

Buat masa ini, terdapat sepuluh buah syarikat penerbangan yang menerbangkan pesawat antara Kuala Lumpur dan Singapura.

“Tiga daripada syarikat penerbangan tersebut adalah syarikat penerbangan tempatan iaitu Malaysia Airlines, Malindo Air dan AirAsia, manakala empat yang lain merupakan syarikat penerbangan dari Singapura iaitu Jetstar Asia, SilkAir, Scoot dan Singapore Airlines. Tiga syarikat antarabangsa iaitu Air Mauritius, Ethiopian Airlines dan Uzbekistan Airlines juga menjalankan operasi penerbangan antara Kuala Lumpur ke Singapura dan menggunakan Singapura sebagai destinasi pengantara ke destinasi lain.

“Hanya AirAsia, Scoot dan Jetstar Asia yang menawarkan penerbangan dari klia2 dan selebihnya menawarkan penerbangan dari KLIA,” jelas Mohamed Sallauddin.

MAHB menjangkakan adanya pertambahan bilangan penumpang bagi laluan paling sibuk di dunia itu untuk tahun ini.

“Data yang diperoleh sehingga Disember 2017 mencatatkan pertambahan bilangan penumpang antara Kuala Lumpur dan Singapura sebanyak enam peratus.

“Biarpun peratusannya jauh lebih kecil berbanding bandar-bandar utama lain seperti Kuala Lumpur ke Ho Chi Minh (14%) dan Siem Reap (12%), pertambahan penumpang itu menunjukkan bahawa laluan ini mungkin terus sibuk untuk beberapa tempoh lagi,” ujarnya.

Sebagai pengendali lapangan terbang negara, Mohamed Sallauddin berkata pihak MAHB sentiasa komited dalam memastikan industri penerbangan negara mencatat pertumbuhan memberangsangkan agar Malaysia dapat muncul sebagai hab penerbangan terulung dunia. Ujarnya, ia boleh dilakukan dengan menggalakkan syarikat penerbangan beroperasi dari KLIA dan klia2 untuk saling mengintegrasikan operasi penerbangan yang memberikan lebih kemudahan kepada penumpang transit apabila ingin membuat pertukaran terminal yang juga dikenali sebagai interlining.

 

Pesawat berbadan sempit

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Izham Ismail pula memberitahu, penumpang yang menaiki pesawat MAB dari Kuala Lumpur ke Singapura dan sebaliknya terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat.

“Sebagai sebuah syarikat penerbangan, MAB teruja apabila mendapati laluan antara Kuala Lumpur dan Singapura merupakan laluan paling sibuk di dunia.

“Hal ini menunjukkan hubungan baik antara kedua-dua negara jiran itu yang menyebabkan sentiasa ada pergerakan penumpang antara kedua-dua buah negara,” ujarnya.

Kata Izham, kekerapan penerbangan MAB antara dua bandar raya itu ialah sebuah bagi setiap sejam, manakala pesawat yang digunakan ialah Boeing 737-800.

“MAB menggunakan pesawat berbadan sempit berbanding berbadan lebar kerana ia lebih menjimatkan kos untuk penerbangan yang kerap,” ujarnya sambil menambah 45 peratus penumpang MAB bagi laluan tersebut adalah rakyat Malaysia.

Syarikat penerbangan tempatan AirAsia dalam satu kenyataan pula memberitahu, dalam tempoh seminggu, terdapat 140 penerbangan menggunakan pesawat Airbus A320 antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Data yang direkodkan bermula Mac 2017 sehingga bulan Februari 2018, mendapati, syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia itu mencatat kapasiti tempat duduk melebihi 1.3 juta dan dengan muatan melebihi 95 peratus bagi laluan itu.

Ia menunjukkan terdapatnya pertambahan permintaan bagi penerbangan tambang murah, khususnya bagi laluan jarak dekat antara KL dan Singapura.