Wanita tersebut, Tsubaki Tomomi, 39, dalam satu temu bual bersama majalah terkenal Jepun, Caba2 memberitahu bahawa dia telah menjalani sehingga 300 kali pembedahan plastik sejak 21 tahun lalu untuk kelihatan cantik dan sempurna.

Bahkan, demi mencapai impiannya untuk menjadi cantik, Tomomi telah menghabiskan wang sehingga 30 juta Yen (RM1.1 juta) bagi membiayai kos pembedahan plastik ke atas dirinya.

Tomomi bertindak agresif menjalani pembedahan plastik sehingga beratus-ratus kali kerana dia berasa trauma selepas menjadi mangsa hinaan dan ejekan oleh ibunya sendiri.

Hal ini kerana, sejak kecil, Tomomi sering diejek dan dimarahi ibunya kerana dianggap memiliki wajah yang hodoh dan pelik. Tindakan ibunya itu telah membuatkan Tomomi berasa sangat sedih dan trauma sebelum dia tekad untuk membuat pembedahan plastik apabila dewasa nanti.

Selepas tamat sekolah, Tomomi telah menjalankan pembedahan plastik pertamanya ketika berusia 18 tahun. Perkara pertama yang dilakukan wanita itu adalah dengan membaiki giginya agar kelihatan lebih tersusun.

Trauma

Dalam tempoh dua tahun, Tomomi telah menjalani pembedahan plastik di beberapa bahagian badannya termasuk membesarkan payudara dan kelopak matanya.

“Begitu pun, beberapa pembedahan plastik yang dibuat itu masih belum cukup memuaskan hati saya,” ujar Tomomi.

Selepas berjaya melakukan beberapa pengubahsuaian pada anggotanya, Tomomi masih berasa terdapat kekurangan yang perlu dibaiki.

Sejak itu, wanita tersebut seakan-akan menjadi obses untuk melakukan lebih banyak pembedahan plastik untuk tampil cantik dan menawan.

Bahkan, dalam temu bual itu, Tomomi mengakui bahawa dia tidak mempunyai perancangan untuk berhenti daripada melakukan pembedahan plastik hingga akhir hayat.

“Ejekan dan hinaan yang dilemparkan ibu serta rakan-rakan di sekolah menjadi punca utama untuk saya melakukan pembedahan plastik.

“Kehidupan semasa kecil membuatkan saya menjadi trauma dengan penampilan diri dan tekad untuk mengubah wajah menjadi orang lain yang lebih cantik,” katanya.

Tomomi turut mendedahkan dalam sesi temu bual bersama majalah Caba2 bahawa dia sering menjadi mangsa hinaan ibunya sendiri kerana berwajah hodoh, bahkan digelar sebagai gadis buruk di hadapan orang lain.

Model popular

Setiap kali tiba musim perayaan seperti sambutan tahun baharu, Tomomi akan menyisihkan diri daripada saudara-mara kerana dia tahu, dirinya bakal dimalukan di hadapan mereka.

Walaupun Tomomi pernah menyatakan hasrat untuk menjalani pembedahan plastik, ibunya yakin bahawa anak gadisnya itu tidak akan berubah menjadi cantik dan akan kekal hodoh selama-lamanya.

Selepas berjaya melakukan beberapa pembedahan plastik menggunakan wang simpanan yang dikumpul sejak di bangku sekolah, Tomomi telah mendapat tawaran menjadi penghibur dan model popular terutama di Hokkaido.

Sehingga hari ini, Tomomi telah membelanjakan sehingga 30 juta Yen (RM1.1 juta) untuk melakukan pembedahan plastik, termasuk menjalani beberapa prosedur lain seperti rawatan laser dan rawatan untuk menegangkan kulit.

Terkini, Tomomi baharu sahaja membuat sejenis rawatan kulit yang dipanggil Intima Laser yang memakan belanja hingga mencecah 160,000 yen (RM6,079).

Akibat selalu dihina hodoh oleh ibunya sendiri, seorang gadis bernama Tomomi telah melakukan hingga 300 kali pembedahan plastik untuk kelihatan cantik dengan kos mencecah lebih RM1.1 juta.