Loji janakuasa solar berkeluasan 50 hektar yang beroperasi di Kampung Pasir, Jalan Teluk Intan, Bidor sejak Oktober tahun lalu itu telah diusahakan oleh Gading Kencana Development Sdn. Bhd. (GKDSB).

GKDSB merupakan sebuah syarikat milik bumiputera sepenuhnya dan mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam industri pembekalan tenaga solar di negara ini.

LSSPV adalah projek terbesar syarikat tersebut selain mempunyai satu lagi ladang solar di Ayer Keroh, Melaka dengan keluasan tujuh hektar.

Projek di Ayer Keroh itu merupakan ladang paling cekap di dunia yang mampu mengeluarkan 1MW dalam setiap 0.61 hektar berbanding piawaian dunia 1MW dalam setiap 2.02 hektar.

Bercerita lanjut mengenai perusahaan tenaga solar itu, Pengarah Urusan GKDSB, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, projek ladang solar pertama yang diusahakan oleh syarikat tersebut ialah di Ayer Keroh pada tahun 2014 dengan pelaburan berjumlah RM84 juta yang mampu menjana 10 juta kilowatt jam (kWh) setahun.

“Pengalaman (GKDSB) membangunkan projek ladang solar di Ayer Keroh telah membolehkan syarikat tersebut berjaya dalam bidaan LSSPV di Bidor, Perak.

“Kami menjadi satu-satunya syarikat bumiputera individu yang terpilih dalam senarai bidaan tersebut,” katanya ketika ditemui K2 di Wisma Gading, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Terangnya, LSSPV itu akan menghasilkan 53,651,000 kilowatt jam (kWh) setahun dan menjimatkan 800,000 tan pelepasan karbon.

Duit simpanan

Ladang tersebut menggunakan sebanyak 110,500 keping solar modul buatan Malaysia dan mewujudkan sekitar 304 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Kapasiti ladang solar sebanyak 30MW setahun akan menjimatkan 800,000 tan pelepasan karbon.

“Sehubungan itu, pembinaan tersebut juga adalah sejajar dengan hasrat negara untuk mencapai sasaran 2,080MW pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2020 di bawah Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pelan Tindakan,” ujar anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Mengimbau kembali awal penubuhan GKDSB, beliau menggunakan duit simpanannya dan isteri, Datin Hasnah Awang sebanyak RM2,000 untuk menubuhkan syarikat tersebut pada tahun 1998.

“Ketika itu Malaysia mengalami kegawatan ekonomi maka, sukar untuk kami mendapatkan pinjaman bank.

“Saya turut menjual rumah berharga RM280,000 dan menggunakan kad kredit berjumlah RM50,000 untuk mengembangkan perniagaan,” tutur anak sulung daripada lima beradik itu.

Tambahnya, beliau menggunakan pengalaman selama 10 tahun sebagai pengurus pemasaran di sebuah syarikat elektronik untuk menjalankan perniagaan solar.

Beliau memilih perniagaan solar kerana ingin mencari kelainan memandangkan ia masih baharu dan ramai tidak tahu.

Produk pertama yang dijual oleh syarikat tersebut ialah lampu solar taman tetapi setahun kemudian ia mendapat saingan hebat daripada China yang menawarkan harga lebih rendah.

Produk baharu

Tidak mahu mengalah, Guntor telah mengambil langkah seterusnya dengan memperkenalkan produk baharu iaitu lampu solar jalan dan seterusnya solar hibrib di sekolah luar bandar.

“Sekitar tahun 2011 kerajaan membuka Feed-in Tariff iaitu mekanisme polisi yang direka untuk mempercepatkan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui.

“Syukur saya berjaya dalam permohonan tersebut dan memulakan projek ladang solar pertama di Melaka,” tutur bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Kejayaan projek di Melaka membuka lembaran baharu buat GKDSB apabila mendapat lesen untuk membuka ladang solar berskala besar di Bidor.

Guntor memberitahu, Bidor dipilih untuk projek berskala besar itu kerana pencahayaannya lebih baik begitu juga pengudaraan angin yang membantu menjana lebih banyak tenaga solar.

Loji itu juga melakar sejarah kejuruteraan di negara ini kerana buat pertama kalinya telah berjaya menyambung tenaga elektrik ke 132KV grid kebangsaan.

Tenaga solar GKDSB dijual kepada Tenaga Nasional Bhd., (TNB), syarikat korporat dan tidak ketinggalan dieksport ke Arab Saudi serta Kemboja.

Beliau merakamkan ribuan terima kasih atas sokongan daripada agensi kerajaan seperti Unit Peraju Agenda Bumiputera, Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd., SME Corp., Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan SME Bank yang banyak membantu syarikat tersebut dalam projek ladang solar.

Sehubungan itu, tidak hairanlah GKDSB menerima beberapa penghargaan seperti Anugerah Tenaga ASEAN buat kali kedua pada tahun 2018 dan Tokoh Anugerah Usahawan Mara 2017.

Sementara itu, Pengurus LSSPV di Bidor, Nurul Hidayah Mohamad Sahudi, 27, berkata, seramai 15 orang staf bertugas di ladang tersebut yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu penyelenggaraan ladang solar dan sistem elektrik.

Rondaan

“Kami akan melakukan rondaan dua hari sekali di kawasan ladang bagi memastikan tidak berlaku sebarang kerosakan dan semuanya sistem berjalan dengan lancar.

“Tanah di kawasan Bidor sangat subur dan rumput cepat tumbuh panjang maka, kami akan memastikan rumput sentiasa dipotong rapi kerana ia akan mengganggu sistem serta penyerapan tenaga solar,” terangnya yang berasal dari Hutan Melintang, Perak.

Ujarnya lagi, panel solar tahan lasak dan tidak perlu ditukar dengan kerap.

Begitu juga dengan pembersihan panel yang akan dibuat mengikut kondisinya sekiranya terdapat najis burung atau debu.

Nurul Hidayah memberitahu, waktu hujan mengganggu sedikit operasi di ladang itu kerana hanya mampu menjana sekitar 120,000 hingga 130,000 kWh sehari berbanding hari biasa sekitar 160,000 kWh.

Penjanaan tenaga matahari sangat kritikal ketika jerebu dan gerhana matahari.

Dalam pada itu, penyelia ladang solar di Ayer Keroh, Melaka, Mohd. Zaid Abd. Aziz, 32, berkongsi pengalaman ketika kejadian jerebu sekitar tahun 2016.

“Ketika itu penjanaan solar telah menurun sebanyak 20 hingga 25 peratus dan berlanjutan selama seminggu.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu menunggu jerebu tersebut kembali pulih,” cerita bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Mengulas lanjut mengenai pengoperasian di ladang tersebut, Mohd. Zaid berkata, dia dibantu oleh empat orang staf yang terdiri daripada jurutera, pekerja am dan juruteknik

“Di ladang ini sebanyak 29,092 keping solar dipasang dan kami bertanggungjawab untuk memastikan sistem berfungsi dengan baik begitu juga keadaan sekitar panel.

“Jika di kawasan industri yang berdebu maka, pembersihan panel itu perlu dilakukan dengan lebih kerap tetapi ladang di Ayer Keroh berada jauh daripada kawasan industri,” ulasnya yang berasal dari Bera, Pahang.

Kesemua solar yang dijana oleh panel itu akan disalurkan terus ke pencawang TNB yang terdekat.

Gading Kencana Development Sdn. Bhd. mengusahakan ladang solar di Bidor, Perak dan Ayer Keroh, Melaka yang mampu menjana hampir 54 juta kilowatt jam setahun.