Penjara pertanian itu adalah sebuah ladang di bandar Mariestad yang terletak kira-kira 300 kilometer dari bandar Stockholm.

Alfred yang berusia 50-an dipenjarakan sejak April lalu kerana memiliki senjata secara haram. Dia akan dibebaskan pada bulan November ini.

Dia kini gembira dapat menghabiskan waktu dengan binatang ternakan di ladang itu.

“Saya suka haiwan ternakan ini. Ia menenangkan saya,” katanya.

Di Sweden penjara pertanian ini dikenali sebagai Rodjan.

Terdapat tiga ladang di negara ini yang menjadi lokasi untuk para banduan bekerja.

Setiap hari Alfred dan rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Sofian akan bekerja selama dua setengah jam pada waktu pagi dan petang.

“Saya juga bertanggungjawab untuk membersihkan kandang bagi mengelakkan jangkitan bakteria,” katanya.

Antara tugas lain yang dilakukan oleh penghuni penjara di ladang ternakan itu termasuklah menyiram tumbuh-tumbuhan, mengecat semula pagar, memotong rumput dan lain-lain lagi.

Sweden adalah antara negara yang mempunyai tahanan di penjara yang paling sedikit di dunia.

Nisbah penghuni penjara di negara itu adalah 0.5 per 1,000 penduduk dan jumlah itu separuh daripada Perancis yang mempunyai nisbah satu per 1,000.

Tetapi negara Scandinavia itu membelanjakan dua kali lebih banyak daripada Perancis untuk setiap tahanan.

Latihan vokasional

Dalam masa sama Sweden juga turut melabur dalam penyatuan semula untuk banduan dengan mewujudkan kelas bahasa dan latihan vokasional.

“Ia adalah sistem yang dijalankan untuk membawa kembali pesalah ini ke dalam masyarakat dengan cara yang baik. Jadi, mereka tidak akan mengulangi kesalahan dan kembali ke penjara lagi,” kata Ketua Institut Rodjan, Britt Marie Johansson.

Sama seperti penjara lain di Sweden, mereka yang tinggal di Rodjan turut mempunyai bilik tahanan sendiri tetapi ia tidak dikunci.

Tiada kamera keselamatan, tiada pintu berkunci dan tiada wayar berduri dan penghuni di situ bebas untuk bergerak.

Penghuni Rodjan adalah mereka yang melakukan pelbagai kesalahan seperti memandu tanpa lesen, tidak membayar cukai dan lain-lain lagi.

Kesemua banduan yang diletakkan di situ dianggap tidak mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan ancaman kepada masyarakat.

“Kami mengira jumlah tahanan pada waktu pagi, tengah hari dan malam. Kami tahu mereka berada di mana sepanjang masa.

“Mereka tahu jika melakukan sesuatu yang salah, mereka akan dipindahkan ke penjara yang mempunyai tahap keselamatan yang lebih tinggi,” jelas Johansson.

Dalam pada itu, Alfred menjelaskan dia bertanggungjawab untuk menutup pagar kandang selepas selesai memerah susu lembu.

“Sebenarnya lembu yang terkunci lebih lama daripada tahanan,” katanya sambil ketawa.

Penghuni penjara itu bekerja selama 35 jam untuk tempoh seminggu dan mereka dibayar sebanyak AS$1.15 (RM4.70) sejam.

Sementara itu, Pengurus Pengeluaran Ladang, Michael Henningsohn memuji kerja-kerja yang dilakukan oleh tahanan.

“Banyak daripada mereka melaksanakan tugas dengan baik walaupun tidak pernah melakukan kerja tersebut sebelum ini.

“Saya tetarik dengan sikap mereka. Selepas hanya beberapa hari diberi latihan mereka boleh melakukan kerja dengan baik,” jelasnya.

Pada tahun 2012, ladang itu telah menerima anugerah daripada Raja Carl XVI Gustaf atas kualiti susu lembu yang dihasilkan oleh mereka. – AFP