Tidak seperti musim perayaan sebelum ini, musim perayaan kali ini kita masih lagi bercakap dengan hal berkaitan pilihan raya.

Kita akan terus menganalisis dan melakukan pelbagai ramalan dengan apa yang bakal berlaku dengan parti politik tertentu dan sejauh mana pula parti baharu yang memenangi pilihan raya akan mampu memenuhi manifesto mereka.

Sebelum ini, sebab kita diperintah oleh kerajaan yang sama, sangat jarang kita mengambil tahu sama ada manifesto itu dipenuhi atau tidak.

Kini, kelihatannya semua mata memandang dengan setiap dasar baru Kerajaan Pakatan.

Seboleh-bolehnya apa yang dijanjikan itu mestilah dipenuhi.

Bagaimanapun, tatkala kita berbual-bual dengan sanak-saudara, ada baiknya kita juga mengetahui mereka di ‘pihak’ yang mana.

Memanglah, politik baharu ini tidak menghalang kita untuk menyokong sesiapa pun secara terbuka, sekurang-kurangnya di luar waktu bekerja, tetapi perlu di ingat kekalahan Barisan Nasional yang lalu ‘melukakan’ hati banyak pihak.

Ikhlas

Kejayaan Pakatan Harapan mungkin menggembirakan mereka yang menyokongnya, tetapi secara tidak langsung ia menyebabkan banyak juga yang bersedih, khususnya kelompok warga emas yang selama ini menyokong Barisan Nasional sejak era Parti Perikatan lagi.

Mungkin sesetengah orang bertanya, mengapa perlu kecewa?

Bukankah demokrasi telah dilaksanakan dan rakyat telah memilih apa yang mereka rasa terbaik untuk mereka?

Manusia dikatakan mempunyai dua jenis nostalgia iaitu restoratif dan reflektif.

Mereka yang didominasi oleh nostalgia restoratif selalu membayangkan untuk membina semula apa yang sudah berlalu.

Misalnya, mereka yang putus cinta ketika remaja, masih lagi bernostalgia untuk mengahwini kekasih lamanya sedangkan mereka mungkin sudah berada pada penghujung usia.

Nostalgia reflektif pula keadaan seseorang itu menerima keadaan yang lalu seadanya.

Mereka hanya sekadar mengingatinya, tetapi tidaklah berhasrat untuk mengulanginya semula.

Dalam kedua-dua keadaan, nostalgia restoratif lebih menyedihkan. Ia selalu mengekori kehidupan manusia.

Dalam erti kata yang lain, ia seolah-olahnya memaksa kita untuk menidakkan hakikat sebenar bahawa tidak semua keadaan dapat kita ulang semula.

Ia adakalanya hanyalah fantasi sahaja.

Walaupun nostalgia tadi lebih dikaitkan dengan hubungan antara manusia, tetapi dalam politik pun, mungkin nostalgia ini ada kaitannya.

Mereka yang berusia 60 tahun ke atas misalnya, mungkin sejak kecilnya sudah sebati dengan dua parti utama iaitu Barisan Nasional dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Mereka mungkin antara generasi paling ikhlas dalam berpolitik yang mungkin ketika mudanya perlu berkempen dengan parti masing-masing dalam keadaan serba kekurangan.

Tidak hanya sekadar perlu menampal poster di pohon kayu, tetapi ada yang perlu menjahit sendiri bendera parti.

Bagaimanapun, berbanding dengan PAS yang sudah terbiasa dengan kekalahan, umumnya Barisan Nasional yang memenangi semua pilihan raya.

Jadi, kekalahan dalam pilihan raya kali ini tentu ada implikasi yang sangat besar kepada psikologikal mereka.

Sebab itu, kepada generasi muda khususnya, berhati-hatilah ketika berbual dengan ahli keluarga yang lain ketika mengunjungi mereka.

Janganlah terlalu ekstrem dengan fahaman politik tertentu kerana adakalanya ia mungkin akan menyebabkan ada pihak yang kurang selesa.

Kita mungkin tidak memahami apa yang pernah dilalui oleh generasi emas ini dalam sejarah kehidupan mereka.

Pengalaman

Mereka menyimpan pengalaman yang berbeza dengan generasi hari ini.

Pengalaman yang berbeza inilah membuatkan mereka menilai sesuatu dengan cara yang berbeza.

Jika kita tanyakan kepada generasi warga emas yang berusia 70 tahun ke atas misalnya, apakah yang mereka bayangkan sebagai orang Jepun, mereka tentu akan menggambarkan bahawa orang Jepun sebagai tentera Jepun yang kejam, membawa senapang dan membunuh manusia.

Sebab cerita-cerita itulah yang dikongsikan dari satu zaman ke zaman yang lain.

Realitinya, masyarakat muda Jepun sendiri pun mungkin tidak tahu bagaimana rupanya askar Jepun pada zaman silam.

Generasi muda di Malaysia pula mungkin membayangkan Jepun sebagai sebuah syurga pelancongan yang ingin dilawati.

Jadi, begitu kuatnya nostalgia itulah yang menjadikan sama ada seseorang menerima atau menolak dengan apa yang berlaku dengan hidup mereka.

Nostalgia itu pula bergantung dengan apa yang kita lalui.

Ada baiknya, pada musim perayaan ini kita kurangkan bercakap dengan hal politik.

Sebaliknya, bercakaplah hal keluarga atau hal yang menggembirakan mereka yang lebih tua daripada kita.

Salam Aidilfitri untuk semua pembaca. Moga sambutan Aidilfitri tahun ini akan menjadi nostalgia yang indah untuk kita kenang puluhan tahun nanti.