Rutin berkenaan akan dilakukan Mohd. Fakhrullah Zainul, 33, dalam tempoh satu atau dua bulan sekali mengikut keperluan. Jika sudah berhabuk atau disewa, dia perlu memastikan barangan antik berkenaan diletakkan kembali dengan sempurna di atas rak kaca itu.

Sudah menjadi tanggungjawab Mohd. Fakhrullah atau lebih mesra di sapa Along untuk memastikan lebih daripada 500 barang antik pelbagai rupa berada dalam keadaan baik.

Tugasnya sebagai Pengurus MHZ Propping House bukan sahaja memastikan barangan tersebut berada dalam keadaan bersih malah dia juga merupakan individu yang turut sama mencari barangan lama berkenaan.

Katanya, mencari dan mengumpul barang antik berkenaan bukan hanya untuk simpanan semata-mata sebaliknya ia adalah prop yang boleh disewa oleh produksi filem, drama, teater, muzik video atau komersial.

Babak lama

“Koleksi barangan antik yang terdapat di gudang ini merupakan barangan yang kerap disewa oleh produksi filem untuk menghidupkan sesebuah babak. Kebanyakan filem yang memerlukan barangan lama ini adalah filem yang mengangkat tema-tema pada zaman 1960-an hingga 1980-an.

“Antara filem yang mendapatkan barang-barang di sini ialah Sepet, Munafik, Pulang dan Mat Kilau,” katanya ketika ditemui di gudang bersaiz 650 meter persegi yang terletak di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

Disebabkan filem-filem berkenaan memerlukan persekitaran sama seperti zaman dahulu, maka banyak peralatan yang sukar atau hampir tiada di pasaran.

“Mengambil contoh ruang dapur pada zaman 1980-an, lazimnya terdapat gerobok, dapur tungku dan lampu minyak tanah. Penonton mungkin tidak dapat melihat dengan mata kasar barang-barang berkenaan tetapi ia memainkan peranan penting dalam menghidupkan sesebuah babak.

“Disebabkan itu, syarikat produksi akan mencari barang-barang antik ini. Mereka akan cuba sehabis baik menghidupkan kembali suasana pada zaman dahulu supaya penonton turut dapat menjiwainya,” ujarnya.

Kebanyakan barang yang sering disewa ialah radio, telefon, keris, poster, pasu bunga, televisyen, alatan perabot seperti meja sisi, almari, kerusi rotan dan bangku. Selain itu terdapat juga prototaip senapang, dapur dan meja lama.

Dahulu boleh dikatakan kebanyakan rumah mempunyai gramofon iaitu alat yang berfungsi memainkan piring hitam tetapi ia semakin sukar didapati kerana sudah rosak dan dibuang.

“Gramofon yang kami ada ini dibeli pada harga RM4,300. Ia dikatakan wujud sekitar tahun 1950-an. Perbezaannya boleh dilihat pada kelopak pembesar suara ini, biasanya ia berwarna keemasan tetapi yang ini berwarna hitam keperangan,” terangnya sambil memaklumkan nilai kesemua barangan antik yang disimpan pihaknya mencecah hampir RM3 juta.

Menurut Mohd. Fakhrullah lagi, barang-barang yang ada di gudang itu mempunyai nilai dan sentimental tersendiri, misalnya tembikar pemberian penduduk tempatan di Lenggong, Perak.

Perkhidmatan

“Nampak seperti tembikar biasa namun jika dilihat lebih dekat, corak dan tanah liat berwarna hitam yang digunakan agak berbeza dengan tembikar lain hinggakan apabila dikaji oleh pihak muzium, mereka berpendapat tembikar ini sudah berusia lebih daripada 1,000 tahun.

“Pihak muzium ada menyatakan untuk membelinya, namun kami menolak secara baik. Kami menganggap ia sebagai koleksi peribadi yang paling berharga dan perlu dijaga dengan baik,” ujarnya yang menjalankan perkhidmatan itu bersama Arie Zaharie Production Sdn. Bhd. (Arie Zahari Production).

Selain tembikar, terdapat juga pedang dari China dan kamera antik dari Britain yang menjadi tumpuan. Kebanyakan barang itu diperoleh semasa menjalani penggambaran di lokasi-lokasi di seluruh Malaysia.

Selain diberikan oleh penduduk tempatan, ada antara barang lama berkenaan yang dibeli dan tidak kurang juga dijumpai.

“Sebelum ingin membeli sesuatu perhiasan itu, kami akan menilai dan melihat terlebih dulu keperluannya, misalnya saya ada menjumpai satu teropong lanun semasa di Ipoh, Perak. Sehingga kini saya masih belum memutuskan untuk membelinya.

“Kalau jumpa barang lama pula saya akan bertanya kepada tuan rumah sama ada ingin menjualnya kepada kami. Kalau bernasib baik mereka beri secara percuma,” terangnya.

Perkhidmatan sewaan prop berkenaan telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu selepas Arie Zaharie Production mengambil alih tapak berkenaan daripada MHZ Propping House.

Sebelum ini, MHZ Propping House telah mendiami lokasi berkenaan sejak 20 tahun lalu dengan menjadikan lokasi tersebut sebagai pejabat dan tempat menyimpan barang-barang perfileman.

Kedua-dua syarikat tersebut telah bekerjasama sama untuk menjalankan perniagaan sewaan pelbagai barang prop untuk filem itu.

Kini, hampir 90 peratus produksi tempatan mendapatkan barangan sewaan prop daripada mereka.

Risiko

Menurut pemilik Arie Zaharie Production, Zahari Shaari, 51, hasil menyimpan koleksi barangan antik sejak 20 tahun lalu kini bertukar kepada sebuah perniagaan yang menguntungkan.

“Saya sudah terlibat dengan produksi filem dan drama sejak usia 20-an lagi. Saya lihat terdapat kesukaran untuk mendapatkan barang-barang lama semasa mahu menghasilkan filem dengan tema klasik.

“Apabila diberi peluang untuk mengambil alih perniagaan ini, saya merasakan ia adalah batu loncatan untuk menjalankan perkhidmatan sewaan prop perfileman,” katanya yang turut bergelar penerbit dan pengarah bagi beberapa filem serta program televisyen.

Tambah Zahari atau lebih dikenali sebagai Arie Zaharie, berurusan dengan perniagaan meminjamkan barangan antik mempunyai risiko yang tinggi. Bukan mudah untuk memastikan kesemua barang yang disewa itu mendapat jagaan yang baik.

“Pernah ada sebuah lampu meja pecah dan kami menyuruh penyewa itu mencari lampu yang sama atau lebih kurang dengannya, kini sudah hampir sembilan bulan lampu itu masih tidak dapat dijumpai.

“Bukannya penyewa tidak boleh bayar nilai lampu itu yang berharga RM2,300 tetapi ia adalah barang antik yang sukar diperoleh,” tegasnya. Kata Zahari, lazimnya dia akan mengenakan bayaran ganti rugi dengan nilai harga terkini jika barang yang disewa rosak atau sekurang-kurangnya pulangkan kembali barang yang telah rosak tadi.

MHZ Propping House dan Arie Zaharie Production Sdn. Bhd. menyediakan perkhidmatan menyewa lebih daripada 500 koleksi barang antik pelbagai jenis untuk kegunaan produksi filem, drama, teater, muzik.