Lelaki berusia 68 tahun itu kemudian membawa botol itu ke pantai dan membalingnya ke arah laut. Ombak yang datang bergulung kemudian membawa pergi botol tersebut.

“Saya bukan sahaja mengumpul mesej di dalam botol, malah turut membalas mesej tersebut,” katanya.

Hobi unik Kruiswijk yang beker­ja sebagai penjaga pantai bermula pada tahun 1983 selepas dia me­nemui tiga botol berisi mesej di Pantai Zandvoort, Amsterdam, Belanda.

Ceritanya, dia terfikir untuk membalas ketiga-tiga mesej di dalam botol itu berdasarkan alamat yang disertakan bersama.

“Saya terkejut kerana surat kiriman itu dibalas oleh pengirimnya. Bertitik tolak dari situ, minat saya untuk mencari dan mengumpul mesej di dalam botol tercetus,” jelasnya seperti dipetik portal Great Big Story.

Setiap hari, Kruiswijk akan berjalan di pesisiran pantai untuk mencari botol yang berisi mesej.

“Saya masih ingat mesej pertama yang diterima adalah pada tahun 1983 daripada seorang gadis dari Jerman,” katanya.

Hadiah

Menurutnya, sewaktu dalam pe­ringkat awal memulakan hobi tersebut, dia berupaya menemui sehingga 50 botol dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, jumlah koleksi­nya semakin menurun sekitar tahun 2000 apabila dia hanya mene­mui antara 20 ke 30 botol setahun.

“Saya percaya ia semakin berkurangan kerana usaha pembersihan pantai yang giat dijalankan. Selain itu, kebangkitan internet turut memainkan peranan ke arah penurunan jumlah botol berisi mesej ini,” katanya.

Setakat ini, dia mempunyai sebanyak 1,200 mesej di dalam botol selama tempoh 34 tahun mengumpulnya.

“Saya membalas hampir semua mesej yang diterima. Daripada kiriman itu, hanya separuh yang membalas dan menghantarnya kembali kepada saya.

“Mungkin tidak ramai yang ingin berbuat demikian di zaman serba canggih ini. Kebanyakan orang mahu ‘ke­puasan segera’ daripada kemampuan internet menghantar dan menerima mesej secara pantas,” jelasnya.

Terbitkan buku

Meskipun terpaksa menunggu lama untuk mendapat balasan mesej, Kruiswijk sanggup menanti demi keseronokan serta kepuasan daripada setiap kiriman yang diterima.

“Saya suka berjalan di pantai dan menanti apa kejutan yang bakal diterima pada hari tersebut. Keterujaan apabila menjumpai botol berisi mesej ini seperti menerima hadiah,” ujarnya.

Kruiswijk memiliki cara tersen­diri untuk menyimpan koleksi kesa­­yangannya itu. Sebagai seorang yang kemas, dia mengambil pendekatan menyimpan kesemua kiriman yang diterima dalam folder plastik dan menyusunnya di dalam fail kotak.

Hanya mesej di dalam botol yang berbentuk unik disimpan di dalam bekas asal bagi mengekalkan keaslian dan memori di sebaliknya.

Selain itu, lelaki tersebut lebih suka menggunakan mesin taip berbanding komputer atau tulisan tangan.

Kaedah menghantar mesej melalui botol dianggap sebagai snail mailing kerana mengambil masa yang lama untuk menerima balasan.

Ia boleh memakan masa beberapa hari, berminggu-minggu dan berbulan-bulan untuk menunggu kiriman balas daripada pengirim.

Pada 1 Ogos 2010, Kruiswijk menerbitkan sebuah buku bertajuk The Sea as Mail Deliverer yang merencanakan pengalamannya menerima mesej-mesej di dalam botol.

Dalam buku bahasa Belanda itu, Kruiswijk turut menceritakan hubungannya dengan pengirim.

“Saya masih berhubung dengan salah seorang pengirim, Adrian Hill dari Weybourne, England yang mesejnya ditemui pada 4 September 1986.

“Ketika itu Hill hanya berusia 7 tahun dan sekarang dia sudah menjadi bapa kepada dua orang anak. Kami masih berhubungan menerusi kaedah ini kerana ia menyeronokkan,” katanya.

Seorang lelaki 
di Belanda memiliki koleksi sebanyak 1,200 mesej di dalam botol yang dikumpul sejak tahun 1983.