Saman itu telah difailkan oleh Animal Legal Defense Fund di Portland, Amerika Syarikat (AS) bagi pihak kuda berkenaan terhadap bekas pemiliknya, Gwendolyn Vercher, 41, seorang wanita yang berasal dari Cornelius, Oregon, AS.

Justice yang merupakan kuda baka American Quarter dikatakan mempunyai masalah kekurangan berat badan mencecah 136 kilo­gram daripada sepatutnya selain mempunyai kutu, jangkitan kulit serta zakar yang cacat akibat reput fros.

Tuntutan itu difailkan pada minggu lalu di Mahkamah Washington County Circuit.

Rawatan khas

Justice memerlukan rawatan khas sepanjang hidupnya dan haiwan itu kini dipelihara oleh Kim Mosiman di sebuah pusat penyelamatan kuda di Troutdale yang diasaskan oleh wanita berkenaan.

Haiwan itu ditempatkan di pusat berkenaan sejak diselamatkan daripada Vercher pada Mac 2017.

Ketika diselamatkan, kuda berkenaan dikenali sebagai Shadow.

Menurut salah seorang peguam bagi kuda berkenaan, Sarah Hanneken, haiwan mempunyai hak untuk dilindungi di bawah undang-undang negeri Oregon.

“Undang-undang antikekejaman diwujudkan untuk keselamatan dan perlindungan haiwan.

“Haiwan yang menjadi mangsa boleh menyaman mereka yang melakukan penganiayaan di bawah undang-undang ini,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Hanneken, pihaknya yakin dengan pendirian yang diambil untuk memfailkan saman bagi pihak Justice terhadap pemiliknya.

Tambahnya, semua ganti rugi yang diterima akan digunakan untuk membantu memulihkan kesihatan Justice dan akan diberi kepada pemiliknya yang baharu.

“Namun, penyakit yang dihidapi Justice menghalang kuda ini daripada diambil dan dipelihara oleh pemilih baharu,” katanya.

Hukuman

Pada Julai tahun lepas, mahkamah telah menjatuhkan hukuman berkelakuan baik selama tiga tahun terhadap Vercher atas kesalahan pengabaian haiwan.

Dia juga perlu menjalani khidmat masyarakat selama 93 jam dalam tempoh setahun selain dilarang memiliki haiwan peliharaan selama lima tahun.

Vercher juga diarahkan membayar pampasan berjumlah AS$3,700 (RM14,500) terhadap haiwan itu.

Bagaimanapun, kes-kes lain sebelum ini yang melibatkan haiwan menyaman manusia tidak berpihak kepada haiwan terbabit.

Pada tahun 2013, kumpulan hak asasi haiwan memfailkan saman bagi pihak seekor cimpanzi bernama Tommy.

Mereka mendakwa, cimpanzi berkenaan diseksa dengan kejam oleh pemiliknya di dalam sebuah sangkar di New York dan menuntut agar haiwan itu dipindahkan ke tempat perlindungan di Florida.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan cimpanzi itu tidak mempunyai hak undang-undang terhadap manusia.

Seekor kuda berusia 8 tahun tuntut bayaran ganti rugi penganiayaan berjumlah AS$100,000 akibat mengalami kekurangan berat badan, mempunyai kutu, jangkitan kulit dan zakar cacat.