Hakikatnya, ruangan tersebut bukanlah taman permainan kanak-kanak biasa, sebaliknya ia direka khusus untuk membolehkan pengunjung bermain bersama kucing.

Ruang seluas 40 meter persegi itu dilengkapi peralatan mainan kanak-kanak seperti gelongsor, buaian, dinding memanjat selain kawasan dalamannya dicat berwarna-warni.

Ia turut mempunyai bantal-bantal bersaiz gergasi bagi membolehkan orang ramai duduk atau berbaring di situ.

Beberapa ekor kucing comel dan bersih sentiasa dibiarkan berkeliaran dan bermain-main di dalam kawasan berkenaan.

Para pengunjung bebas bermain atau membelai kucing-kucing tersebut. Mereka juga boleh berswafoto bersama kucing berkenaan.

Itulah sebahagian daripada keseronokan yang boleh dinikmati oleh orang ramai apabila berkunjung ke Cat Playground.

Mula dibuka pada 28 Disember lalu, Cat Playground dibina oleh Animal for Young (AFY) bagi memupuk minat masyarakat terutamanya kanak-kanak terhadap kucing.

Hal ini kerana AFY percaya kucing mampu memainkan peranan besar dalam perkembangan fizikal dan minda seorang kanak-kanak.

Salah seorang pengunjung, Muhd. Izzat Danial Mohd. Hanafi, 14, berkata, dia berkunjung ke Cat Playground bersama dua orang adiknya iaitu Nur Izzah Danial, 12, dan Muhd. Izhan Danial, 8.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, Gombak, Selangor itu memaklumkan, mereka berkunjung ke situ kerana tertarik dengan kecantikan dekorasi tempat berkenaan.

“Ini kali pertama kami berkunjung ke Cat Playground. Kami datang ke sini untuk menghabiskan masa sebelum menonton wayang pada pukul 5 petang.

“Pada pendapat saya, tempat ini sangat menarik terutamanya kepada kanak-kanak dan mereka yang suka dengan kucing,” jelasnya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Ujar Muhd. Izzat, kucing-kucing di Cat Playground juga sangat jinak dan tidak takut dengan manusia tidak seperti kucing yang dipelihara di rumahnya.

Jelasnya, situasi ini dapat membantu memudahkan pengunjung untuk menangkap dan membelai kucing-kucing berkenaan.

“Kalau di rumah, kucing-kucing kami sangat susah untuk dipegang atau dibelai. Di sini, kucing-kucingnya lebih manja dan selesa apabila bersama manusia,” jelasnya.

Muhd. Izzat menambah, kewujudan Cat Playground dapat membantu memudahkan golongan ibu bapa meninggalkan anak-anak mereka untuk membeli-belah.

Destinasi terbaik

Jelasnya, ini kerana tempat berkenaan ditutup dengan pagar sekali gus dapat menjamin keselamatan kanak-kanak apabila ditinggalkan oleh ibu bapa.

Cat Playground yang dibina dengan kos mencecah RM300,000 itu menggabungkan elemen permainan kanak-kanak, terapi kucing dan ruang terapi deria.

Ia merupakan satu-satunya tempat permainan kucing yang beroperasi di dalam sebuah pusat beli-belah di negara ini.

Bagi Rachel Chang, 23, dia berpendapat, Cat Playground merupakan destinasi terbaik untuk golongan remaja sepertinya mengurangkan tekanan di tempat kerja.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu memaklumkan, dia dapat menghilangkan tekanan apabila menyentuh kucing ataupun berehat di ruang terapi deria.

“Saya rasa sangat selesa, gembira dan tenang apabila dapat berehat di sini selama sejam.

“Saya juga dapat menghilangkan tekanan kerja terutamanya ketika bermain dengan kucing,” jelas gadis yang masih belum berumah tangga itu.

Elemen utama

Hasil kajian pakar psikologi, mereka yang tertekan dengan pelbagai masalah boleh menggunakan kucing sebagai terapi. Bunyi, bulu, geselan dan gigitan manja kucing dapat membantu otak manusia menghasilkan hormon relaks.

Menurut Rachel, dia juga sangat tertarik dengan ruangan terapi deria seluas lima meter persegi yang ditawarkan di Cat Playground.

Jelasnya, apabila berada di ruang tersebut, dia dapat merehatkan minda sambil melihat diod pemancar cahaya yang berkelipan pada dinding.

“Setiap kali datang ke sini, saya banyak menghabiskan masa di ruang ini kerana suasananya yang gelap dan tidak terlalu ramai orang,” jelas pekerja swasta di ibu negara itu.

Sementara itu, Pengasas Cat Playground, Dr. E.J. Khew berkata, tempat berkenaan menggabungkan tiga elemen utama iaitu taman permainan kanak-kanak, terapi haiwan dan terapi deria.

Jelasnya, Cat Playground merupakan satu-satunya tempat yang menggabungkan ketiga-tiga elemen kebaikan tersebut di bawah satu bumbung.

“Sasaran utama kami sudah pastilah kanak-kanak. Ini kerana, Cat Playground memang direka khusus buat golongan berkenaan.

“Namun, ia tidak hanya sesuai untuk kanak-kanak, malah golongan remaja dan dewasa masih boleh mendapat manfaat apabila berkunjung ke sini,” jelasnya.

Bagi menjamin keselesaan para pengunjung, Cat Playground dihadkan kepada 10 orang sahaja pada satu-satu masa.

Menurut Khew, Cat Playground mengetengahkan modul Animal Assisted Theraphy (AAT) yang menggunakan haiwan selain memulih serta merangsang fizikal, mental dan emosi manusia.

Kucing terlatih

Jelasnya, sejak sekian lama, kucing telah digunakan secara meluas dalam mengubah atau memperbaiki kehidupan manusia ke arah yang lebih baik.

“Di sini, kami menyediakan lapan ekor kucing yang diselamatkan dari jalanan. Antara jenis kucing yang ada di sini termasuklah British Short Hair dan Parsi.

“Pengunjung boleh membelai atau bermain dengan kucing-kucing secara bebas. Kucing-kucing di sini juga telah dilatih supaya sentiasa jinak dengan orang sekeliling,” ujarnya.

Katanya lagi, Cat Playground turut dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak yang direka khusus supaya mesra kucing.

“Terdapat enam buaian kanak-kanak dan gelongsor. Kami juga membina tempat memanjat dinding untuk kanak-kanak dan kucing secara sebelah-menyebelah.

“Ini pastinya memberi satu pengalaman berbeza apabila dapat memanjat dinding bersama kucing,” ujarnya.

Tambah Khew, pihaknya turut menyediakan ruang terapi deria yang membolehkan pengunjung berehat sambil melihat diod pemancar cahaya serta air berwarna dalam bekas berbentuk silinder.

Dia memberitahu, pihaknya turut mengalu-alukan kanak-kanak yang menghadapi masalah autisme untuk berkunjung ke Cat Playground.

Jelasnya, suasana dan peralatan di situ sangat sesuai dalam membantu perkembangan kognitif dan minda kanak-kanak autisme.

“Kami juga menempatkan tiga orang ahli terapi terlatih di sini bagi membantu pengunjung memaksimumkan kepuasan mereka,” jelasnya.

Cat Playground di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur merupakan satu-satunya tempat yang menggabungkan elemen permainan kanak-kanak, terapi kucing dan terapi deria.