Justeru, dapat dilihat wanita dijangka menjadi penentu kepada kemenangan atau kekalahan calon-calon daripada parti yang bertanding.

Pensyarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender Universiti Sains Malaysia, Dr. Zaireeni Azmi berpendapat, dalam usaha menarik undi wanita, agenda golongan itu perlu dilihat dalam konteks yang luas merentasi parti politik.

Mesra wanita

Beliau berkata, secara asasnya, ia mempunyai matlamat menghapuskan sebarang diskriminasi terhadap wanita supaya suara mereka didengari dan diberi perhatian.

“Agenda wanita ini sama sahaja tujuannya iaitu memperkasakan wanita sama ada dalam parti UMNO, DAP, Pas atau sebagainya. Cuma mungkin kaedah dan pendekatan yang digunakan berbeza.

“Namun, cabaran utama ialah meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat membuat keputusan barulah berkesan sesuatu dasar mesra wanita yang digubal,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program bual bicara Dakwat Di Jari (DDJ) di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

DDJ merupakan program yang diterbitkan khusus untuk wanita yang akan disiarkan selama satu jam bermula pukul 5 petang di TV9 bermula pada hari penamaan calon sehingga sehari sebelum tarikh mengundi.

Zaireeni menjelaskan, ketetapan 30 peratus itu termaktub dalam perjanjian antarabangsa Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang ditandatangani Malaysia sejak tahun 1995.

Begitupun, dalam konteks negara ini, penglibatan wanita di Parlimen sekitar 10.36 peratus manakala pada peringkat Dewan Undangan Negeri hanya sekadar 9.3 peratus.

Turut hadir pada pelancaran tersebut ialah Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dira Abu Zahar, Ketua Wanita MCA Bahagian Bukit Bintang, Ann Tan.

Beliau berkata, terdapat kecenderungan parti politik tertentu meletakkan calon wanita di tempat berpotensi kalah. Kajian membuktikan wanita komited dengan kerja, rajin dan lebih fokus dengan tugas-tugas yang diberikan.

Baginya, dalam erti kata lain, calon wanita tersebut perlu menonjolkan bahawa mereka mampu menjadi pemimpin sebelum diberi peluang oleh pucuk pimpinan.

“Ia mungkin dianggap sebagai satu strategi apabila calon wanita itu kuat berusaha, rajin bekerja, tunjuk komitmen supaya boleh menaikkan nama parti dan pemilihan berikutnya calon tersebut boleh menang.

Tambahnya, budaya wanita yang perlu berada bersama keluarga sebagai isteri dan ibu misalnya turut menjadi cabaran kepada pemimpin wanita untuk membahagikan waktu di antara tugas politik dengan kehidupan peribadi.

Bantuan

“Ada calon wanita yang menunjukkan prestasi baik tetapi di peringkat akar umbi mereka menganggap agak sukar berjumpa dengan wakil rakyat tanpa mengira waktu seperti tengah malam atau di kedai kopi contohnya. Situasi ini mungkin tidak dihadapi ahli politik lelaki,” ujarnya.

Sementara itu, Dira berkata, isu dan kekangan melibatkan wanita perlu difahami supaya keperluan dan kebajikan mereka dapat dibela. Ia mencakupi setiap lapisan golongan itu seperti graduan wanita, ibu muda, ibu hamil dan wanita bekerja.

Antara langkah yang diambil pihaknya, mendekati golongan tersebut termasuk pergi dari rumah ke rumah dan menguar-uarkan bantuan dan inisiatif yang disediakan kerajaan untuk mereka.

Kepada Ann, calon wanita mampu mencapai kemenangan jika diberi peluang bertanding di sesebuah kawasan. Ini kerana keistimewaan sifat wanita itu sendiri yang boleh melakukan pelbagai tugas pada masa yang sama.

“Namun, mereka perlu diberi sokongan. Ahli keluarga perlu berkongsi tanggungjawab dan memahami peranan yang dimainkan supaya golongan itu dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat,” ungkapnya.