BEBERAPA penjual bunga kelihatan sibuk pada hari itu melayani pelanggan yang mahu membeli kalungan bunga di gerai mereka yang terletak di sebuah lorong di antara deretan kedai di Brickfields, Kuala Lumpur.

Di celah-celah orang ramai itu, kelihatan seorang wanita pertengahan abad kelihatan leka memintal kuntuman bunga kecil berwarna putih pada seutas tali plastik untuk dijadikan kalungan bunga.

Santha Ramachandran, 53, merupakan salah seorang penjual kalungan bunga segar dan telah menjadi mata pencariannya sejak dua dekad lalu. Rutin kerjanya bermula seawal pukul 8 pagi apabila wanita itu akan mengemas dan membersihkan kedainya sebelum perniagaannya beroperasi kira-kira pukul 9 pagi.

Kalungan bunga yang sudah siap akan digantung bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan.

Kuntuman bunga putih yang dikenali sebagai bunga melur adalah antara kalungan bunga yang mendapat perhatian pelanggan.

Setiap hari, kira-kira 10 bungkus bunga melur seberat 250 gram diperlukan untuk menghasilkan kalungan bunga melur yang dikenali sebagai malai dan saram.

“Kalungan bunga malai menggunakan lebih banyak kuntuman bunga dan dijual pada harga RM8.

“Juraian bunga melur dipanggil saram pula yang biasanya dipakai pada rambut wanita dijual pada harga 80 sen bagi setiap 45 sentimeter,” kata Santha ketika ditemui Kosmo! di Brickfields, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Segar

Jelas ibu kepada dua orang cahaya mata itu, kalungan bunga melur itu perlu dihasilkan semasa bunga masih kudup dan ia boleh bertahan selama tiga hari.

Katanya, beliau akan menghasilkan kalungan bunga setiap hari dan memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sehari.

“Bekalan bunga diperoleh setiap hari daripada pembekal pada harga RM15 sebungkus dan jumlah pesanan akan ditambah semasa musim perayaan seperti Deepavali atau festival keagamaan dan majlis perkahwinan.

“Bekalan bunga akan disimpan di dalam kotak berisi ais bagi mengekalkan kesegaran dan mengelakkan ia mekar,” ujar Santha yang belajar menghasilkan kalungan bunga daripada kedua-dua orang tuanya.

Walaupun bunga melur yang juga dikenali sebagai melati putih sinonim dengan kaum India, namun Santha memberitahu, pelanggannya juga terdiri daripada masyarakat Melayu serta pelancong luar negara.

“Pelanggan berbangsa Melayu terutamanya akan mengunjungi kedai saya untuk membeli bunga melur segar untuk dipakai pada rambut atau ditabur di atas kubur.

“Pelancong pula berminat untuk membeli kalungan bunga kerana ia cantik dan berbau harum,” tuturnya yang tinggal di Pudu, Kuala Lumpur.

Santha yang sebelum ini berniaga bunga di Pasar Pudu dan mula berpindah ke Brickfields sekitar setahun lalu berkata, dia turut menerima tempahan daripada orang ramai dan diskaun diberikan jika pembeli membuat pembelian lebih daripada 10 kalungan bunga pada satu-satu masa.

Suci

Selain melur, Santha yang menjalankan perniagaan bunga juga menghasilkan kalungan bunga daripada bunga mawar, kekwa dan teratai.

Katanya, harga bagi setiap kalungan bunga berbeza mengikut saiz dan jenis bunga yang digunakan.

Berdasarkan laman web garden.my, bunga melur berbentuk bintang dan memiliki antara lima ke enam kelopak itu boleh didapati dalam warna putih, merah jambu atau kuning.

Warna daunnya yang hijau juga menarik, manakala bunganya mengeluarkan bau harum.

Menurut laman web syarikat perniagaan antarabangsa Global Blue, www.globalblue.com aroma manis yang terbit daripada bunga melur menjadikannya wangian kegemaran sejak berabad lamanya. Ia merupakan aroma botani yang paling banyak digunakan.

Pati bunga berkenaan sering dirujuk sebagai raja segala minyak dan sering menjadi ramuan popular dan mahal dalam pembuatan minyak wangi moden.

Bunga melur sering kali dikaitkan dengan cinta dan kasih sayang. Ia juga melambangkan kecantikan dan sensualiti. Dalam sesetengah budaya, bunga melur menggambarkan penghargaan dan tuah.

Dari sudut keagamaan pula, melur melambangkan kesucian.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Thohirah Lee Abdullah berkata, tumbuhan melur atau nama saintifiknya, Jasminum sambac sesuai untuk dijadikan tanaman hiasan beraroma kerana mengeluarkan bau yang wangi.

“Pokok bunga melur yang hidup di iklim tropika seperti Malaysia dan memerlukan cahaya matahari secara terus ini antara tumbuhan renek yang sesuai ditanam di taman.

“Bukan sahaja penjagaannya mudah, malah tumbuhan ini menghasilkan aroma yang menyenangkan,” katanya.

Terapi

Mengulas lanjut, Thohirah Lee berkata, bunga melur juga berpotensi untuk dijadikan wangian.

“Jika di Indonesia, pati minyak bunga melur digunakan sebagai wangian kerana tumbuhan itu menghasilkan bauan yang sangat harum.

“Aroma melur juga boleh bertindak sebagai aromaterapi dan mampu memberikan ketenangan kepada mereka yang menghidunya,” ujarnya.

Menurutnya, jika di Malaysia, bunga melur kebanyakannya ditanam oleh kaum India.

“Penjagaan pokok melur tidak sukar, namun ia mudah terdedah kepada serangan serangga perosak,” tuturnya.

Dalam pada itu, seorang pembeli bunga melur yang merupakan pesara tentera, M.N.S Manimaran menjelaskan, dia biasanya membeli kalungan bunga untuk tujuan keagamaan.

“Jumlah kalungan yang dibeli biasanya lebih banyak apabila musim perayaan atau festival agama,” ujar anak kelahiran negeri Kedah yang kini menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Menurut anak kedua daripada tiga adik-beradik itu, bunga yang sudah digunakan selepas upacara keagamaan lazimnya tidak dibuang begitu sahaja, sebaliknya ia akan diletakkan di dalam kereta atau rumah kerana aromanya yang harum.