Dalam keghairahan pelaku seni mencipta fenomena tersendiri, tidak dinafikan terdapat strategi yang berjaya mencuri perhatian, malah ada juga yang gagal sehingga dipandang sepi oleh masyarakat.

Mengambil contoh, tahun lalu gelombang industri muzik tanah air banyak dihiasi dengan beberapa hal tular untuk meraih perhatian dengan adanya ‘drama’ sebelum melariskan sesebuah single baharu.

Antaranya, lagu I Am Me nyanyian Datuk Seri Vida dan kisah ‘putus cinta’ di antara pelakon Aedy Ashraf dan penyanyi Nabila Razali untuk lagu Pematah Hati.

Melihat cabang industri drama pula, seperti biasa kegilaan penonton terhadap drama rantaian yang diadaptasi daripada kisah cinta novel seperti Titian Cinta dan Biar Aku Jadi Penunggu masih hangat menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk diketengahkan.

Selain itu, industri filem pula tidak kurang meriahnya apabila mencetuskan fenomena tersendiri menerusi penerbitan naskhah seperti Abang Long Fadil 2 dan Tombiruo yang tidak dijangka sehingga berjaya meraih kutipan filem pecah panggung.

Ikuti kupasan Kosmo! perihal gelombang yang dijangka bakal melanda industri filem, drama dan muzik Malaysia sepanjang tahun 2018 ini.

Filem

Berkesempatan menghubungi penerbit Gayatri Su-Lin Pillai baru-baru ini, wanita yang telah menerbitkan puluhan naskhah berbahasa Melayu di bawah rumah produksi Tayangan Unggul antaranya J Revolusi dan Polis Evo itu meramalkan trend penerbitan filem pada tahun ini tidak banyak berbeza.

Meramalkan filem dengan genre aksi masih menjadi antara naskhah kegemaran penonton untuk tahun ini, ujar Gayatri, 55, bagaimanapun terdapat tiga elemen utama yang harus ditekankan dalam sesebuah penerbitan agar terus meraih perhatian penonton.

“Jika kita lihat, naskhah seperti Abang Long Fadil 2, Tombiruo dan J Revolusi yang menekankan aksi memang menjadi trend pilihan penonton pada tahun lalu. Ia juga bakal dikekalkan untuk 2018.

“Aksi merupakan genre premium, jika sesebuah naskhah mempunyai tiga elemen utama iaitu nilai produksi tinggi, jalan cerita yang kuat serta pelakon yang bagus, maka ia akan mendapat perhatian dan tempat di hati penonton. Malah, tidak mustahil untuk mencapai kutipan pecah panggung,” terangnya.

Kata Gayatri lagi, penonton sekarang juga lebih bijak dan selektif terhadap bahan hiburan mereka.

Disebabkan itu, sebagai penerbit dia bertanggungjawab untuk memberikan nafas baharu dalam setiap karya terbitannya agar sentiasa segar pada mata penonton.

“Tidak dinafikan, soal jalan cerita klise seperti cinta berlainan taraf atau kisah cinta tiga segi masih akan dikekalkan pada tahun ini. Selagi ia mendapat permintaan dan boleh mencecah kutipan pecah panggung saya rasa kemungkinan besar ia masih terus disajikan kepada penonton.

“Bagaimanapun penerbit, pengarah dan penulis skrip perlu memberikan nafas baharu agar ia tidak nampak terlalu bosan,” tuturnya.

Drama

Membawa bicara soal penerbitan drama untuk tahun 2018 pula, bagi Ketua Saluran Hiburan Astro, Raqim Ahmad pula memberitahu sebagai sebuah stesen mereka akan menilai trend kehendak penonton dalam tempoh setiap enam bulan.

Berkongsi trend drama rantaian yang bakal ditayangkan, pada tahun ini Astro mengambil pendekatan untuk mengurangkan penerbitan drama daripada adaptasi novel seperti yang popular pada tahun lalu.

“Kami sudah mengurangkan drama adaptasi dari novel. Bermula hujung bulan Disember tahun lalu kami sudah memulakan penerbitan drama yang diadaptasi dari drama Korea seperti drama rantaian My Coffee Prince.

“Astro juga sudah mula memperkenalkan drama berunsur keagamaan seperti Kerna Syurga Bukan Percuma yang ditayangkan di Astro Oasis dan tidak ketinggalan drama yang dibangunkan daripada skrip baharu seperti My Darling Inspektor Daniel,” kongsinya.

Tambah Raqim, pada tahun ini Astro turut memberi fokus untuk mengetengahkan banyak bakat baharu sekali gus menafikan skeptikal tentang stesen televisyen hanya mahukan pelakon yang mempunyai banyak pengikut dalam laman Instagram.

“Jika dilihat pelakon seperti Hana Delisha dan Nabila Razali dahulu tidaklah begitu popular sebelum kita ambil mereka mewarnai drama seperti Mencintaimu Mr. Photographer dan Hikayat Cinta Si Pematah Hati.

“Selepas tayangan drama itu mereka berjaya meraih populariti tersendiri. Formula yang sama kita akan guna pada tahun ini dengan mengetengahkan bakat baharu yang dirasakan mempunyai potensi,” katanya.

Tambah Raqim, pada tahun ini penerbitan drama juga akan ke peringkat yang lebih tinggi kualitinya kerana mereka meletak sasaran untuk memasarkan karya bukan sahaja dalam negara malah ke luar juga.

“Pada tahun ini penerbitan drama akan lebih kepada mesej kemasyarakatan kerana kita mahu pergi ke peringkat yang lebih tinggi agar ia setaraf dengan penerbitan drama daripada luar.

“Kita juga mengasingkan penerbitan drama mengikut saluran seperti drama komedi di Astro Warna, keagamaan di Astro Oasis dan drama berunsurkan cinta di Astro Ria. Biarpun ada yang menyatakan drama cinta seakan klise, namun ia tetap mempunyai permintaan. Jadi ia akan tetap relevan untuk tahun ini,” jelasnya.

Muzik

Berbicara soal penghasilan muzik pula, menurut penyanyi dan komposer popular Ajai, tahun ini trend muzik tidak banyak perbezaan seperti tahun lalu yang semakin dibanjiri dengan lagu dari melodi zaman 1990-an.

Bagaimanapun, Ajai atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Maas, 41, berkata, konsep melodi berkenaan sudah mula mendapat penyusunan muzik yang lebih urban sesuai dengan peredaran masa.

“Trend muzik pada tahun 2018 masih lagi dibanjiri dengan kehadiran penyanyi baharu yang saya labelkan mereka sebagai ‘budak-budak baru nak up’.

“Kita dapat lihat, pada awalnya platform mereka masuk ke dalam industri dengan lagu-lagu bersifat kampung, bagaimanapun semakin lama susunan muzik mereka semakin matang dan urban biarpun masih mengekalkan konsep Melayu,” jelasnya.

Melihat ia sebagai perkembangan positif, tambah pelantun lagu Aduh! itu, melodi sebegini telah menambah variasi muzik dalam industri hiburan tanah air.

Dalam pada itu, Ajai turut menyatakan trend muzik yang tular di laman sosial dan bukannya bersandarkan pada bakat pula hanya laku mengikut musim sahaja.

“Dengan adanya penyusunan muzik yang lebih urban tetapi berkonsepkan Melayu seperti lagu nyanyian Haqiem Rusli ia dapat menambah lagi variasi dalam industri. Kita dapat lihat persaingan dalam muzik pop, balada dan tidak ketinggalan irama tradisional.

“Pendengar sekarang juga lebih bijak, jadi seorang penyanyi perlulah hadir dengan bakat. Mereka bukan sahaja perlu tahu menyanyi, tetapi segala hal berkaitan dengan muzik.

“Jika sekadar tular di laman sosial, saya percaya lagu mereka cuma popular semusim sahaja dan kemudian tenggelam dengan kebanjiran ramai lagi penyanyi yang lebih berbakat,” tuturnya menutup bicara.

Memasuki minggu ketiga tahun 2018 antara yang menarik perhatian tentulah trend yang bakal mewarnai dunia hiburan tanah air. Justeru, Kosmo! menghimpunkan tiga nama besar dalam industri yang berbicara tentang kehendak peminat dalam bidang filem, drama dan muzik sepanjang tahun ini.