Mengambil contoh, drama bersiri berjudul Goblin dari Korea Selatan menjadi fenomena luar biasa dalam kalangan penonton. Drama terbitan HBO Asia, Halfworlds juga membuktikan karya Asia mempunyai kualiti dan setanding produk Barat serta wajar dibanggakan.

Dari cabang perfileman, siapa mampu melupakan impak yang ditinggalkan filem Thailand, Bad Genius. Filem tersebut mendapat pujian atau rating melambung daripada penonton termasuk dari medium kritikan filem seperti laman Rotten Tomatoes dan IMDb.

Situasi tersebut membuktikan karya-karya dari Asia mampu mencetuskan fenomena andai diadun dengan rencah yang cukup. Dalam erti kata lain, jika segala aspek seperti sinematografi, lakon layar, skor muzik dan pengarahan digabung secara total, tiada masalah untuk ia mendapat kutipan pecah panggung atau sekali gus ‘menjentik’ perhatian khalayak.

Identiti

Bertemu dengan pengarah-pengarah hebat Asia di Singapura baru-baru ini, Kosmo! berpeluang mewawancara beberapa nama besar. Salah seorang daripadanya, sutradara filem Pengabdi Setan, Joko Anwar.

Kata Joko, sudah tiba masanya kualiti filem-filem Asia dibawa ke tahap yang lebih cemerlang dan tinggi. Baginya, drama atau filem Asia mempunyai nilai yang kuat untuk dipasarkan kepada audiens yang lebih pelbagai.

“Sebenarnya, banyak perkara tentang orang Asia yang tidak diketahui secara lebih meluas melalui perkongsian drama mahupun filem. Kita juga mempunyai kualiti yang bagus sama seperti pembikin drama atau filem Hollywood. Kalau tidak sama, mungkin kita lebih bagus daripada mereka.

“Masalah dengan masyarakat Asia adalah kita terlalu memandang tinggi terhadap karya-karya terbitan Hollywood sedangkan di sini (Asia), kita juga mempunyai kualiti drama atau filem setanding dengan apa yang ada di Barat,” jelas Joko, 41.

Bagaimanapun kata Joko, dalam usaha untuk membawa kualiti naskhah Asia ke peringkat yang lebih sempurna, ia memerlukan sokongan dan kerja keras daripada orang ramai.

Ungkapnya, beliau sentiasa mengagumi hasil kerja produksi dari Asia seperti Korea Selatan yang tidak gentar untuk bersaing dan melahirkan sesuatu yang segar di mata penonton.

“Lihat sahajalah drama-drama popular daripada karyawan Korea Selatan. Mereka mempunyai pegangan dan kualiti tersendiri yang membuatkan produknya senang diterima penonton. Industri drama, perfileman dan muzik di sana sedang berkembang pesat dan itu adalah satu kejayaan yang wajar dijadikan teladan.

Train to Busan misalnya adalah sebuah karya yang amat bagus. Ia mempunyai ‘nilai’ komersial Asia yang tiada dalam filem-filem lain. Bad Genius dari Thailand juga sesuatu yang amat menarik.

“Barangkali, sudah tiba waktunya orang Barat datang ke Asia untuk bikin filem, bukan kita yang ke sana kalau ingin mengembangkan sesuatu. Bagaimanapun, saya akui banyak perkara yang kita perlu belajar terutama dari segi teknologi dan sebagainya dari sana,” jelasnya panjang lebar.

Sementara itu, pengarah berbakat Malaysia, Ho Yuhang pula percaya dengan kredibiliti dan kualiti produk drama serta filem Asia yang disifatkan mempunyai identiti sendiri.

“Bukan berniat untuk mendabik dada. Saya pernah bekerja dengan Allahyarham Yasmin Ahmad dan boleh saya simpulkan, produk drama, iklan atau filem Asia memang mempunyai kualiti yang hebat.

“Dari segi teknologi seperti teknik imej penjanaan komputer (CGI), kita mungkin tidak sehebat Hollywood namun kalau bercerita tentang naratif, kita tiada kurangnya,” kata pengarah filem Mrs K itu.

Folklore

Mengulas tentang projek drama televisyen terbaharu HBO Asia berjudul Folklore, pengarah kelahiran Singapura, Eric Khoo sempat meluahkan rasa bangga kerana dapat berkongsi idea dan bekerjasama dengan pengarah berbakat lain dari Asia.

“Kami berenam mahu membuat filem seram menggunakan bahasa dan idea setempat. Episod Malaysia bagi siri ini dalam bahasa Melayu.

“Saya akan memulakan penggambaran pada Mac 2018. Kalau tiada aral melintang, episod Malaysia akan dilakonkan pelakon hebat tempatan, Bront Palarae dan Nabila Huda,” katanya lagi.

Produksi HBO Asia mengumumkan projek Folklore dan lima produksi baharu yang lain bagi merayakan sambutan jubli emas pada 2017 dalam sidang media di Singapura sekitar Disember tahun lalu.

Selain empat pengarah tersebut, dua pengarah lain yang terlibat dalam Folklore ialah Pen-Ek Ratanaruang (Thailand) dan Takumi Saitoh (Jepun).

Ini projek kedua Yuhang dalam bahasa Melayu selepas empat karya layar lebar dalam bahasa Mandarin dan Kantonis, termasuk dua yang terakhir At the End of the Daybreak dan Mrs K yang berjaya memahat namanya pada peta perfileman antarabangsa.

“Saya mahu melakukan sesuatu yang tidak biasa saya buat sebelum ini. Saya bukan pakar dalam genre seram namun saya akan cuba yang terbaik untuk mewakili idea orang Malaysia,” tuturnya.

Yuhang berkata, cerita yang diangkatnya adalah tentang seorang wanita yang menggunakan ilmu hitam untuk mencapai cita-cita.

“Cerita ini diilhamkan daripada sebuah filem pendek yang saya bikin beberapa tahun lalu. Ia juga daripada kisah benar tentang bayi yang dibuang. Ia ada sedikit kaitan dengan cerita toyol, tetapi bukan tentang toyol,” katanya.

Joko yang mewakili gelombang seram dari Indonesia akan bercerita tentang mitos hantu orang mati tidak beranak yang menculik kanak-kanak. Dari Korea, Sang-Woo akan memaparkan tentang lelaki tidak berkahwin, namun selepas kematiannya dia menjadi hantu yang cemburu. Dari Singapura, Eric pula berkongsi cerita tentang kisah puntianak.

Enam projek drama lain selain Folklore adalah Grisse, Master of the White Crane Fist: Wong Yan-Lam, Master of the White Crane Fist: Wong Ching-Ho, Master of the Nine Dragon Fist: Wong Ching-Ho, Miss Sherlock dan The Teenage Psychic (musim kedua).

Sejak lima tahun lalu, HBO Asia sudah menerbitkan sekurang-kurangnya 10 produksi asli Asia termasuk siri drama fantasi, Halfworlds; siri komedi, Sent dan siri mini; The Teenage Psychic.

Beberapa pengarah hebat Asia seperti Joko Anwar dari Indonesia, Eric Khoo (Singapura), Ho Yuhang (Malaysia) dan Lee Sang-woo (Korea Selatan) berbicara tentang pengaruh produk drama atau filem Asia masa kini yang semakin cemerlang. Mereka juga bercerita tentang pengalaman mengarahkan antologi seram berjudul Folklore secara bersama. Karya bakal berkenaan akan ditayangkan di saluran HBO tidak lama lagi.