Bercucuk tanam sekadar cuba-cuba pada 15 tahun lalu, Mohd. Faizal Samakon, 43, mula menanam nanas dengan menumpang kebun milik seorang penduduk kampung di Kampung Batu 10, Kebun Baharu, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.

Namun, lama-kelamaan minat untuk serius mengusahakan tanaman itu mula berputik dan mekar dalam dirinya.

Katanya, mengusahakan tanaman itu bukanlah suatu tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila ia memerlukan kesabaran, ketekunan dan komitmen berterusan.

“Pokok nanas yang ditanam ini mengambil masa sehingga 12 bulan sebelum boleh dituai dan meraih hasilnya.

“Selain itu, ia memerlukan penjagaan rapi serta menelan belanja besar yang melibatkan kos pembersihan kebun, racun dan baja bagi mendapatkan buah yang cantik,” ujarnya ketika ditemui K2 di Kebun Baharu baru-baru ini.

Mohd. Faizal merupakan salah seorang daripada hampir 80 pengusaha kebun nanas di Kuala Langat.

Baru-baru ini, daerah itu menjadi tumpuan apabila Program Pembangunan Hab Nanas Kuala Langat telah dilancarkan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.

Kuala Langat dilihat berpontesi menjadi hab nanas di Selangor bersandarkan gerak kerja yang dilakukan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) selain pelbagai program akar umbi, bantuan dan khidmat nasihat yang telah diberikan kepada pengusaha tanaman itu di situ.

Bermula daripada menanam pada keluasan setengah ekar, kini Mohd. Faizal telah berjaya mengusahakan kebun nanas seluas dua hektar (lima ekar).

Difahamkan, setiap kali musim menuai, pendapatan yang diraih pengusaha boleh mencecah sehingga RM50,000.

Pada hemat Mohd. Faizal, nanas kini berpotensi menjadi komoditi penting buat Kuala Langat, lebih-lebih lagi apabila 60 peratus pekebun di daerah itu kini memberikan fokus terhadap tanaman berkenaan.

Nanas yang merupakan buahan utama di Malaysia, selain durian dan pisang, dikatakan telah ditanam di negara ini sejak tahun 1950-an lagi.

Buah yang kaya dengan vitamin A, B1 dan C itu juga banyak ditanam di negeri Johor, Kelantan, dan Pulau Pinang.

Tanaman kontan itu semakin berkembang sehingga ke Kuala Langat kira-kira 30 tahun dahulu.

Di Selangor, selain Kuala Langat, tanaman nanas turut terdapat di daerah-daerah lain seperti Sabak Bernam dan Klang.

Penyertaan

Justeru, bagi meningkatkan pendapatan petani dan penanam nanas setempat, projek rintis program pembangunan hab nanas telah dilancarkan di Kuala Langat.

Penyelaras Program Pembangunan Hab Nanas Kuala Langat, Irwan Ismail berkata, projek itu merupakan kerjasama antara Parlimen Kuala Langat, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Ia dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan komuniti menerusi penjualan buah dan penghasilan produk hiliran lain berasaskan buah tropika itu.

“Ketika ini, hampir 80 peserta berdaftar dalam Program Pembangunan Hab Nanas Kuala Langat melibatkan keluasan tanah seluas 29.6 hektar.

“Projek kerjasama antara penduduk tempatan dengan UPM dan UTHM itu melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Batu 9, Batu 10 dan Jenjarom,” jelasnya.

Jelas Irwan, keadaan geografi di Kuala Langat yang dikelilingi tanah gambut menjadikannya kawasan yang ideal untuk penanaman nanas.

Yankee

Menurutnya, nanas yang popular ditanam di Kuala Langat adalah daripada varieti Queen iaitu nanas Yankee atau digelar sebagai Selangor Sweet.

Varieti nanas yang sangat popular di Selangor itu memiliki buah yang besar dan banyak sulur. Ia sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna dan pemborong setempat.

Selain itu, pokoknya besar dan tinggi sehingga satu meter. Ia mampu menghasilkan buah dengan purata berat sehingga 1.4 kilogram sebiji.

Buah nanas Yankee manis dari segi rasa, berjus lazat selain memiliki pelbagai khasiat.

Tambah Irwan, projek rintis berkenaan memerlukan anggaran dana sebanyak RM50,000 dan ketika ini ia sudah mendapat sedikit suntikan dana menerusi UPM.

Ia membabitkan perusahaan penanaman dan penghasilan bahan berasaskan nanas, dengan pengenalan mesin hasil kajian kedua-dua universiti awam itu yang mengeluarkan serat daripada daun nanas.

Serat daripada daun nanas itu kemudian digunakan menghasilkan kertas, kraftangan, bahan makanan haiwan selain bahan komposit untuk aplikasi kejuruteraan bio berteknologi tinggi bagi industri automotif dan aeroangkasa.

Ia termasuklah membina kerangka dron daripada serat daun nanas dengan kerjasama Malaysia Unmanned Drone Activist Society (MUDAS).

“Petani, penternak dan peladang perlu bersama-sama berganding bahu serta memainkan peranan masing-masing bagi mengangkat martabat ekonomi sektor pertanian tempatan.

“Paling penting ialah dari sudut pelaksanaan dan sokongan masyarakat dalam menjayakan projek rintis ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Wahid Razzaly berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pembangunan projek rintis itu.

Daun nanas

Katanya, melihat potensi nanas yang bukan sekadar dimakan buahnya semata-mata, pelbagai produk dapat dihasilkan dengan menggunakan daun nanas sebagai bahan asas seperti kertas, kraftangan dan pelbagai produk sampingan lain.

Secara tidak langsung, bahan buangan daripada buah terbabit dapat diusahakan sehingga menjadi sumber pendapatan masyarakat setempat tanpa perlu bergantung kepada hasil jualan buah berkenaan.

“Pihak kami bersedia memberikan kerjasama dalam pelbagai bentuk sama ada penyelidikan dan sebagainya untuk kebaikan rakyat.

“Kami berharap tanaman nanas ini boleh dijadikan satu kemegahan buat masyarakat di sini sekali gus memacu industri pertanian negara lebih maju ke hadapan,” jelasnya.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi LPNM Daerah Kuala Langat Selangor, Mohd. Raffee Mohd. Hassan berkata, industri nanas negara perlu berkembang dengan memasarkan tanaman berkenaan secara kreatif dan inovatif.

“Seiring dengan perkembangan industri hiliran nanas, pembuatan produk di luar kotak perlu dipergiatkan.

“Pengusaha ladang tidak perlu risau kerana tanaman kontan ini mempunyai potensi yang sangat besar dan telah pun berada di pasaran sekarang meliputi aiskrim, karipap, cip dan nanas goreng,” kongsinya.

Selain itu, LPNM turut memberikan pelbagai subsidi tanaman nanas kepada pengusaha tempatan bagi mengukuhkan segmen tanaman berkenaan.

Antara input pertanian yang diperkenalkan juga termasuklah dalam bentuk baja, bahan tanaman dan benih.

Setakat tahun 2017, nilai bersih pengeluaran nanas negara sebanyak RM452,208.87.