Setiap kali kedatangan haid, Chaodza tidak akan ke sekolah kerana mahu mengelakkan rakan-rakannya tahu keadaan tersebut.

Kedua-dua ibu bapa mahupun kekasihnya yang merupakan petani di daerah Makonde, Zimbabwe tidak mampu membeli tuala wanita.

Zimbabwe sedang mengalami krisis kebersihan apabila ramai pelajar sekolah terlalu miskin untuk membeli produk keperluan asas wanita itu.

Mereka bergantung kepada sumbangan para guru, cebisan kain, tumbuhan dan surat khabar lama.

Februari lalu, beratus-ratus gadis dan wanita telah berkumpul di ibu negara untuk perarakan Kempen Aliran Selamat bagi menuntut penjualan tuala wanita dengan harga yang lebih berpatutan.

Wanita Pertama, Auxillia Mnangagwa telah mengagihkan tuala wanita kepada golongan yang miskin sekali gus memberikan harapan sehingga pilihan raya supaya krisis tersebut dapat dikurangkan.

“Jika kita mengundi orang yang betul untuk memimpin negara, saya yakin isu kesulitan untuk mendapatkan tuala wanita dapat ditangani,” kata Chaodza.

“Sesetengah gadis muda menggunakan rumpai dan daun sebagai ganti tuala wanita sehingga menjejaskan kesihatan mereka,” kata Obert Masaraure, Presiden Kesatuan Guru di Amalgamated.

“Justeru, kami merayu supaya tuala wanita percuma disediakan di sekolah untuk kegunaan anak-anak gadis yang tidak mampu,” katanya.

Kerjasama guru luar bandar dan masyarakat setempat menerusi Rangkaian Tindakan Dialog Pemuda juga membantu.

“Kami telah berjaya meningkatkan sumber pendapatan untuk membolehkan penyediaan tuala wanita di luar bandar bagi membantu golongan ini,” kata Pengarahnya, Catherine Mkwapati.

Harga mahal

Malah, bagi Tracy Hungwe, 37, kemiskinan menjadikan masalah tidak mampu membeli tuala wanita berulang setiap bulan.

“Saya berkongsi tuala wanita kecil dengan anak perempuan yang berumur 16 tahun semasa haid kerana harganya amat mahal.

“Walaupun harga dikurangkan sedikit lebih murah, kami masih tidak mampu,” katanya.

Dua tahun kebelakangan ini, kewangan yang semakin teruk di Afrika Selatan menyebabkan harga tuala wanita menjadi lebih mahal.

Syarikat Clovit Investments yang mengeluarkan tuala wanita di Zimbabwe telah beroperasi empat tahun yang lalu dan produknya kini diimport dari negara-negara jiran seperti Afrika Selatan menyebabkan berlakunya peningkatan harga.

November tahun lalu, pembuat tuala wanita Onsdale Enterprises terpaksa menutup syarikatnya kerana tidak mempunyai mata wang asing untuk mengimport bahan mentah.

Ahli Parlimen Parti Perubahan Demokratik telah menggesa kerajaan untuk melabur dalam industri dan menyediakan produk berkenaan secara percuma sebagai satu penghormatan kepada wanita.

“Keperluan seperti kondom dan tuala wanita perlu diberikan secara percuma. Kerajaan perlu memelihara maruah wanita dan kanak-kanak dengan lebih serius,” kata Jessie Majome, dari parti pembangkang MDC.

Kekurangan wang tunai terutama di kawasan luar bandar yang terdiri daripada 70 peratus penduduk menyukarkan lagi pembelian tuala wanita.

“Walaupun, seseorang itu menghantar wang menggunakan telefon bimbit tetapi kedai memerlukan wang secara fizikal,” kata Chaodza.

Usahawan yang menjual produk tuala wanita yang diimport memerlukan mata wang asing untuk meraih keuntungan mendorong harga meningkat dua kali ganda.

“Kita memerlukan mata wang asing untuk mendapatkan produk berkenaan dan dalam masa yang sama mahukan keuntungan. Kita tidak boleh menjalankan perniagaan untuk kebajikan semata-mata,” kata Jimson Mugove yang menjual tuala wanita yang diimport dari Afrika Selatan.

Aktivis mengatakan keadaan di Zimbabwe semakin mendesak memaksa anak gadis dan wanita miskin di negara itu mengambil keputusan terdesak.

“Hanya kerana mereka mahu memakai tuala wanita, sesetengah terdesak untuk terlibat dengan seks bebas bagi meraih wang,” kata Sarah Chikono, seorang aktivis Kumpulan Hak Wanita Zimbabwe.

“Lebih parah lagi, ia tidak berakhir di situ kerana sesetengahnya telah mendapat jangkitan AIDS,” ujarnya. – Reuters