Selain kerana harganya yang dianggap tidak munasabah, kotak yang diperbuat daripada kadbod itu turut menarik perhatian ramai kerana kegunaannya bukan untuk menyimpan barang, tetapi berfungsi membantu seseorang itu untuk berfikir.

Mungkin kedengaran tidak masuk akal, namun kotak yang diberi nama Thought Box (kotak fikiran) itu dicipta bertujuan untuk membantu seseorang berfikir dengan tenang.

Ketenangan

Idea untuk menghasilkan kotak untuk berfikir tercetus selepas sebuah syarikat perkakasan rumah, The Form Emporium yang berpangkalan di England mendapati, suasana di dalam pejabat dengan ruang terbuka mencetuskan gangguan terhadap pekerja untuk berfikir dengan sempurna.

Menurut jurucakap syarikat itu, suasana ruang terbuka menyebabkan pekerja sukar mencari ruang peribadi bagi menjana idea, sekali gus menyebabkan hasil kerja mereka tidak berkualiti.

“Dengan menggunakan kotak fikiran, anda boleh menikmati suasana tenang secara peribadi di mana-mana sahaja.

“Caranya begitu mudah iaitu memasukkan kepala ke dalam kotak, pakai penyumbat telinga yang disediakan dan duduk dengan tenang di atas bangku untuk berfikir dengan tenang,” ujarnya.

Kotak fikiran bukan sahaja membantu seseorang itu untuk berfikir, bahkan ia juga didakwa berguna bagi mereka yang berdepan dengan sebarang masalah.

Kit kotak fikiran itu diperbuat daripada kotak kadbod dan dibaluti dengan kain lycra. Bahagian dalam kotak itu pula terdapat topi keledar plastik yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian kepala pengguna.

Selain itu, pembelian kotak fikiran juga disertakan dengan penyumbat telinga dan lima penapis kain pelbagai warna yang boleh ditukar mengikut kesesuaian mood.

“Pembeli juga mendapat bangku berfikir diperbuat daripada kayu pokok beech yang selesa,” ujar kenyataan itu lagi.

Membazir

Merujuk halaman online syarikat berkenaan, kotak fikiran diibaratkan seperti ruang peribadi, membuatkan pengguna berfikir dengan tenang bagi menggalakkan kecekapan mental.

Produk aneh itu mula tular di laman sosial Twitter sejak bulan lalu selepas pengendali rancangan BBC 2 Radio, Jeremy Vine memuat naik perkongsian kotak fikiran itu dalam laman Twitter miliknya.

Rata-rata pengguna laman sosial berasa geli hati apabila melihat cara menggunakan kotak fikiran yang disifatkan sangat kelakar.

“Memasukkan kepada ke dalam kotak kadbod dan anda akan terus menjadi bijak adalah perkara yang sangat menggelikan hati,” ujar seorang pengguna Twitter.

Seorang lagi pengguna laman sosial berpendapat, tidak mustahil pada masa depan ada pengeluar yang akan mencipta produk serupa dengan fungsi sama menggunakan periuk atau kuali.

“Saya tidak akan membazirkan wang semata-mata untuk membeli kotak biasa yang boleh dibeli di Ikea pada harga AS$14.99 (RM61.10),” ujar seorang pengguna Twitter.