Filem terbitan tahun 1989 itu mengisahkan seekor duyung bernama Ariel yang mempunyai sifat ingin tahu mengenai kehidupan manusia di darat. Dia akhirnya berkahwin dengan putera kacak bernama Eric.

Menerusi filem animasi berkenaan, ia sedikit sebanyak telah membuatkan Ong Shiao Hui, 23, terpengaruh untuk menjadi seperti Ariel. Dia mula memikirkan alangkah bagus jika dapat mempelajari teknik berenang seperti duyung.

“Sejak kecil lagi saya meminati watak-watak puteri dalam filem terbitan Walt Disney terutamanya Ariel. Disebabkan sering membayangkan keadaan itu, timbul perasaan ingin mempelajari teknik berenang ala duyung,” katanya ketika ditemui di Sentral Residence, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambil tergelak kecil, Shiao Hui atau lebih mesra disapa Agnes berkata, dirinya memang suka berangan, tetapi apa yang difikirkannya tidaklah melampaui batas.

Idea

Agnes merupakan pelajar Perakaunan di Kolej Damansara Utama (KDU) mula mengikuti kelas renang sejak berumur 18 tahun.

“Pada mulanya, saya hanya mengikuti kelas renang biasa kerana tidak mengetahui terdapat kelas renang teknik duyung di negara ini. Beberapa bulan selepas itu, saya dimaklumkan oleh rakan ibu tentang kewujudan kelas tersebut lalu saya mendaftarkan diri.

“Saya agak kekok ketika mempelajarinya pada peringkat awal, namun kerana minat yang mendalam terhadap dunia renang, segala-galanya menjadi mudah,” ujarnya yang merupakan salah seorang pelajar terawal yang mengikuti kelas renang teknik duyung di Dolphin Lee Aquatics Sdn. Bhd. (Dolphin Lee Aquatics).

Dalam tempoh hanya tiga bulan, anak sulung daripada tiga beradik itu mampu membuat persembahan di depan khalayak ramai. Sejak itu, dia mula yakin dengan teknik renang ala duyung yang dipelajarinya.

Menyingkap kisah renang ala duyung itu, Dolphin Lee Aquatics yang terletak di Bandar Baru Klang telah memulakan sesi pembelajaran tersebut sejak tahun 2010. Ketika itu, pelajar yang berminat dengan teknik berkenaan hanya empat orang.

Kelas-kelas renang seperti duyung telah wujud sekitar awal tahun 2010 di beberapa buah negara seperti Australia, Kanada, Filipina, Jerman dan Thailand namun ketika itu ia tidak begitu popular.

Menurut Pemilik Dolphin Lee Aquatics, Lee Boon Leong, 42, idea untuk membentuk sebuah kelas mempelajari teknik renang seperti duyung tercetus semasa dia memikirkan kelainan pusat renangnya.

Boon Leong yang mahir pelbagai teknik berenang seperti kuak lentang, kupu-kupu, selam skuba, bersnorkel dan berenang bebas tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan itu mahu mempelajari teknik lain.

Maka, dari situ lahirnya idea berenang ala duyung berkenaan. Sehingga kini, Boon Leong sudah berjaya melahirkan 200 ‘duyung’ di bawah seliaannya.

“Mempelajari teknik berenang seperti duyung ini tidaklah terlalu sukar namun ia memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi. Ujian pertama yang harus dilepasi pelajar ialah pandai berenang.

“Kemudian peringkat seterusnya, pelajar harus memiliki lesen menyelam. Ia penting kerana berenang seperti duyung ini tidak dilakukan di dalam kolam sahaja sebaliknya pelajar juga harus pandai berenang di laut terbuka,” ujarnya yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam dunia renang.

Tambahnya, untuk menguasai teknik renang seperti duyung, ia mungkin memakan masa satu hingga tiga bulan bergantung pada kebolehan masing-masing. Untuk mengikuti kelas renang seperti duyung, tiada had umur ditetapkan. Sesiapa sahaja yang berminat boleh menyertainya.

Stamina dan kesihatan yang baik juga memainkan peranan penting untuk bergelar perenang duyung yang berkebolehan.

Stamina

Jelasnya, untuk menjadi duyung, pelajar tidak boleh bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Pelajar harus mempelajari teknik pernafasan di dalam air tanpa menggunakan alat bantuan berkenaan.

Di sini, stamina dan diet yang sihat amat penting bagi menjamin kesihatan yang baik supaya apabila berenang, pelajar tidak mudah berasa letih. Yuran untuk mempelajari teknik berenang seperti duyung ialah RM169 sebulan.

“Mempelajari teknik berenang ala duyung ini memang diakui agak penat berbanding berenang biasa kerana pelajar perlu memakai kostum sirip ikan duyung yang disarung pada kaki sehingga ke paras pinggang.

“Sirip ini terdiri daripada dua jenis, kain yang mempunyai manik berkilau manakala satu lagi silikon. Kedua-duanya amat berat dan harus dikelola dengan teknik betul,” ujarnya sambil memaklumkan sirip duyung jenis kain dihasilkan sendiri dengan kos RM700 manakala jenis silikon pula ditempah pada harga RM10,000.

Usai pelajarnya sudah mahir dengan teknik berenang seperti duyung, mereka boleh bernaung di bawah Dolphin Lee Aquatics dan menyertai persembahan-persembahan seperti di Aquaria atau sambutan majlis hari jadi.

Boon Leong sebelum ini pernah bekerja sebagai pereka produk pembersih vakum di salah satu syarikat elektronik terkemuka.

Ramai yang meragui kemampuannya ketika mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya tersebut, lebih-lebih lagi ketika itu usianya baru awal 20-an.

Dia mengakui, minatnya terhadap dunia renang lebih mendalam walaupun memiliki Diploma Elektrik dan Elektronik. Katanya, setiap kali habis waktu kerja, dia akan meluangkan masa di kolam renang. Kadangkala ada rakan-rakannya yang meminta tolong mengajar berenang dan dia diberikan upah.

Wang simpanan

Pada 2002, Boon Leong mula menubuhkan Dolphin Care Enterprise dan mengajar teknik renang di kolam renang Shah Alam, Selangor. Ketika itu dia memiliki 100 orang pelajar dan mengenakan bayaran RM40 bagi setiap seorang.

Saban hari, kelas renangnya semakin mendapat sambutan. Dia melihat kelas berenang mempunyai peluang yang besar untuk dikembangkan.

Pada 2011, dia menubuhkan Dolphin Lee Aquatics menggunakan wang simpanannya bersama isteri sebanyak RM50,000 seterusnya menyewa ruang 232 meter persegi di Klang Executive Club. Klang Executive Club ialah sebuah kelab di Klang, Selangor yang menempatkan kolam renang sepanjang 25 meter.

“Pada masa akan datang, saya bercadang meluaskan lagi perniagaan ini ke luar negara, namun ketika ini saya masih sibuk memenuhi undangan persembahan di dalam negara,” jelasnya yang sudah mendaftarkan hak cipta teknik berenang seperti duyung bagi mengelakkan ia ditiru. Dolphin Lee Aquatics kini mempunyai 30 orang kakitangan termasuk pelatih.

Selain di Klang, Boon Leong turut mempunyai sebuah pejabat di Pulau Redang, Terengganu.

Ia dapat memberi kemudahan kepada perenang yang ingin mengambil lesen menyelam di bawah kursus menyelam kelolaan Persatuan Pengajar Menyelam Profesional.

Pelajar harus mahir berenang dan memiliki lesen selam skuba sebelum mengikuti kelas renang teknik duyung yang dikelolakan oleh Lee Boon Leong.