Keadaan tersebut turut menghimpit Menteri Keluarga Korea Selatan, Chung Hyun-Back yang kekal bujang pada umur 64 tahun demi mengejar kerjaya profesional.

Bagaimanapun, Hyun-Back percaya kempen untuk memulihkan semula kadar kelahiran bayi di negara itu tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Peranan gender seorang suri rumah yang dipandang rendah dan budaya kuat bekerja memaksa generasi muda untuk tidak melahirkan anak.

“Lagipun, membahagikan antara kerjaya akademik, perkahwinan dan membesarkan anak-anak adalah sangat sukar, malah ia hampir mustahil.

“Maka tidak hairanlah, kebanyakan profesor dalam kalangan wanita di sini masih berstatus bujang biarpun umur mereka kini dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun,” ujarnya.

Pertumbuhan ekonomi di Korea Selatan sejak berdekad lalu menyaksikan lonjakan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) ekoran budaya kerahan kerja.

Meskipun begitu, kadar kelahiran di negara tersebut merudum secara drastik sejak dua tahun lalu.

Terendah

Purata jumlah bayi yang dilahirkan sepanjang hayat seseorang wanita hanya 1.17 pada tahun 2016.

Ia merupakan kadar kesuburan terendah di dunia dibandingkan dengan purata kelahiran global iaitu 2.4.

Lebih malang, pada tahun lalu, angka tersebut semakin menurun dengan mencatatkan rekod terendah iaitu 1.07 apabila kadar kelahiran buat pertama kali berada di bawah 400,000.

Dianggarkan, populasi negara sebanyak 50 juta yang kini dipenuhi dengan warga emas itu akan semakin mengecil menjelang tahun 2050.

Pakar akademik menyifatkan, faktor yang mendorong kepada masalah tersebut adalah kenaikan harga hartanah, kos sara hidup dan masalah pengangguran.

Namun, jelas Hyun-Back, masalah utama yang sering diabaikan ialah jurang ketidaksamaan gender dan waktu kerja yang panjang.

Korea Selatan yang merupakan negara kedua memiliki purata waktu kerja terpanjang di dunia itu menganggap golongan wanita sebagai penjaga utama anak-anak sama ada mereka bekerja atau tidak.

Disebabkan itu, kebanyakan firma akan menyuruh pekerja wanita mengandung berhenti kerja kerana tidak mahu menanggung kos cuti bersalin.

Bagi wanita yang mahu kembali bekerja selepas bersalin, prospek karier mereka dianggap sudah tercemar.

“Fenomena tidak adil ini menyebabkan kebanyakan wanita lebih memilih karier berbanding perkahwinan dan cahaya mata.

“Sekiranya kita tidak sepakat mencari solusi, masa depan Korea Selatan dipenuhi generasi yang menjauhi perkahwinan, jauh sekali kadar kelahiran bayi baharu,” jelasnya.

Satu tinjauan oleh kementerian terbabit yang menunjukkan sebanyak 68 peratus pelajar kolej wanita berniat untuk berkahwin manakala bagi pelajar lelaki ialah sebanyak 80 peratus.

Antara kegusaran bagi wanita yang enggan berkahwin ialah bebanan kerja di rumah dan tempat kerja.

Kata seorang pengguna yang ingin dikenali sebagai Kim, bebanan kerja ibu-ibu berkerjaya diratapi oleh masyarakat setempat.

“Bos saya kerap mengadu bahawa isterinya mementingkan diri sendiri dan terlalu mengejar cita-cita sehingga gagal mengambil anak dari sekolah tepat pada masanya.

“Orang ramai menganggap perkahwinan sebagai penamat bagi wanita yang bijak dan berinspirasi,” jelasnya.

Kerajaan Korea Selatan kini giat menjalankan kempen untuk mengatasi pengurangan kadar kelahiran tersebut.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In berkata, kerajaan akan mendapatkan penyelesaian bagi mengatasi masalah tersebut.

“Antara solusi yang wajar dipertimbangkan ialah pengurangan waktu bekerja.

Penyelesaian

“Selain itu, kerajaan juga berhasrat untuk membina masyarakat yang memandang tinggi martabat wanita.

“Golongan wanita masih mampu mengejar cita-cita sambil berkahwin, memberikan cahaya mata dan membesarkan anak-anak,” katanya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Lima daripada 19 ahli Kabinet terdiri daripada wanita bersamaan dengan 28 peratus, termasuk Hyun-Back dan Menteri Luar Negara wanita pertama iaitu Kang Kyung-Wha.

Perubahan yang sedang dibawa ialah Seoul telah menetapkan kuota tidak terikat untuk wanita berpangkat dalam agensi dan syarikat kendalian kerajaan.

Selain itu, sokongan kewangan untuk golongan lelaki mengambil cuti bersalin juga telah ditingkatkan.

Malah, pelbagai manfaat juga sedang diikhtiarkan untuk wanita yang tidak berkahwin.

Pihak kerajaan berharap ia dapat mengubah atmosfera sosial dan menggalakkan firma swasta untuk mengikutinya.