Baik Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Syria, Iraq, Qatar, Kuwait atau manapun jua, terdapat sejenis minuman yang secara tradisinya begitu popular dikaitkan dengan Ramadan.

Agak mengejutkan kerana ia bukanlah minuman yang berasal dari rantau itu sebaliknya ia berasal dari Britain. Minuman yang dimaksudkan ialah kordial berwarna ungu yang tidak mengandungi alkohol, Vimto.

Minggu lalu, portal berita, Independent dan Daily Mail melaporkan minuman kordial yang dikilangkan di Manchester pada tahun 1908 dan diperbuat daripada anggur, anggur hitam dan raspberi itu mencatatkan jualan tertinggi di negara-negara Teluk sewaktu bulan Ramadan.

Setiap tahun, lebih 35 juta botol Vimto terjual di negara-negara terbabit pada bulan tersebut. Laporan-laporan berita bisnes mencadangkan lebih separuh daripada jualan Vimto tahunan terjual pada bulan Ramadan.

Menurut Independent, ketika kelaziman makanan dan minuman yang diambil oleh penganut Islam semasa berbuka puasa merupakan menu buatan sendiri, Vimto merupakan minuman yang kurang konvensional namun acap kali tersedia di meja-meja iftar.

Laman-laman sosial seperti Twitter, Instagram dan Youtube juga bagai bukti jelas populariti minuman itu di negara-negara Arab semasa bulan Ramadan. Jika kita di Malaysia sering menganggap iklan ‘bisikan’ kurma sebagai petanda Ramadan kian hampir, di negara-negara Arab apabila Vimto bersusun tinggi di ruangan khas di pasar-pasar raya.

Perkongsian foto-foto yang menunjukkan pasar raya mengehadkan pembelian Vimto kepada dua atau empat botol sahaja bagi setiap pembeli menunjukkan kegilaan terhadapnya pada bulan puasa.

Seorang lelaki dengan nama Omar menulis di Twitter “Adakah benar-benar Ramadan jika anda tidak menikmati Vimto? dan ThatLibyanGirl menulis: musim Vimto bermula, selamat menyambut Ramadan Kareem kepada semua.”

Sesetengah media di Asia Barat bahkan menyifatkan kedatangan Ramadan turut membawa maksud demam Vimto mula melanda selain ada yang menggelarnya ‘raja minuman Ramadan’ yang tidak boleh disangkal.

Seorang lelaki Syria yang dikenali sebagai Amaf Yousef menyifatkan Vimto sering mengingatkannya tentang berbuka puasa bersama keluarga.

Iklan

“Bapa membawa minuman itu. Di dalam kereta kami penuh dengan pelbagai makanan dan buah-buahan.

“Kemudian menjelang waktu berbuka puasa, kami mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran sambil menanti matahari tenggelam. Ibu pula menyediakan Vimto dengan kiub-kiub ais di dalam jag,” katanya kepada The Guardian.

Bercakap kepada Gulf News baru-baru, pengurus pemasaran Vimto di Asia Barat, Rasha Sakr berkata, dari satu generasi ke satu generasi, Vimto menjadi fenomena di rantau itu serta sinonim dengan Ramadan.

“Walaupun minuman ini boleh didapati sepanjang tahun, ia dipromosikan secara luar biasa pada bulan Ramadan. Iklan komersial televisyen dan papan iklan merata-rata.

“Vimto lazat dan menyegarkan untuk dinikmati pada waktu berbuka puasa dan melegakan badan selepas seharian menahan lapar dan dahaga. Ia berkembang menjadi simbol Ramadan tentang kemanisan bersama.

“Setiap ibu menyediakan kordial ini dengan cara yang unik. Realitinya, penyediaan Vimto yang boleh dipelbagaikan dengan aneka resipi minuman itu menjadikan ia tidak boleh ditukar ganti dengan minuman Ramadan yang lain,” katanya.

Manis

Arab News melaporkan Arab Saudi, Kuwait, Oman dan Iraq merupakan pasaran terbesar Vimto di dunia. Dipercayai versi Vimto yang dijual di negara-negara Arab lebih manis daripada di Barat.

Doha News pada 2016 pula pernah melaporkan tentang kecintaan rakyat Qatar terhadap minuman itu pada bulan Ramadan.

“Anda dicabar untuk mencari mana-mana pasar raya di negara-negara Asia Barat yang tidak memberikan Vimto satu ruangan khas ketika bulan Ramadan,” kata laporan itu sambil menyatakan kelaziman minuman itu akan disusun tinggi seperti menara.

Seorang profesor psikologi dari Universiti Zayed, UAE, Dr. Justin Thomas cuba merungkai obsesi rakyat Qatar terhadap minuman ini.

“Warna ungu mempunyai status yang istimewa bagi Qatar. Satu ketika dulu, marun Qatari warna yang rapat dengan ungu, meliputi dua pertiga daripada bendera negara itu.

“Tambah pula, pada era purba, lebih daripada tiga juta tahun dahulu, Qatar dalam Al-Khor Islands sangat terkenal sebagai pengeluar pewarna ungu,” katanya.

Seorang imam yang tinggal di Manchester, Asad Zaman berkata, salah satu sebab mengapa Vimto begitu popular di negara-negara Asia Barat kerana mereka sukakan yang manis.

“Selepas seharian berpuasa perut anda kosong dan tubuh badan rendah tenaga. Sesuatu yang manis merupakan penawar pantas dalam memberikan tenaga kepada tubuh badan. Sudah tentu juadah lain seperti kurma digalakkan.

Zaman berkata, Vimto merupakan minuman alternatif yang baik menggantikan minuman-minuman berkafein. Namun tegasnya, cecair yang terbaik tetap air kosong diambil semasa berbuka puasa.

Dehidrasi

“Adalah penting untuk menghindari apa sahaja yang berkafein kerana ia boleh membuat tubuh dehidrasi lebih cepat,” katanya.

Asia Barat merupakan peminat Vimto di dunia di luar Britain. Arab Saudi merupakan pasaran terbesarnya, diikuti Kuwait dan UAE.

Menurut sejarah, Vimto dicipta di Manchester pada tahun 1908 oleh John Noel Nichols. Minuman bergula Vimto dengan campuran anggur, raspberi dan anggur hitam serta beberapa herba tertentu itu dengan pantas menjadi popular di negara-negara empayar Britain. Ia boleh didapati secara meluas di India.

Pada tahun 1920, banyak rakyat India bermigrasi ke Asia Barat untuk bekerja sebagai kerani, sekali gus membawa bersama cita rasa minuman mereka. Pada tahun 1928, kuantiti besar minuman itu dieksport ke rantau tersebut menerusi firma Abdulla Aujan & Brothers. Sejak itulah cinta Asia Barat dan Vimto bersemi.

Di Arab Saudi, Vimto dikilangkan di bawah lesen Aujan Industrial Company.

Minuman itu telah membantu Sheikh Adel Aujan, seorang taikun Arab Saudi yang mengawal jenama itu di rantau ini menjadi seorang bilionair.

Di sebalik populariti Vimto, ironinya, perkataan Vimto bukanlah suatu yang serasi dengan masyarakat Arab memandangkan huruf V tiada dalam lidah Arab. Di dalam bahasa Arab, V pada Vimto ditukar kepada huruf ‘fa’.

Pengasas Vimto, Nichols sendiri semasa wawancara bersama BBC pada 2013 pernah berkata, populariti minuman itu di negara-negara Arab barang kali lebih hebat berbanding Britain sendiri.

“Saya rasa di beberapa bahagian di Asia Barat, Vimto lebih dikenali berbanding di Britain. Mereka sukakan rasanya, dan hakikat bahawa ia tidak mengandungi alkohol telah sangat secara jelas menjadi faktor penerimaannya,” katanya.