Tidak semena-mena perkataan selamat hari ibu dan bait-bait perkataan yang tertera pada kad ucapan nukilan anak lelakinya itu begitu menyentuh jiwa anak jati Ipoh, Perak ini.

Sejak lapan tahun lalu, itu merupakan detik-detik yang paling dinanti-nanti Yusniza setiap kali tibanya hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei.

Ternyata, naluri keibuan yang ada dalam diri wanita bertubuh langsing itu tidak pernah memudarkan perasaan kasih dan sayang terhadap anaknya.

Biarpun begitu, kesibukan tugasan harian sebagai seorang kru kabin Air­Asia di awan biru sedikit sebanyak menyebabkan dia terpaksa mengorbankan masa bersama anaknya itu.

“Menjadi seorang pramugari dan ibu pada masa yang sama bukanlah satu perkara yang mudah.

“Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan terutamanya dari segi masa terhadap keluarga dan juga anak-anak,” jelasnya.

Bagaimanapun, disebabkan tugas sebagai pramugari merupakan sumber pendapatan dia sekeluarga, Yusniza akur dan tabahkan hati.

Akui Yusniza, pada mulanya dia turut berasa janggal dan sukar untuk menyesuaikan diri sebaik sahaja status seorang isteri bertukar kepada ibu.

“Saya mula melibatkan diri dalam dunia penerbangan pada usia 18 tahun. Bagaimanapun, pada waktu itu saya bekerja dengan sebuah syarikat pe­nerbangan lain dan mula menyertai AirAsia tiga tahun yang lalu.

“Ternyata untuk tinggalkan anak dan terbang jauh adalah satu perkara yang sukar untuk dilakukan bagi seorang ibu. Lebih-lebih lagi ketika anak masih kecil dan belum bercerai susu.

“Sedih hati ini apabila mengimbau kembali tangisan Muhammad Danish Mikael setiap kali melihat saya mengemas beg pakaian. Mungkin pada waktu itu dia tahu saya akan pergi bekerja meninggalkannya dalam tempoh yang agak panjang,” jelasnya.

Benar kata pepatah, alah bisa tegah biasa. Akui Yusniza yang kini menetap di Putrajaya ini lagi, sejak menjadi pramugari 15 tahun lalu, dia kini sudah lali apabila perlu terbang jauh dan terpaksa berpisah dengan anaknya dalam tempoh yang panjang.

Disebabkan itu, bagi membalas kembali masa-masa yang telah dikorbankan untuk anaknya, Yusniza akan meluangkan sepenuh waktu yang ada untuk Danish setiap kali tiba cuti berehat iaitu sebanyak dua kali dalam seminggu.

“Sebolehnya saya akan kosongkan aktiviti dan beri tumpuan sepenuhnya untuk anak.

“Selalunya, kami akan me­luangkan masa dengan bercuti. Secara tidak langsung, ia bukan sahaja dapat mengubat kerin­duan sepanjang tempoh berjauhan, tetapi pada masa yang sama dapat mengeratkan lagi hubungan kami anak-beranak,” jelasnya.

Juruterbang

Lain pula ceritanya bagi Santhy Krishnan, 31. Biarpun bergelar seorang ibu ketika kariernya sedang memuncak, namun status tersebut langsung tidak menghalang­nya daripada terus mengejar kerjaya yang diimpikan sejak di bangku sekolah.

Tambahan pula, Santhi kini dilantik sebagai Ketua Pramugari di AirAsia X sejak tahun 2014.

“Bergelar ibu pada usia muda sudah tentu merupakan satu pe­ngalaman yang mengagumkan.

“Sama seperti ibu-ibu lain di luar sana, saya juga mahukan yang terbaik untuk anak dan keluarga.

“Bagaimanapun, saya terpaksa korbankan waktu untuk bersama anak dan menahan rindu berjauhan de­ngannya semata-mata untuk memastikan masa depannya terjamin,” jelasnya.

Menurut wanita kelahiran Bentong, Pahang itu, bergelar sebagai seorang pramugari sejak sembilan tahun lalu membuatkan dia turut memasang impian untuk melihat anaknya, Thaybhev Na­resh berkecimpung dalam bidang yang sama dengannya.

“Bekerja terbang di awan biru setiap hari membuatkan saya begitu teruja dan menyukai pekerjaan yang dilakukan.

“Disebabkan itu, saya menanam hasrat untuk melihat anak merasai keseronokan bekerja di awan biru dengan menjadi seorang juruterbang sejak dia berada di dalam perut lagi.

“Justeru bagi merealisasikan impian tersebut, saya dan suami kini sedang berusaha untuk mengumpul wang bagi membolehkan kami menghantar anak ke institusi penerbangan terbaik dan sete­rusnya melihat dia terbang memandu pesawat satu hari nanti,” jelasnya yang kini menetap di Batu Caves, Selangor.

Fitrah wanita

Sementara itu, bagi Zainab K.A. Salum, tuntutan kerjaya di dalam sektor yang diceburi tidak menghalangnya daripada memberi­kan yang terbaik buat dua orang puterinya.

Sama seperti ibu-ibu yang lain, Zainab tetap menjaga kebajikan rumah tangga dan anak-anaknya dengan baik.

Ternyata, kepenatan sebaik pulang bekerja tidak pernah menghalang ibu muda kelahiran Iraq itu daripada terus melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

“Anak merupakan satu anugerah. Justeru, bagi saya, tidak ada masalah bekerja sebagai pramugari dan pada masa yang sama memegang status sebagai ibu.

“Sepanjang berkhidmat dalam bidang ini selama lapan tahun sejak 2010, saya akui rutin harian mula berubah terutamanya sebaik puteri sulung kami dilahirkan empat tahun lalu.

“Disebabkan saya ditugaskan untuk penerbangan domestik, saya akan pulang ke rumah sebaik sahaja habis waktu bekerja setiap hari sama seperti wanita-wanita bekerjaya yang lain,” jelasnya.

Menurut Zainab, ke­sibukan bekerja dan masa bersama keluarga yang terhad bukanlah tiket untuk dia mengabaikan makan dan minum dua orang puterinya itu.

“Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak terutamanya melibatkan aspek makanan supaya mereka mendapat nutrien lengkap untuk tumbesaran.

“Disebabkan itu, sejak mereka masih bayi lagi saya sudah melatih diri untuk menyediakan sendiri makanan untuk mereka.

“Seperti ibu-ibu lain, saya tidak terkecuali daripada merasai momen manis apabila terpaksa ‘berperang’ dengan masa setiap kali mahu mengepam stok susu untuk bekalan anak sepanjang ketiadaan saya di rumah.

“Tidak cukup dengan itu, saya juga akan memastikan makanan yang tinggi kandungan nutrien disediakan sebelum keluar be­kerja,” jelasnya.

Menurut Zainab lagi, rutin tersebut dilakukannya setiap hari tanpa mengenal erti lelah semata-mata kerana inginkan yang terbaik buat anak-anaknya.

“Walaupun penat dan sedikit terkejar-kejar, namun itu merupakan pengorbanan dan kenangan paling manis sebagai seorang ibu untuk dikenang pada masa hadapan.

“Mungkin saya tidak akan merasai perasaan ini jika tidak bergelar seorang ibu.

“Ini bukan sahaja bermakna buat saya, tetapi juga kepada ibu-ibu lain di luar sana,” jelasnya.

Kekangan waktu dan cabaran bertugas sebagai pramugari tidak menghalang mereka daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu terhadap anak-anak dengan sempurna tidak ubah seperti seorang suri rumah.