Dia bimbang keluarganya tidak dapat mencari tempat pelindungan baharu di sekitar bandar itu.

Kebakaran yang berlaku pada bulan lalu itu melibatkan seramai 220 penduduk Rohingya di atas sebidang tanah milik Yayasan Zakat Islam.

Hujjat melarikan diri ke Bangladesh dari Myanmar pada tahun 2002 dan kemudiannya ke India enam tahun kemudian.

Dia tinggal di rumah sewa yang kecil dan mempunyai pekerjaan tetap tidak seperti kebanyakan pelarian lain.

“Mencari pekerjaan dan tempat tinggal adalah masalah utama pelarian kerana tidak memiliki wang serta dokumen.

“Jadi, kami terpaksa tinggal di tempat yang dirasakan selamat dan melakukan sebarang pekerjaan untuk mencari rezeki.

“Kadangkala khemah yang didirikan akan dibanjiri air hujan dan anak-anak kecil dipatuk ular.

“Justeru, apabila pelarian diterima bekerja dan mempunyai wang sendiri, kehidupan mereka akan menjadi lebih baik,” katanya.

Hujjat adalah antara ribuan Muslim Rohingya yang menetap di India sejak beberapa tahun lalu selepas melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan di Myanmar.

Bagaimanapun, Penolong Profesor di Universiti O.P Jindal Global, Jessica Field berkata, pelarian menghadapi gangguan dan cabaran untuk meneruskan hidup di negara itu.

“India mempunyai tradisi yang amat kuat untuk menerima pelarian. Namun, lebih banyak pendekatan berasaskan kebajikan daripada hak dilaksanakan. Ia akan memberi masalah.

“Ketidakstabilan undang-undang membolehkan mereka mencari pekerjaan dan berjuang untuk mendapatkan akses perkhidmatan awam,” katanya.

Rakan sekutu Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Ipshita Sengupta berkata, pelarian mengimpikan kehidupan yang lebih baik iaitu tinggal di kawasan bandar dan menikmati keperluan asas seperti individu lain.

Ancaman

Di India, terdapat kira-kira 38,000 orang pelarian yang berdaftar dengan UNHCR dan 17,000 orang adalah Rohingya.

Rang undang-undang 2016 telah mengusulkan pendatang tanpa izin yang terdiri daripada penganut Hindu, Sikh, Buddha dan Kristian dari Afghanistan, Pakistan serta Bangladesh diberikan kewarganegaraan.

Namun, Perdana Menteri India, Narendra Modi bertegas terhadap etnik Rohingya dan menyifatkan mereka sebagai ancaman kepada keselamatan negara itu.

Justeru, satu petisyen terhadap pengusiran etnik Rohingya sedang menunggu untuk dibicarakan di mahkamah.

Field memberitahu, dasar negara yang tidak sama rata telah mencetuskan ketegangan dalam kalangan pelarian itu sendiri.

“Kemiskinan dan politik membuatkan pelarian terbelenggu dalam persekitaran bandar yang mendesak,” katanya.

UNHCR mengeluarkan Kad Identifikasi (ID) kepada pelarian manakala pencari suaka pula diberikan dokumen berdaftar, sekali gus membantu mencegah penangkapan dan pengusiran sewenang-wenangnya.

Selain itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan visa jangka panjang yang membolehkan mereka membuka akaun bank dan menyewa rumah.

Bagaimanapun, syarat baharu yang dikenakan iaitu pengenalan identiti biometrik oleh kerajaan menimbulkan cabaran terhadap pelarian.

“Ia menjejaskan kehidupan seharian mereka kerana ramai yang tidak mempunyai kad ini,” kata Sengupta.

“Dokumentasi dan dasar inklusif yang membolehkan pelarian mengakses kepada hak serta perkhidmatan asas menjadikan mereka ahli masyarakat yang konstruktif,” katanya.

Melatih

UNHCR telah bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan di New Delhi untuk melatih dan menempatkan pelarian dalam pekerjaan.

Antaranya kumpulan katering yang dijalankan oleh wanita Afghanistan dan Somalia yang menghasilkan masakan dari negara mereka.

Inisiatif yang berasingan turut dipimpin oleh pelajar Universiti Delhi yang melatih wanita pelarian Afghanistan menghasilkan makanan daripada tepung gandum.

“Peluang bekerja dan mencari nafkah adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk membina semula kehidupan,” kata Sengupta.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan peluang pendapatan tetapi membantu membina jaringan dengan masyarakat setempat,” katanya.

Menurut Hujjat, sehingga kini, penempatan Rohingya di Kalindi Kunj di New Delhi sedang dibina semula setelah rumah mereka musnah akibat kebakaran.

“Tiada siapa yang mahu meninggalkan rumah mereka dan berpindah ke negara lain.

“Ini sebuah bandar besar dan kami tidak berada di sini untuk mengambil pekerjaan atau rumah orang lain,” katanya. 
– Reuters