Walaupun gagal mendakap sebarang trofi sepanjang menyarung jersi Perak, segala keringat dan kudrat yang dicurahkan Thiago tidak dipersoalkan lagi.

Paling diingati penyokong Perak dan peminat bola sepak tempatan sudah pasti melihat kepada komitmen yang ditunjukkan Thiago ketika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh tahun lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Thiago mengalami pendarahan teruk pada hidung selepas bertembung dengan pemain lawan. Namun, apa yang lebih menarik perhatian adalah ketika pemain kelahiran Brazil itu merawat sendiri kecederaan yang dialaminya.

Ketika pasukan perubatan Perak dilihat seakan-akan buntu merawat kecederaan Thiago kerana darah tetap mengalir, pemain kelahiran Brazil itu pantas merampas bandage dan membalutnya sendiri pada mukanya.

Mungkin bagi Thiago pada detik itu, dia sudah tidak mempedulikan darah yang mengalir tetapi apa yang lebih penting, gawang Perak tidak dirobek sekali lagi oleh barisan penggempur JDT.

Ini kerana sebelum insiden berdarah tersebut, penyerang import JDT, Mohammed Ghaddar berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66 bagi memadam jaringan pembukaan Perak hasil gol sendiri pemain pertahanan JDT, Hasbullah Abu Bakar.

Semangat juang serta komitmen tinggi yang ditunjukkan Thiago itu sudah cukup membuktikan dia bermain demi lencana di dada sehingga akhirnya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Pengurus Perak, Ahmad Shahrul Azhar turut menghamburkan pujian kepada Thiago yang sanggup mengetepikan kecederaan dan mahu beraksi sehingga tamat perlawanan.

“Thiago sendiri mahu terus beraksi walaupun pada satu ketika dia terpaksa membalut sendiri pendarahan yang berlaku pada hidungnya. Pujian harus diberikan kepada Thiago yang terus mahu beraksi walaupun dalam keadaan seperti itu,” kata Ahmad Shahrul yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Biarpun dianggap antara pemain kesayangan penyokong setia Perak, Thiago harus akur bahawa dia tiada lagi dalam perancangan The Bos Gaurus mulai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Haluan baharu

Keputusan pihak pengurusan Pafa itu menyebabkan Thiago yang kini telah mencecah usia 33 tahun membawa haluan baharu dengan menyertai Felda United.

Seperti sudah diduga, kehadiran Thiago disambut baik pengendali Felda United, B. Sathianathan dan rakan-rakan sepasukannya yang melabelkan dia sebagai ‘kereta kebal’ baharu The Fighters.

“Sudah beberapa kali saya tengok Thiago meneruskan perlawanan walaupun mengalami kecederaan. Ini membuktikan betapa dia seorang yang komited,” kata penjaga gol Felda United, Farizal Harun.

Menyingkap kembali karier Thiago, dia yang pernah mewakili skuad Bawah 17 tahun Brazil pada Piala Dunia Remaja 2001 mengikat kontrak dengan kelab Atletico Mineiro pada 2004 hingga 2006.

Bagaimanapun, Thiago dipinjamkan ke kelab Denmark, Aalborg BK sehingga 2005 sebelum menyarung jersi America Mineiro pada 2007. pada musim-musim berikutnya, Thiago mewakili beberapa kelab kurang ternama di Brazil.

Pada 2007, Thiago berkelana ke Portugal dengan menyertai kelab Gondomar, namun kembali semula ke Brazil dua tahun kemudian untuk menyertai beberapa kelab di negara kelahirannya itu.

Kelibat Thiago di pentas Asia Tenggara mula kelihatan apabila dia menyertai kelab Vietnam, Dng Nai pada 2014 sebelum membuat kemunculan dalam musim pertama bersama Perak setahun kemudian.

Thiago juga mencipta sensasi dalam kalangan penyokong Harimau Malaya apabila meledak gol ketika membarisi skuad Pilihan Malaysia menentang kelab gergasi England, Tottenham Hotspur pada 29 Mei 2015.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, Pilihan Malaysia tewas 1-2 yang menyaksikan bintang England, Harry Keane menyumbang kedua-dua gol Spurs.

Thiago turut beraksi ketika Pilihan Malaysia seri 1-1 dengan Liverpool pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 25 Julai 2015.