Dia merupakan antara salah seorang peneroka kecil yang bertanggungjawab menyebabkan kemusnahan alam sekitar dengan melakukan aktiviti penerokaan di hutan hujan Amazon.

Kini, ladang penternakannya menghadapi masalah kerana undang-undang baharu yang menghalang pembukaan tanah baharu di hutan itu telah dilaksanakan.

Fachhi perlu mencari sumber pendapatan baharu. Dia telah mengemukakan pelan tindakan untuk menanam pokok koko di plot tanah seluas 300 hektar di negeri Para, Brazil.

“Saya mahu mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menanam pokok koko setelah penternakan lembu gagal memberi keuntungan,” jelasnya yang berusia 68 tahun.

Facchi menerangkan, dia tidak mahu merosakkan kawasan hijau hutan hujan Amazon lagi dengan menyertai industri pertanian dan menyokong aktiviti pemuliharaan.

Penternak lembu di Brazil kini banyak menanam koko di ladang mereka dengan bantuan kewangan daripada kumpulan alam sekitar antarabangsa.

Ia merupakan satu perubahan besar yang berlaku, selama berdekad penternak lembu telah meneroka dan menebang banyak pokok di hutan hujan Amazon yang menyebabkan satu kawasan bersaiz sama besar dengan negara Sepanyol menjadi gersang.

Persatuan pencinta alam sekitar pernah menyuarakan bahawa aktiviti penerokaan pembukaan kawasan baharu itu akan membinasakan habitat hidupan liar.

Selain itu, aktiviti itu juga akan melemahkan keupayaan bumi untuk meresap karbon dioksida dan boleh mengakibatkan masalah pemanasan global berlaku.

“Salah satu cara untuk mengelak daripada penerokaan hutan secara berterusan, pembukaan ladang-ladang koko merupakan satu penyelesaian terbaik dan memberi manfaat kepada penduduk sekitar dan ekonomi negara,” jelas persatuan pemuliharaan alam sekitar antarabangsa The Nature Conservancy dalam laman webnya.

Pokok-pokok koko muda juga akan membawa kepada perubahan pasaran koko global.

Persatuan Kebangsaan Industri Pemprosesan Koko (AIPC), Brazil menjangkakan, peningkatan dalam penanaman pokok tersebut dapat membantu menggandakan keluaran bahan mentah dalam menghasilkan coklat menjelang tahun 2028 sehingga 400,000 tan metrik setahun.

Hutan coklat

Ia akan meningkatkan output global sebanyak lima peratus.

Penanaman semula akan menjadikan Brazil sebagai salah satu daripada tiga negara penanaman koko terbesar di dunia.

Para penyelaras dan wakil-wakil industri koko mengharapkan kecenderungan untuk penanaman pokok koko akan mengurangkan kesan penerokaan yang telah memusnahkan lebih 430,000 kilometer persegi di hutan hujan Amazon sejak tahun 1980-an.

Pengarah Eksekutif AIPC, Eduardo Bastos memanggil ladang koko di Amazon sebagai hutan coklat.

“Sebanyak 50 peratus pertumbuhan pengeluaran koko pada masa akan datang adalah dari Amazon,” katanya.

Kumpulan pencinta alam seperti The Nature Conservancy dan Dana Amazon telah membantu membiayai pembukaan ladang koko baharu.

Dana Amazon yang ditubuhkan oleh kerajaan Brazil telah menyalurkan sebanyak AS$5.09 juta (RM19 juta) untuk memberi geran tanaman koko dalam membantu membasmi penerokaan hutan.

“Hampir 1,700 kilometer persegi ladang ternakan lembu di Brazil telah bertukar menjadi ladang-ladang koko. Amazon akan menjadi hutan coklat,” jelas Bastos.

Polisi baharu

Penanaman koko kebanyakan didorong oleh polisi baharu dalam industri ternakan yang telah mengubah insentif kewangan kepada para penternak.

Di Amazon, ladang ternakan boleh menjadi degradasi sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun jika ia tidak diuruskan dengan betul.

Pada tahun 2014, Brazil telah meluluskan undang-undang yang membolehkan pemilik tanah membersihkan hanya 20 peratus daripada tanah mereka di Amazon.

Pemilik tanah perlu menanam semula kawasan yang telah hancur jika melebihi jumlah itu.

Undang-undang itu dilaksanakan bertujuan untuk membendung penebangan pokok hutan yang memuncak pada tahun 2004 dengan jumlah penerokaan seluas 27,000 kilometer persegi.

Pada tahun 2017, Brazil telah kehilangan 6,624 kilometer persegi hutan hujan Amazon.

Berbanding dengan penternakan, penanaman koko boleh memberi pendapatan dari satu plot yang kecil tanpa perlu penerokaan hutan yang berterusan.

Pengurus Projek Brazil Imaflora yang bertanggungjawab melakukan kajian membandingkan pendapatan daripada penternakan dan penanaman koko, Eduardo Trevisan Goncalves berkata, keuntungan penanaman koko adalah lima kali ganda lebih baik.

“Penanaman pokok koko memberi kebaikan kepada alam sekitar. Pembukaan ladang koko akan membentuk kembali hutan semula jadi dan dapat membantu memulihkan tumbuhan dan spesies hidupan liar di samping meningkatkan sumber air dan menyerap karbon dioksida,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang petani yang menerima geran daripada Dana Amazon, Jose Garcia berkata, pembiayaan daripada kumpulan alam sekitar mempunyai garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan faedah ekologi dari ladang-ladang.

Di bawah garis panduan itu, dia perlu menanam koko bersama beberapa spesies pokok asli yang lain seperti mahoganu dan ipe.

“Kami disarankan untuk menanam pokok-pokok lain yang lebih tinggi dalam ladang ini,” katanya.

Brazil merupakan sebuah negara yang hebat dalam pengeluaran hasil pertanian dan pernah berada pada kedudukan pertama.

Perosak

Antara tanaman yang dihasilkan di negara itu ialah kacang soya, jagung, kopi dan oren.

Namun pada awal 1990-an negara itu jatuh ke tangga kedua selepas banyak hasil tanaman tidak menjadi kerana diserang kulat perosak tanaman terutamanya koko.

Bagaimanapun, di negeri Para, masalah serangan kulat perosak yang merosakkan pokok jarang berlaku.

Kulat memerlukan keadaan lembap untuk membiak namun sebahagian besarnya telah mati semasa musim kemarau tahunan.

Pengeluaran hasil koko di negeri Para sahaja hampir dua kali ganda purata global.

Dalam pada itu, terdapat beberapa bukti yang Brazil mampu untuk menyerap pengeluaran tambahan koko.

Pasaran coklat di Brazil mempunyai ruang untuk berkembang kerana penggunaan coklat per kapita di negara itu hanya 1.2 kilogram (kg) setahun berbanding Switzerland iaitu 8.8kg setahun.

Sementara itu, syarikat pemprosesan koko di Brazil, Cocoa Olam menyambut baik usaha penanam pokok koko domestik kerana dapat membantu mereka untuk mengurangkan import buah tersebut.

Syarikat tersebut memproses koko menjadi serbuk, mentega dan coklat.

Naib Presidennya, Kidambi Srinivasan berkata, mereka menyasarkan untuk mendapatkan bekalan 400,000 tan koko setiap tahun.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil jika lebih banyak bantuan dari segi pembiayaan, latihan dan bekalan asas diberikan kepada pengusaha ladang koko,” ujarnya.

Penanaman pokok koko akan mengurangkan kesan penerokaan yang telah memusnahkan lebih 430,000 kilometer persegi hutan hujan Amazon sejak tahun 1980-an.