Kira-kira 20 minit kemudian, Ritumani meminta kebenaran untuk berjumpa dengan doktor gigi.

Dia diiringi ke dek bawah S. B. Nahor iaitu sebuah bot yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Bot itu beroperasi di Sungai Brahmaputra yang terletak di timur laut India di negeri Assam.

Kedatangan Ritumani disambut ceria oleh Doktor Bivash Saikia. Dia diarah duduk di atas kerusi mudah alih untuk membuat rawatan gigi.

Menurut Saikia, keadaan kliniknya tidak ideal tetapi ia mampu memenuhi keperluan penduduk pulau itu untuk mendapatkan rawatan gigi tanpa perlu menempuhi perjalanan jauh ke ibu kota.

Di India, kira-kira 55 peratus isi rumah bergantung kepada sistem kesihatan awam untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan mereka.

Pada tahun 2015, hampir 35 juta orang di kawasan luar bandar bergantung kepada pusat kesihatan tanpa bekalan elektrik.

Satu daripada dua pusat kesihatan primer tidak mempunyai elektrik atau mengalami gangguan tenaga.

Laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Tenaga, Alam Sekitar dan Air pada tahun 2016 mendapati, hanya satu perlima daripada pusat kesihatan utama yang memenuhi standard kesihatan.

Bagi penduduk di Majuli yang tinggal di kawasan sungai terbesar di dunia dan pulau-pulau kecil lain, mereka menghadapi cabaran untuk mendapat akses penjagaan kesihatan.

Pusat-pusat kesihatan tanpa doktor, kekurangan feri untuk tanah besar dan kawasan terpencil telah menyebabkan kematian pramatang, penyakit berpanjangan serta cabaran untuk memenuhi sasaran vaksinasi.

"Di kebanyakan tempat yang saya pergi, penduduk kampung terpaksa mengambil masa dua hari perjalanan untuk mendapatkan ubat-ubatan dan bantuan kesihatan.

"Walaupun ubat paracetamol, ia memberi nilai yang tinggi kepada mereka," ujar doktor bertugas Nayanjyoti Deka.

Kini, pasukan doktor dan jururawat menggunakan bot untuk menghulurkan bantuan kepada 300,000 orang di 373 kampung di 13 buah wilayah di Assam.

Dibiayai oleh pihak kerajaan dan dikendalikan oleh pusat tidak mengutamakan keuntungan untuk Kajian Timur Laut dan Penyelidikan Dasar (C-NES), klinik bot itu terus berjuang untuk berbakti kepada masyarakat walaupun tanpa sumber tenaga yang mencukupi.

Sebelum ini, mereka menggunakan tenaga diesel dengan sangat cermat kerana ia tidak dapat bertahan sehingga petang.

Rakan kongsi



BOT S. B. Nahor membantu memberikan rawatan kesihatan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Brahmaputra, Assam, India.

Hasil kerjasama dengan Yayasan Amal Kesinambungan Tenaga India iaitu rakan kongsi bagi projek memasang panel solar pada bot S.B. Nahor, tenaga dapat disalurkan di klinik itu tanpa ada gangguan.

"Banyak peralatan perubatan telah direka yang dijana dengan tenaga yang mencukupi.

"Pemanas bayi, kerusi pergigian dan mesin imbasan X-ray menggunakan banyak tenaga. Perkara itu dapat diatasi dengan tenaga solar," ujar salah seorang ahli jawatankuasa yayasan itu, Vivek Shastry.

Sistem solar di atas bot itu merupakan sumber tenaga yang semakin meningkat di India terutamanya di luar bandar.

Selepas dipasang pada bulan Mei lalu, sistem solar lima kilowatt telah membolehkan lebih banyak peralatan pergigian digunakan.

Bot itu juga telah dipasang peti sejuk untuk menyimpan vaksin, mempercepatkan ujian makmal dan membuat pengumuman melalui pembesar suara.

Terang seorang jururawat di dalam bot itu, Juli Phukan, sebelum ini dia meletakkan vaksin di dalam pek ais.

"Sebelum ini banyak bekalan rosak selepas kami berlabuh di pulau-pulau selama beberapa hari.

"Merawat kes-kes kecemasan pada waktu malam adalah satu cabaran," ceritanya.

Di makmal kecil yang terletak di atas dek, seorang juruteknik, Achzot Jyoti Das sibuk mengambil sampel darah.

Walaupun senarai menunggu ramai, Das memberi jaminan kepada pesakit bahawa mereka akan mendapat keputusan ujian tanpa perlu menunggu lama.

"Panel di atas bumbung kapal itu melancarkan kerja-kerja di makmal.

"Kami melawat pulau-pulau pada setiap minggu berdasarkan senarai giliran tanpa pesakit perlu menunggu lama dan ia sangat penting kepada mereka," katanya yang bertanggungjawab membuat analisis dan menulis laporan.

Seorang pembuat bot dari Kampung Besamora, Suren Hazarika, 65, beratur untuk menguji tekanan darahnya.

Turut menunggu giliran ialah wanita hamil yang berisiko mengalami anemia dan pesakit tua memerlukan ubat tekanan darah.

Doktor, jururawat dan ahli farmasi telah merawat 101 orang sepanjang tiga jam bot itu berlabuh di Besamora.

"Ramai pesakit kami tidak pernah berjumpa doktor sehinggalah bot itu berlabuh berdekatan kampung mereka hampir sedekad yang lalu.

"Ada yang menamakan anak mereka sempena nama doktor bertugas dan ada juga yang datang melihat para petugas melakukan rawatan," ujar Ashok Rao dari C-NES. - AFP