Selang beberapa minit kemudian, kelibat sebuah van berwarna hitam yang tertera perkataan Teddy Mobile Clinic (TMC) muncul di tengah-tengah kesibukan malam. Sebaik enjin kenderaan dimatikan, komuniti yang merupakan gelandangan kota itu mula berbaris mengambil giliran untuk mendapatkan rawatan.

Di sebalik puluhan gelandangan yang beratur berdekatan klinik bergerak itu, seorang lelaki dilihat begitu sibuk memeriksa pesakit-pesakitnya. Biarpun hampir tidak menang tangan, namun bibirnya masih mampu mengukir senyuman dan ceria melayan kerenah pesakit.

Dr. Madhusudhan Shanmugam, 36, atau lebih dikenali sebagai Dr. Teddy Bear merupakan individu yang tidak asing lagi dalam kalangan komuniti tersebut. Kelibat anak jati Lembah Klang bersama sekumpulan sukarelawan yang menawarkan rawatan percuma sememangnya sering dinanti-nantikan oleh golongan gelandangan pada setiap hari Rabu.

Atas usaha murni yang dilakukan itu juga, tidak hairanlah jika Madhusudhan pernah menerima pengiktirafan dalam Anugerah Star Golden Hearts, iaitu sebuah platform yang meraikan rakyat Malaysia atas kerja-kerja kebajikan yang dilakukan pada tahun 2015.

“TMC merupakan klinik bergerak yang memberikan rawatan dan perubatan percuma kepada golongan gelandangan. Klinik ini akan beroperasi setiap hari Rabu di dua lokasi berbeza iaitu di Jalan Hang Lekiu dan Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur.

“Bukan sekadar gelandangan, klinik ini turut memberi rawatan percuma kepada komuniti lain seperti golongan pelarian, komuniti Orang Asli, penghuni rumah pangsa kos rendah, rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah orang kelainan upaya pada hari-hari lain.

“Misi utama kami adalah untuk membantu golongan kurang bernasib baik dalam memastikan mereka menerima rawatan perubatan yang diperlukan secara percuma,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai klinik bergerak itu, menurut Madhusudhan lagi, TMC ditubuhkan pada bulan Ogos 2015 selepas dia menyedari kurangnya akses perubatan dalam kalangan gelandangan.

“Sejak lebih lima tahun lalu, saya melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan. Pada waktu itu, saya lihat golongan ini diberikan bantuan dalam bentuk makanan dan pakaian sahaja.

“Bagaimanapun, tiada satu pun bantuan dalam bentuk perubatan diberikan kepada mereka. Daripada situ, hati saya terdetik untuk mewujudkan satu platform yang memberikan rawatan percuma kepada komuniti ini berbekalkan pengalaman saya sebagai seorang doktor,” jelasnya.

Duit poket

Menurut Madhusudhan lagi, klinik yang dibuka pada pukul 9 malam itu akan menjalankan pemeriksaan kesihatan secara terperinci kepada golongan tersebut, sama seperti yang dilakukan di kebanyakan hospital dan klinik di negara ini.

Menariknya, selain memberikan konsultasi dan ubat-ubatan yang diperlukan untuk digunakan dalam tempoh seminggu, TMC turut memberikan rawatan mencuci luka bagi gelandangan yang menghidap kencing manis dan HIV.

“Sepanjang lebih tiga tahun merawat golongan ini, saya dapati kebanyakan mereka menghidap penyakit kencing manis, batuk kering dan darah tinggi.

“Selalunya gelandangan yang didapati menghidap penyakit serius akan terus dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut oleh sukarelawan yang bertugas.

“Sebaliknya, jika penyakit yang dihidap itu memerlukan rawatan susulan, mereka diminta menyambung pemeriksaan di klinik persendirian saya di Cheras tanpa dikenakan sebarang bayaran,” jelasnya.

Cerita Madhusudhan lagi, untuk satu malam, dia dan pasukannya mampu merawat kira-kira 30 hingga 40 pesakit yang kebanyakannya sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Lazimnya dalam seminggu, kami memperuntukkan kira-kira RM1,000 untuk kos ubat-ubatan sahaja. Disebabkan TMC merupakan sebuah pertubuhan sukarelawan, setiap kos operasi klinik bergerak ini ditanggung sepenuhnya oleh saya.

“Pada awal penubuhan TMC, saya akan mengasingkan kira-kira RM3,000 daripada duit gaji yang diperoleh untuk membeli ubat-ubatan buat golongan gelandangan ini.

“Biarpun begitu, saya kini bersyukur kerana usaha murni kami mula mendapat perhatian ramai dan kami kini bergerak menggunakan sumbangan yang diberikan oleh orang ramai serta badan-badan korporat,” jelasnya.

Lorong gelap

Biarpun daripada pandangan mata kasar kerja-kerja yang dilakukan oleh sukarelawan ini nampak mudah, namun, ia memerlukan ketahanan mental dan komitmen tinggi.

Lebih-lebih lagi apabila setiap sukarelawan perlu memberikan rawatan kepada penghuni di lorong-lorong gelap yang datang daripada pelbagai latar belakang.

Biarpun begitu, situasi tersebut langsung tidak mematahkan semangat seorang doktor di wad pediatrik, Dr. Kaveena Amirthalingam daripada terus memberikan rawatan terbaik.

“Ini merupakan tahun keempat saya melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan. Ketika menjadi pelajar perubatan, saya dapati ramai yang memerlukan bantuan perubatan di luar hospital.

“Situasi tersebut menyebabkan saya terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan secara percuma dengan melibatkan diri dalam TMC.

“Walaupun telah mengendalikan pelbagai jenis kes dan penyakit, namun saya sering tersentuh melihat individu-individu yang berperang dengan kesihatan mental.

“Rata-rata mereka di sini disisihkan oleh keluarga dan masyarakat. Mereka menghabiskan sisa-sisa hidup dalam keadaan yang penuh tekanan. Bagi saya, ini merupakan kes paling sukar untuk dirawat memandangkan bantuan yang mampu dihulurkan adalah terhad, tidak seperti individu yang memerlukan rawatan dari segi perubatan,” jelasnya.

Biarpun hanya bergelar sukarelawan, namun, itu tidak menghalang Kirthana Chandramogan, 27, daripada terus menyumbang bakti untuk menolong golongan kurang bernasib baik ini.

Malah, pensyarah undang-undang di sebuah institusi pengajian tinggi swasta ini berbesar hati dan gembira setiap kali melihat golongan tersebut selesai menjalani rawatan diperlukan.

“Melihat golongan kurang bernasib baik menerima bantuan yang diperlukan adalah perkara paling membahagiakan saya.

“Kerjaya sebagai seorang pensyarah pada waktu siang memudahkan saya untuk komited dan fokus membantu golongan ini pada waktu malam. Biarpun berperang dengan kesuntukan masa, namun, saya masih lagi bersemangat seperti empat tahun lalu,” jelasnya.