Selepas menjalani ibadah puasa selama sebulan, orang ramai pastinya tidak sabar untuk pulang ke desa bagi meraikan sambutan hari raya bersama keluarga tercinta sambil menikmati juadah istimewa Aidilfitri.

Pun begitu, ada antara individu yang tidak berkesempatan untuk pulang beraya di desa atas pelbagai sebab, antaranya termasuklah kerana tuntutan kerja.

Menyedari hakikat itu, Seri Keningau Katering yang merupakan syarikat penyedia katering berpengalaman di Shah Alam, Selangor telah mewujudkan Kit Pagi Raya.

Kit Pagi Raya merupakan kotak berisi juadah Aidilifitri seperti ketupat dan rendang.

Pemilik Seri Keningau Katering, Aiman Basuni berkata, idea untuk mewujudkan Kit Pagi Raya atau juga dikenali sebagai kelengkapan pagi raya itu timbul apabila menyedari ramai antara warga kota yang tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung menyambut hari raya.

Rendang ayam

“Kit Pagi Raya menyediakan menu Hari Raya Aidilfitri yang boleh dinikmati semasa perayaan tersebut. Ia dibungkus kemas dalam sebuah kotak besar berwarna merah.

“Pada pagi Hari Raya Aidilfitri, tidak semua warga kota berpeluang untuk pulang ke kampung bagi menikmati juadah seperti ketupat, lemang dan rendang.

“Selain itu, tuntutan kerja juga adakalanya menjadikan individu yang beraya di kota tidak sempat untuk memasak sendiri juadah Aidilfitri untuk dinikmati di pagi raya,” ujarnya.

Ujar anak kelahiran Sabah itu lagi, Seri Keningau menawarkan tiga pilihan Kit Pagi Raya yang boleh dipesan oleh pelanggan.

Kit Pagi Raya A mengandungi rendang ayam, sambal sotong, sambal jawa, kuah kacang dan nasi himpit pada harga RM150.

Kit Pagi Raya B pula mengandungi rendang ayam, daging dendeng, sambal jawa, sambal sotong, kuah kacang dan nasi himpit pada harga RM195.

Bagi Kit Pagi Raya C pula, ia mengandungi rendang ayam, daging dendeng, sambal jawa, sambal sotong, kuah kacang, nasi himpit serta tambahan lemang. Kit tersebut berharga RM220.

Tempahan

Kesemua set makanan tersebut sesuai untuk dinikmati oleh tiga hingga empat orang.

Sejak tempahan set sajian raya itu dibuka pada minggu lalu, Aiman mengakui bahawa sambutan yang diterima pihaknya terhadap Kit Pagi Raya cukup memberangsangkan.

“Syukur, ramai yang sudah membuat tempahan bagi Kit Pagi Raya.

“Ramai juga rupanya yang tidak berkesempatan untuk pulang ke desa untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri atas pelbagai sebab,” ujarnya.

Selain untuk dimakan sendiri, Kit Pagi Raya juga boleh dijadikan hadiah untuk ahli keluarga dan rakan-rakan.

Bagi penghantaran pula, Aiman berkata, pelanggan boleh memilih sama ada untuk menggunakan khidmat penghantaran daripada pihaknya atau mereka boleh mengambil sendiri tempahan makanan pada 14 Jun depan di beberapa lokasi di Selangor seperti Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Bangi dan pusat beli belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

“Begitu pun, buat masa ini, penghantaran hanya terhad di sekitar Lembah Klang,” ujarnya menutup bicara.

Seri Keningau tawarkan kotak lengkap berisi juadah Aidilfitri seperti lemang dan rendang buat warga kota yang tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman pada sambutan Aidilfitri.