Kisah tersebut yang dikongsi oleh seorang lelaki yang menggunakan nama Twitter, Zhantafa sewaktu dia bersembang dengan warga emas tersebut ketika dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas.

Diceritakan, warga emas itu yang dikenali sebagai pak cik Majid ingin ke Kuantan untuk memungut hutang sebanyak RM6,000 daripada seorang kenalan dan telah menjual telefon bimbit jenis Nokia miliknya semata-mata untuk membeli tiket bas ke Kuantan.

Bagaimanapun, kenalannya itu telah menghilangkan diri sebaik sahaja dia tiba di Kuantan dan dia terpaksa bermalam di terminal kerana ketiadaan wang membeli tiket pulang ke Ipoh.

Bercerita lebih lanjut, seorang individu akhirnya telah membelikan tiket lelaki warga emas itu ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur dan pulang ke Ipoh.

Melalui perbualan, pak cik Majid memberitahu bahawa dia tinggal sebatang kara tanpa isteri dan anak-anak kerana tidak pernah berkahwin.

Terdahulu, kisah pak cik Majid pernah tular dalam laman sosial beberapa tahun lalu selepas dia bernazar untuk berjalan kaki dari Kuantan ke Shah Alam selepas Pahang menang dalam Piala Malaysia pada tahun 2013.

Mendengarkan kisah pak cik Majid, rata-rata netizen terkesan dengan kejadian tersebut dan mendoakan supaya warga emas itu sihat dan dipanjangkan usia.