Bukan Ali sahaja, malah rakan-rakannya yang turut sama menggadai nyawa mendaki gunung tertinggi di Pakistan itu turut mengalami nasib sama.

Sebagai salah seorang pengiring yang paling mahir dalam pendakian beraltitud tinggi, Ali telah menghabiskan kira-kira dua dekad umurnya untuk merancang laluan, membawa peralatan kecemasan serta memasak untuk pelanggannya.

Dengan ketinggian 8,611 meter, Gunung K2 tidak setinggi Gunung Everest tetapi cukup memberikan cabaran besar buat pendaki sehinggakan digelar gunung yang mendahsyatkan malah, turut mengorbankan banyak nyawa.

“Ali telah berjaya mendaki gunung tersebut pada 2014, 2017 dan 2018, kesemuanya tanpa bantuan oksigen tambahan dan hanya dia satu-satunya yang berjaya melakukannya,” kata Eberhard Jurgalski daripada Guinness World Records.

Walaupun ramai pendaki asing mendapat pujian atas kejayaan mereka mendaki gunung tersebut, Ali dan rakan-rakannya langsung tidak mendapat apa-apa termasuklah dalam kalangan para pendaki lain.

“Saya sudah cukup gembira tetapi agak kecewa kerana prestasi yang ditunjukkan tidak dihargai,” kata Ali kepada AFP.

Dengan ketahanan dan pengetahuan mereka tentang struktur gunung tersebut, para pengiring bukan sekadar menguruskan muatan tetapi turut membantu pendaki dari segi laluan, memasak makanan sehinggalah mendirikan khemah.

Bagaimanapun, sebaik pendaki-pendaki itu selesai dan berjaya menamatkan ekspidisi, mereka terus melupakan jasa-jasa pengiring tersebut.

“Sebelum mendaki, mereka memberikan pelbagai janji kepada kami tetapi sebaik sahaja selesai, mereka terus melupakan kata-kata itu,” tambah Ali.

Ali sering teringat satu kenangan pahit ketika membantu pendaki Barat yang ingin menuju ke puncak tetapi setelah berjaya, kumpulan pendaki itu hanya mengarahkannya untuk mengambil gambar mereka.

Ali dan ramai lagi pengiring pendaki di Gunung K2 kebanyakannnya dilahirkan di lembah Shimsal yang terletak di utara negara tersebut serta berhampiran dengan sempadan China.

Kampung yang dihuni 140 keluarga itu telah menghasilkan ramai pendaki gunung termasuklah Rajab Shah iaitu warga Pakistan yang berjaya mendaki lima puncak gunung berketinggian 8,000 meter di negara tersebut.

Kemalangan

Seorang lagi pendaki dari Shimsal, Rehmatullah Baig yang menakluki Gunung K2 pada 2014 sambil membuat ukuran geografi dan memasang stesen cuaca turut berkongsi kekesalan yang sama seperti Ali,

“Saya perlu gembira tetapi tidak mampu. Jika semua pengiring serta pendaki dari Pakistan mendapat sedikit pengiktirafan, mereka pasti akan memanjat semua gunung tertinggi yang ada di dunia,” katanya.

Ayah Baig merupakan individu pertama yang sering mencabar diri mendaki gunung berbahaya tetapi kini melarang anak-anak mengikuti jejak langkahnya.

Punca utama yang menimbulkan kekesalan dalam diri Ali dan rakan-rakannya adalah kerana percaya bahawa mereka diperlakukan dengan lebih teruk berbanding yang bekerja di Gunung Everest.

Sekiranya berlaku sebarang kemalangan, majikan akan menyelamatkan pelanggan terlebih dahulu berbanding pekerja mereka.

Di Nepal, jurupandu tempatan mendapat bayaran insurans hayat sebanyak kira-kira AS$12,700 (RM53,000) daripada kerajaan selepas kejadian runtuhan salji pada 2014 sehingga mengorbankan 16 mangsa di Gunung Everest.

Sementara itu, pengiring pendaki di Pakistan hanya mendapat polisi insurans hayat yang bernilai AS$1,500 (RM6,000).

Pakar-pakar pendaki mengakui bahawa terdapat perbezaan antara kedua-duanya dan mereka percaya pekerja-pekerja di Pakistan perlu diberikan latihan dan sokongan sepenuhnya daripada pihak kerajaan.

Pendaki Jerman, Christiane Fladt yang menulis buku mengenai Shimshal berkata, para pengiring pendaki di Pakistan perlu bersatu dan mewujudkan kesatuan bagi menimbulkan tekanan berhubung tuntutan kewangan mereka.

Pada tahun 2008, dua orang pengiring dari Shimsal merupakan antara yang terbunuh daripada 11 mangsa selepas bencana disebabkan cuaca buruk melanda Gunung K2.

Salah seorang daripada mereka iaitu Fazal Karim, terjatuh bersama pendaki Perancis, Hugues d'Aubarede ketika mereka turun dari puncak dan sehingga kini tubuh mereka tidak pernah dijumpai.

Isterinya, Haji Parveen memberitahu bahawa dia sudah berusaha sebaik mungkin untuk menghalang suaminya daripada menyertai ekspedisi tersebut.

“Saya memberitahu kepadanya bahawa kami sudah mempunyai kehidupan yang baik dan cukup keperluan untuk meneruskan hidup namun dia tidak pernah mengendahkannya,” katanya sayu.

Karim adalah seorang pekerja mahir dan merupakan pemilik sebuah kilang papan di kampung itu malah, dia juga mengusahakan kedai runcit bersama isterinya.

Selepas kehilangan Karim, isterinya terpaksa menjual kilang tersebut untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka.

Menurut Parveen, tiada satupun syarikat atau pendaki asing yang terlibat dalam ekspedisi itu datang menghulurkan bantuan kepadanya selepas kejadian itu.

Kini, anak sulung mereka yang sedang belajar di Karachi turut menyuarakan hasrat untuk menjadi pengiring pendaki seperti ayahnya.

“Dia bercakap mengenainya setiap kali pulang ke rumah dan memberitahu mahu menjadi seperti ayahnya tetapi kami akan memarahinya kerana pekerjaan itu tidak berguna,” tegasnya.