Menerusi kisah yang dikongsikan dalam laman sosial, gadis Melayu tersebut, Nur Afilah Amir Rusdi, 24, telah berkahwin dengan pasangannya, Adama Mohamed Camara, 26, hanya selepas empat bulan mereka berkenalan.

Menurut Nur Afilah, perkenalan antara dia dengan Adama terjadi selepas lelaki itu memujuknya yang dilihat sedang menangis di sebuah kafe di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.

Semasa didekati lelaki itu, katanya, dia mengakui berasa takut dan bimbang ditegur lelaki warga asing yang tidak dikenali.

Bagaimanapun, perasaan takut itu hilang selepas Nur Afilah melihat Adama betul-betul ikhlas untuk membantunya sekali gus menyebabkan gadis itu berasa terharu.

Menurut gadis yang berasal dari Jitra, Kedah itu, dia terbuka hati untuk menerima Adama kerana mendapati lelaki tersebut sangat baik hati, penyayang, penyabar dan juga bijak.

Bahkan, pemuda itu juga mempunyai pengetahuan ilmu agama yang tinggi dan sangat mementingkan keluarga. Menurut Nur Afilah lagi, Adama pernah mengajaknya untuk sama-sama menunaikan umrah, namun ajakan itu terpaksa ditolak memandangkan kedua-dua mereka masih lagi belum berkahwin.

Kisah perkenalan kedua-dua pasangan itu sehingga ke jenjang pelamin telah mendapat pelbagai respons daripada netizen yang rata-ratanya mendoakan kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga yang dibina kekal hingga ke akhir hayat.