Kisah perkahwinan itu menjadi tular selepas pengantin lelaki tersebut didapati mengahwini gurunya sendiri yang pernah mengajarnya ketika menuntut di sekolah menengah.

Menerusi kisah yang dikongsi di laman sosial, pengantin lelaki terbabit, Muhammad Hazim Shahidan menceritakan bahawa dia telah jatuh hati dengan isterinya, Aishah semasa wanita itu menjadi guru fizik yang mengajarnya semasa di tingkatan lima.

Cerita Muhammad Hazim, semasa di sekolah, dia suka mengusik dan bergurau dengan isterinya yang dikenali sebagai cikgu Aishah, malah mengakui pernah memberitahu akan menikahi wanita itu selepas habis belajar nanti.

Ketika itu, cikgu Aishah hanya buat tidak tahu dan mengabaikan usikan tersebut, malah sempat bergurau dengan mengatakan bahawa dia akan menjadi tua jika menunggunya menamatkan pengajian di sebuah kolej di Bangi.

Namun, Muhammad Hazim yang kini berusia 21 tahun akhirnya telah meminang gurunya yang meminta dirahsiakan usianya dan mereka menjadi suami isteri awal Ogos lalu.

Kisah perkahwinan itu telah mendapat reaksi positif dalam kalangan netizen yang percaya bahawa kalau sudah jodoh, mereka pasti akan bersatu jua.