Sesekali dalam perjalanan menuju ke Gua Kelawar lelaki tersebut yang lebih mesra dengan panggilan nama Abang Li akan menerangkan tentang manfaat tumbuh-tumbuhan liar yang tumbuh di sepanjang laluan untuk ke gua tersebut.

Abang Li atau nama sebenarnya Rusli Ahmad menjelaskan, mengunjungi Gua Kelawar menjadi satu aktiviti wajib jika dia menjadi pemandu pelancong kepada tetamu yang datang bercuti di Pulau Tuba.

Pulau Tuba tidaklah popular seperti Pulau Langkawi, tetapi pulau kecil itu masih mempunyai banyak keistimewaan yang masih belum diteroka oleh pengunjung.

“Antara tarikan yang terdapat di Pulau Tuba ini ialah Gua Batu Kapur.

“Di pulau ini terdapat beberapa gua batu kapur antaranya Gua Wang Buluh, Gua Wang Lebah, Gua Bukit Kecil dan Gua Kelawar,” katanya.

Setiap gua ini mempunyai keunikan dan cerita tersendiri.

Abang Li menjelaskan, daripada cerita lisan nenek moyangnya, Gua Kelawar pernah menjadi tempat persembunyian orang kampung ketika Tanah Melayu dijajah Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Jelasnya, untuk sampai ke Gua Kelawar pengunjung perlu meredah laluan denai hutan untuk tiba ke pintu gua.

Ketinggian pintu masuk gua adalah sekitar 70 meter dari aras laut.

“Gua ini dinamakan sebagai Gua Kelawar sempena nama haiwan kelawar yang hidup dalam gua itu sejak sekian lama.

“Jika pengunjung masuk ke dalam gua ini mereka berpeluang untuk melihat habitat kelawar. Selain itu, gua ini juga dipenuhi dengan najis kelawar. Ada penduduk yang datang ke gua ini mengambil najis kelawar untuk dijadikan baja,” katanya.

Gua Wang Buluh pula Gua terbentuk pada ketinggian sekitar 150 meter di atas aras laut dan mempunyai beberapa pintu kecil yang menghadap ke arah lembah.

Gua ini terbahagi kepada beberapa ruang pada dua tingkat berlainan dan mempunyai bentuk yang amat unik dan menarik.

“Untuk sampai ke muka gua ini pengunjung perlu mendaki 770 anak tangga terlebih dahulu,” kata Abang Li yang juga pengerusi inap desa di Pulau Tuba itu.

Pulau Tuba merupakan salah satu daripada tiga pulau yang dihuni manusia di Langkawi yang terdiri daripada 99 pulau.

Pulau Tuba hanya mempunyai keluasan sekitar 20 kilometer persegi itu dihuni hanya kira-kira 5,000 penduduk. Ia terletak kira-kira lima kilometer di selatan Pulau Langkawi.

Kebanyakan masyarakat di Pulau Tuba bekerja sebagai nelayan manakala sebahagian kecil lagi bekerja kampung untuk menyara keluarga.

Ada juga segelintir penduduk tempatan yang mengusahakan inap desa. Keistimewaan lain yang terdapat di Pulau Tuba adalah suasana desa yang masih terpelihara daripada arus kemodenan.

Jelas Abang Li, landskap di pulau tersebut masih menghijau dan masyarakat di situ hidup serba ringkas.

“Apa yang boleh saya katakan, suasana di Pulau Tuba ini seperti Langkawi pada tahun 1970-an dan 1980-an.

Jana pendapatan

“Di pulau ini tidak banyak kereta. Kebanyakan penduduk bergerak menggunakan motosikal. Selain itu pengunjung yang datang ke pulau ini masih berpeluang melihat pemandangan kawasan kampung, aktiviti nelayan di pesisiran pantai dan kawanan kerbau yang meragut rumput di padang secara bebas,” tegasnya.

Pulau Tuba boleh berkembang menjadi destinasi pelancongan yang bagus kerana memiliki banyak tarikan. Tetapi, tidak ramai penduduk di pulau itu mengambil kesempatan menjadi pemandu pelancong untuk menerokai keindahan Pulau Tuba.

“Sepatutnya generasi muda harus mengambil peluang ini kerana ia bukan sahaja boleh memeriahkan lagi industri pelancongan di pulau tersebut tetapi boleh membantu mereka untuk menjana pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi membantu penduduk tempayan menyemarakkan lagi industri pelancongan di pulau tersebut, Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia telah mengadakan program Kursus Asas Jurupandu Pelancong Tempatan di pulau itu baru-baru ini.

Pengarah Program, Dr. Siti Suriawati Isa berkata, objektif kursus itu diadakan untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada penduduk Pulau Tuba mengenai potensi mereka terbabit secara langsung sebagai jurupandu pelancong tempatan.

Jelasnya, Pulau Tuba merupakan antara salah satu destinasi menarik yang boleh dikunjungi pelancong apabila berkunjung ke Langkawi.

“Oleh itu, penduduk tempatan seharusnya mengambil peluang menjadi jurupandu pelancong kerana mereka lebih mengetahui tempat-tempat menarik di pulau itu.

“Generasi muda di Pulau Tuba terutamanya, boleh menjadi penggerak untuk memajukan pulau ini dengan menjadi sebahagian daripada penyedia perkhidmatan pelancongan,” katanya.

Keindahan

Meskipun sebahagian besar bekerja sebagai nelayan, pada masa yang sama mereka juga boleh menjadi jurupandu pelancong sebagai satu sumber untuk menjana pendapatan.

Siti Suriawati menjelaskan, pihaknya memberi pendedahan asas untuk menjadi jurupandu pelancong.

Peserta program dilatih cara-cara berkomunikasi dan menerangkan tarikan yang ada kepada para pelancong.

Sementara itu, Siti Suriawati berkata, Pulau Tuba mempunyai tarikan tersendiri yang boleh menggamit kehadiran pengunjung luar.

“Selain mempunyai pantai dan perkampungan yang masih terpelihara keindahan alam semula jadi pantai ini juga mempunyai banyak gua batu kapur yang boleh menjadi sebahagian daripada destinasi pelancongan di pulau ini.

“Gua batu kapur yang ada di pulau ini berusia jutaan tahun dan memiliki keunikan,” katanya.

Sebagai jurupandu pelancong tempatan mereka juga harus mempunyai pengetahuan kepentingan menjaga gua batu kapur yang boleh diterangkan kepada pengunjung.

Kepada jurupandu pelancong tempatan di Pulau Tuba, Muhammad Faisal Hashim, 23, mengakui program tersebut banyak membantunya.

“Kami didedahkan kepada perkara-perkara asas untuk menjadi jurupandu pelancong. Sebelum ini kami tidak mengambil peduli perkara-perkara asas terutamanya komunikasi, penampilan dan sebagainya.

“Tetapi melalui kursus ini kami ditekankan dengan perkara-perkara asas sebegini sebagai salah satu cara untuk memberi kepuasan kepada pengunjung apabila menggunakan perkhidmatan kami,” katanya.

Pulau Tuba yang terletak di Langkawi, Kedah mempunyai banyak tarikan istimewa seperti gua batu kapur dan suasana desa yang masih terpelihara.