Tentera British telah melakukan persediaan awal untuk menghadapi serangan tentera Jepun itu dengan membina sebanyak 26 kubu pertahanan di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar ketika itu.

Kubu-kubu pertahanan itu mengambil masa kira-kira setahun untuk dibina oleh jurutera diraja British dan strukturnya masih kukuh sehingga hari ini.

Difahamkan, terdapat beberapa buah kubu tersebut telah dirobohkan untuk pembangunan kediaman dan sebagainya.

Menurut Ketua Biro Kaji Selidik Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr. Mohd. Kasri Saidon, pendaratan tentera Jepun ketika itu berlaku di dua lokasi berbeza iaitu mendarat dengan kapal di Kuala Pak Amat di Kota Bharu, Kelantan.

Lorong tikus

Selain itu, katanya, tentera Jepun turut menyusup masuk melalui jalan darat setelah mereka mendarat di Songkhla, Thailand sebelum menceroboh Kedah melalui daerah Kubang Pasu.

Menurutnya, pertahanan tentera di Kedah ketika itu dikawal Indian Briged dan tentera Britisih di bawah pimpinan Mejar Jeneral David Murray-Lyon.

“Persediaan awal sudah dibuat British dengan menyediakan kubu pertahanan di Kubang Pasu terutama dalam cubaan mempertahankan lapangan terbang di Alor Setar dan Sungai Petani.

“Di Kubang Pasu, terdapat puluhan kubu milik British yang dibina untuk menentang kemaraan tentera Jepun.

“Kubu pertahanan yang dibina itu juga mempunyai lorong tikus di kawasan berdekatan yang menghubungkan setiap kubu pertahanan berkenaan,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.

Mohd. Kasri yang juga Pengarah Muzium Pengurusan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok memberitahu, antara pertempuran yang menarik dan meninggalkan sejarah tersendiri di Kubang Pasu ialah Pertempuran Jitra yang juga dikenali sebagai Battle of Jitra pada 11 dan 12 Disember 1941.

Menurutnya, serangan tempur yang utama itu berlaku dalam Pertempuran Jitra di selatan Changlun membawa sehingga ke pekan Jitra.

“Selepas pertempuran di Changlun dan Ason, pasukan British tidak lagi mampu bertahan dan berundur ke Jitra melalui Sungai Bata kemudian sampai ke Manggol,” ujarnya.

Selain itu, musim tengkujuh ketika itu menyebabkan sebahagian kubu pertahanan yang dibina di kawasan tanah pamah rendah dan kawasan sawah tidak dapat digunakan dengan efektif.

“Tentera British yang cuba menahan serangan dan mempertahankan kawasan sempadan Tanah Melayu dan Thailand akhirnya mengalah apabila tentera Jepun mengasak mereka dari pelbagai sudut meskipun dengan jumlah kekuatan yang sedikit.

“Pertempuran ini berkesudahan dengan kekalahan teruk tentera British yang membolehkan tentera Jepun mara menawan Semenanjung Tanah Melayu tanpa diberikan tentangan berkesan sebelum membawa kepada kejatuhan Singapura pada 15 Februari 1942,” katanya.

Beliau menambah, antara punca lain kekalahan tentera British dalam pertempuran itu ialah mereka tidak membuat persediaan untuk mengekang tentera Jepun yang membuat serangan melalui udara.

“Selepas menerima serangan udara tentera Jepun, pasukan British tidak lagi mampu bertahan dan terus berundur sampai ke Jitra sebelum tewas,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Kelubi, Jitra, Majid Mat, 103, memberitahu, kebanyakan pekerja yang membina kubu pertahanan itu terdiri daripada anggota tentera Indian Briged dan tentera British sahaja.

Dia pada waktu itu yang berusia 26 tahun bekerja membina kem-kem tentera British di sekitar Jitra.

“Saya dan beberapa rakan dalam kalangan penduduk tempatan bekerja membina kem tentera British. Kami dibayar gaji 50 sen sehari oleh tentera Bristih,” katanya.

Kubu bawah tanah

Bapa kepada tiga orang anak itu masih ingat lagi tentera British telah mengarahkan penduduk tempatan membina kubu bawah tanah di kawasan kampung masing-masing sebagai tempat berlindung sebelum tentera Jepun menyerang negeri ini melalui negara jiran sekitar awal tahun 40-an.

Bagaimanapun, selepas tentera British kalah, rakyat tempatan keluar daripada kubu tersebut dan tentera British yang ditahan tentera Jepun pula dibunuh dan dimasukkan ke dalam kem tentera yang dibina sebelum ini.

Seorang penduduk Kampung Manggol, Azman Ramli, 48, berkata, salah sebuah kubu pertahanan yang dibina tentera British terletak bersebelahan rumahnya dan kini terbiar.

Bagaimanapun, dia mengambil inisiatif membersihkan semak samun di sekeliling kubu itu.

“Kubu tersebut sering dikunjungi pengkaji sejarah termasuk pelajar di pusat pengajian tinggi untuk membuat penyelidikan,” katanya.

Azman berkata, sebelum ini kubu tersebut bersih dan terdapat penduduk yang berehat dan tidur di dalam kubu berkenaan kerana persekitarannya yang agak sejuk dan nyaman.

Seorang lagi penduduk di Kampung Manggol, Abu Hashim Ahmad, 67, memberitahu, sebanyak empat kubu pertahanan dibina tentera British di sekitar kampung itu dan kesemuanya berada dalam keadaan terbiar.

Katanya, kubu-kubu tersebut dibina di kawasan berhampiran dengan Sungai Rimba di kampung tersebut.

“Penduduk sebelum ini juga menemui beberapa butir bom yang dipercayai milik tentera British dan Jepun yang tertanam di sekitar kampung itu.

“Difahamkan, Kampung Manggol ini juga merupakan antara kawasan yang menjadi pertempuran utama ketika serangan tentera Jepun pada tahun era 1940-an,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Titi Besi, Kepala Batas, Alor Setar, Azhar Mat Isa, 49, pula berkata, tentera British membina enam kubu pertahanan di sekitar Kepala Batas iaitu berhampiran Lapangan Terbang Alor Setar.

Menurutnya, salah sebuah kubu yang terdapat di kampung itu telah dipindahkan ke sebuah kem tentera udara berhampiran untuk memberi laluan kepada kerja-kerja membesarkan jalan dari Anak Bukit ke Kepala Batas.

“Usaha yang diambil untuk memindahkan kubu tersebut amat dialu-alukan kerana kubu tersebut unik dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi,” ujarnya.

Tambah Azhar, pihak yang berkaitan sepatutnya memulihara dan menjaga kesemua kubu pertahanan British yang terdapat di negeri ini dengan baik dan dikomersialkan sebagai destinasi pelancongan.