“Saya hidup dengan angin. Ia adalah enjin kepada kilang saya selama lebih tiga dekad lalu,” ujar pemilik kilang, Maarten Dolman.

Dolman merupakan salah seorang daripada 40 usahawan yang masih mengekalkan proses tradisional dalam penghasilan gandum di Belanda.

Selepas membuat penghantaran ke kedai roti tempatan pada awal pagi, Dolman memulakan pengeluaran tepung dengan dibantu oleh kuasa yang dijana daripada kincir angin.

Kilang milik Dolman mampu menghasilkan 1,000 kilogram tepung setiap hari.

Lelaki berusia 56 tahun itu telah membuat pengubahsuaian pada kincir angin yang dikenali sebagai Windotter yang terletak di pekan kecil, Ijsselstein.

Pada bulan lalu, kincir angin serta kincir air itu secara rasmi telah dimasukkan dalam senarai Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Ikon kami kini dilindungi. Ia sangat penting kepada generasi baharu untuk memelihara dan mempelajari pekerjaan ini,” ujar Dolman.

Bapa kepada dua cahaya mata itu menambah, pakaian, topi dan cermin mata bulat membantunya menutupi diri daripada ‘debu putih’.

Malah, dia menganggap dirinya seperti dilahirkan dalam tepung. Bapanya membeli kilang itu pada tahun 1960 sebelum mengajar dia menjadi seorang usahawan.

Salah seorang daripada dua anak lelaki Dolman kini sedang mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk menguruskan perniagaan tersebut.

Tenaga daripada angin merupakan sesuatu yang bernilai di negara yang terletak di bawah aras laut itu. Malah, pada kurun ke-19, terdapat 9,000 kincir angin di Belanda.

Kini, ahli profesional dan sukarelawan menjalankan usaha mengekal serta mengendalikan kira-kira 1,200 baki kincir angin untuk memproses tepung dan mengawal paras air.

Dolman yang juga Ketua Persatuan Pengeluar Tepung Tradisional memimpin perjuangan dalam menuntut pengiktirafan UNESCO.

Usaha itu disokong oleh Kementerian Kebudayaan Belanda yang menyatakan bahawa angin dan air serta kilang-kilang merupakan sebahagian daripada landskap Belanda.

Negara Eropah utara itu telah membina kincir angin sekitar tahun 1200.

Sejarah

“Dengan penurunan jumlah orang yang bergantung hidup kepada kincir angin, para pengilang memainkan peranan utama dalam menyebarkan sejarah dan budaya itu,” menurut salah satu kenyataan dalam laman web UNESCO.

Di dalam Windotter, tiada langsung peralatan moden. Telefon kuno tergantung di dinding dan buku-buku akaun bertaburan serta diliputi tepung.

Apabila layar sepanjang 26 meter itu digerakkan oleh angin, kayu-kayu yang digunakan untuk penghasilan tepung terus beroperasi.

Adegan itu jauh berbeza berbanding 19 kincir angin yang menjadi tarikan pelancong di barat daya Kindejijk. Ia telah diiktiraf oleh UNESCO sejak tahun 1997.

Menara bata setinggi bangunan lima tingkat, Windotter adalah salah satu kincir angin terbesar di negara itu. Dibina pada tahun 1732, ia telah dipulihkan sepenuhnya pada tahun 1987.

Sejak itu, ia telah beroperasi sepenuh masa sepanjang lima hari seminggu. Tepung yang dikeluarkan laris seperti kek panas.

“Bukan sahaja penduduk setempat, orang dari jauh juga datang ke sini untuk membeli tepung ini bagi tujuan membuat roti serta lempeng.

“Kadang-kadang ada yang datang dengan mengayuh basikal dalam cuaca sejuk,” ujar salah seorang wanita yang bertanggungjawab menjual tepung di kilang itu.

Dia merupakan salah seorang daripada sedozen sukarelawan yang membantu melancarkan operasi di kedai jualan.

Sejak tahun 1972, bapa Dolman turut mengasaskan Persatuan Sukarelawan Miller yang menawarkan kursus berkaitan teori dan amali.

Misalnya, pengilang yang ingin mempelajari teknik pengendalian kilang yang selamat, mereka perlu menghabiskan 150 jam praktikal di kilang berbeza.

Kursus itu termasuk teknik membaca angin atau berapa bilah yang diperlukan. Hampir 2,000 orang telah dianugerahkan kelayakan selepas kursus itu dimulakan.

Dolman menambah, pengilang di Belanda perlu menyebarkan kepada generasi muda kepentingan untuk mempertahankan industri berkenaan. – AFP