Pohon-pohon hijau yang tinggi di sekelilingnya menambahkan lagi keunikan dan menyajikan satu pemandangan yang cukup menakjubkan.

Terletak di barat Ulu Baram, Miri, Air Terjun Julan merupakan antara destinasi paling menakjubkan di Sarawak dan tidak keterlaluan sekiranya ia dianggap antara destinasi paling menarik di Borneo secara amnya.

Keindahan Air Terjun Julan cukup mengagumkan kerana ia boleh dilihat dari jauh.

Jaluran air jernih yang mengalir deras itu dikelilingi pokok-pokok menghijau di sekelilingnya menjadikannya begitu menyerlah apabila gambarnya dirakam dari udara.

Begitu pun, khazanah bumi kenyalang yang cukup cantik itu begitu sukar untuk diterokai ekoran laluan atau pun trek pendakian yang mencabar.

Laluan menuju ke Air Terjun Julan terletak dalam sebuah kawasan pedalaman dikenali sebagai Usun Apau.

Usun Apau terletak 300 kilometer dari selatan Miri dan perjalanan ke situ mengambil masa sekitar tujuh jam menggunakan pacuan empat roda memandangkan struktur jalan yang tidak rata serta berbatu-batu.

Penuh liku

Begitu pun, seorang jejaka kelahiran Kuching berkongsi dengan kru Panorama tentang perjalanannya untuk melihat sendiri air terjun tertinggi Sarawak itu pada September tahun lalu.

Mohammad Nidal Utayba, 30, memberitahu, laluan dan trek untuk menuju ke Air Terjun Julan itu cukup sukar dan penuh cabaran.

“Sejujurnya, ia merupakan antara perjalanan paling sukar dalam hidup saya.

“Kami berkunjung ke bahagian barat Air Terjun Julan pada September tahun lalu dan biarpun hanya dapat melihatnya dari jauh, kecantikan air terjun itu sukar untuk saya gambarkan,” katanya.

Tambah Nidal, cabaran pertama yang terpaksa dilalui adalah apabila sampai di Sungai Julan.

“Air yang deras menyebabkan saya dan rakan-rakan panik seketika memandangkan kami terpaksa menyeberangi sungai tersebut untuk sampai ke air terjun tersebut.

“Lebih memburukkan keadaan, semasa berhenti di base camp kedua, hujan turun dengan lebatnya, menyebabkan kami tidak boleh tidur sepanjang malam dan sekiranya kami terus duduk dalam kesejukan begitu, tidak mustahil kami diserang hipotermia (keadaan suhu badan jauh lebih rendah daripada paras normal yang boleh menyebabkan pengsan),” kongsinya lagi.

Tambah Nidal, dia sedikit kecewa apabila tidak berjaya menghabiskan ekspedisi dan pengembaraannya ke air terjun tertinggi Sarawak itu apabila kakinya tercedera dan luka, selain turut disengat kira-kira 20 ekor lebah.

“Ekspedisi selama tiga hari itu terpaksa dihentikan ekoran keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan, namun saya akan kembali ke situ (Air Terjun Julan) dalam tempoh terdekat,” tuturnya.

Nidal juga memberitahu, dalam kunjungannya ke sana, dia bersama beberapa orang rakan ada melihat sebuah resort terbiar yang terletak di puncak dataran tinggi Air Terjun Julan.

“Saya ada mendengar bahawa ada sebuah resort terbiar di situ yang dahulunya hanya boleh diakses menggunakan helikopter memandangkan keadaan hutan tebal menyukarkan pejalan kaki.

“Jarak dari base camp ke kawasan resort terbiar itu pula mengambil masa sekitar dua hari jika berjalan kaki,” katanya sambil menambah, dia tidak dapat memastikan sama ada resort tersebut benar-benar wujud atau hanya cerita rekaan semata-mata.

Trek tidak diterokai

Selain laluan dan trek yang sukar, sama seperti air terjun lain, pengunjung yang mahu berkunjung ke sana dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.

Menurut seorang penduduk dari Kuching yang hanya mahu dikenali sebagai Billy, memandangkan kawasan Air Terjun Julan diselaputi hutan tebal, pengunjung perlu menumpang dan bermalam di rumah penduduk etnik Kenyah di Kampung Long San yang merupakan kawasan paling hampir dengan air terjun tersebut.

“Mereka yang memulakan misi untuk menjejaki air terjun itu perlu mendapatkan jurupandu yang tahu selok-belok laluan dalam hutan.

“Hal ini kerana, tiada laluan atau trek yang boleh diikuti untuk pergi ke air terjun itu,” katanya.

Tambah Billy, biarpun jalan antara Jambatan Julan yang menghubungkannya dengan air terjun tersebut hanya 12 kilometer, namun hampir 90 peratus daripada laluan itu belum diteroka dan penuh dengan semak samun, menjadikan ia amat mencabar.

Selain itu, pelancong juga perlu memiliki kekuatan mental dan fizikal, menjadikan ia hanya sesuai buat mereka yang berpengalaman dalam beberapa siri pendakian mencabar.

“Senang cerita, ia bukan untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan mendaki,” kata Billy.

Usun Apau juga merupakan tempat asal usul etnik Orang Ulu iaitu Kenyah, Kayan dan Penan.

Semasa awal tahun 1900, komuniti tersebut tinggal dalam kawasan yang terkenal dengan jolokan Garden of Eden tersebut, namun terpaksa berpindah keluar kerana lokasinya yang terlalu pedalaman, menyukarkan akses kepada dunia luar.

Air Terjun Julan juga bukanlah tempat yang selamat untuk aktiviti riadah memandangkan air yang jatuh daripada ketinggian sebegitu mengalir cukup deras.

Menurut pegawai pelancongan Taman Negara Usun Apau, Gustino Basuan, kecantikan Air Terjun Julan diketahui ramai, namun ia masih belum menerima jumlah pengunjung yang ramai.

Hal ini kerana, masih banyak penambahbaikan yang perlu diwujudkan di Usun Apau memandangkan lokasinya yang terletak jauh di pedalaman.