Datuk Abdul Razak Ali memilih untuk berhijrah dari ibu kota ke Kuala Linggi, Melaka bagi menceburi bidang yang sangat asing bagi dirinya iaitu pertanian.

Di atas tanah seluas dua hektar, Abdul Razak mula berjinak-jinak dengan pertanian menerusi penanaman pokok buah naga pada tahun 2013.

Langit cerah yang diharapkan tidak berlaku, apabila harga buah naga dalam pasaran tempatan jatuh merudum akibat lambakan buah berkenaan yang diimport dari negara luar.

Selepas mengalami kerugian besar, bapa kepada tiga cahaya mata itu beralih kepada tanaman pokok tengkaras selepas dimaklumkan ia mempunyai pulangan lumayan dalam tempoh sekitar lima tahun.

Malangnya, apabila tiba waktu untuk dituai hasil, pokok tersebut tidak dapat dijual pada nilai tinggi disebabkan tiada pembentukan gaharu pada bahagian dalamnya.

Menyedari hakikat itu, Abdul Razak mula mencari pembekal agen penggalak inokukar untuk disuntik ke dalam pokok tengkaras bagi menghasilkan gaharu.

Keresahannya bukan kepalang apabila mendapati tidak ada agensi kerajaan atau swasta yang mengkomersialkan produk agen penggalak inokukar di negara ini.

“Ketika itu, saya sudah terbayang kegagalan disebabkan tidak dapat jual gaharu. Saya mahu jual pokok pun, tidak ada orang hendak beli.

“Selepas beberapa bulan, saya mendapat ilham hasil pertolongan Allah SWT untuk melakukan inovasi sendiri bagi menghasilkan agen penggalak inokukar menggunakan minyak kelapa,” katanya.

Hasil daripada inovasi tersebut, pokok-pokok tengkaras milik lelaki berasal dari Muar, Johor itu mula membentuk lapisan berwarna gelap pada batang pokok.

Selepas dibakar, ia mengeluarkan bau harum memikat sekali gus mengukir senyuman panjang pada wajah Abdul Razak.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, gaharu merupakan kayu harum yang biasanya diperoleh daripada spesies Aquilaria malaccensis.

“Apabila bau harum itu keluar, terbuktilah ia adalah gaharu. Saya sangat bersyukur apabila pokok yang ditanam menghasilkan gaharu dan berjaya meraih pendapatan daripadanya.

“Agen penggalak inokukar ini juga membolehkan saya memenangi hadiah utama pertandingan inovasi anjuran Kementerian Pertanian pada tahun 2014 dan 2015,” jelasnya.

Pokok gaharu merupakan sejenis pokok yang hidup subur di hutan tropika dan telah dimanfaatkan oleh masyarakat dunia sejak dahulu lagi.

Semua bahagian pokok daripada batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya digunakan untuk menghasilkan produk hiliran.

Produk-produk yang dihasilkan daripada gaharu mendapat permintaan tinggi di Asia Barat, Jepun, India dan China.

Harga satu kilogram gaharu di pasaran kini bernilai RM25,000 dan ia boleh mencecah sehingga RM100,000 mengikut gred.

Kini, Abdul Razak boleh berbangga apabila dia berjaya mengusahakan ladang pokok tengkaras seluas tiga hektar dengan jumlah pokok mencecah 10,000 batang.

Produk utama

Dia juga berjaya membuka perusahaan sendiri bagi menghasilkan teras dan pati minyak gaharu.

Pada masa sama, Abdul Razak turut menghasilkan dan menjual agen penggalak inokukar kepada petani yang menanam pokok tengkaras menerusi syarikat Biobenua Teknologi Sdn. Bhd.

“Produk utama kami adalah teras dan minyak gaharu. Kedua-dua bahan ini digunakan bagi menghasilkan produk seperti minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik yang dieksport ke luar negara.

“Biasanya, para pembeli di luar negara mengutamakan pembekal gaharu berdasarkan tiga kriteria utama iaitu kualiti, kuantiti dan konsistensi,” jelasnya.

Hasil daripada perniagaan gaharu, Abdul Razak berjaya memperoleh pendapatan lumayan serta menggaji seramai 22 pekerja.

Kejayaan tersebut sangat bermakna buatnya kerana ia digapai tanpa sebarang bantuan daripada pihak kerajaan mahupun swasta.

Selain diusahakan para petani secara kecil di kampung-kampung, penanaman tengkaras turut dikomersialkan oleh syarikat besar tempatan seperti Kumpulan Al-Hilmi.

Syarikat berpangkalan di Slim River, Perak itu mempunyai ladang pokok tengkaras seluas 48 hektar bagi menghasilkan gaharu.

Pengarahnya, Sani Iskandar Md. Ali berkata, pihaknya menggunakan gaharu sebagai medium utama dalam penghasilan kosmetik, minyak wangi dan produk penjagaan kulit.

Kebaikan

Ujar lelaki berusia 42 tahun itu, produk yang dihasilkan daripada gaharu mempunyai kebaikan yang tersendiri kepada penggunanya.

“Misalnya, pemerah bibir jenama Ras Agarwood ini yang mengandungi kolagen daripada gaharu sekali gus mampu merawat kulit bibir si pemakai.

“Minyak wangi yang dihasilkan menerusi gaharu juga tahan lebih lama. Jenama terkenal seperti Calvin Klein juga menggunakan gaharu dalam produk mereka,” katanya.

Sani Iskandar menambah, produk berasaskan gaharu semakin mendapat tempat di seluruh dunia termasuk masyarakat di negara ini.

Ujarnya, meskipun harganya lebih mahal berbanding produk lain dalam pasaran, namun khasiat dan kualitinya diakui oleh pakar.

“Satu mililiter pati minyak gaharu mampu mencecah RM180. Namun, permintaannya sangat tinggi sehingga kami tidak menang tangan.

“Ia disebabkan ramai sudah sedar akan penggunaan dan khasiat gaharu dalam kehidupan seharian mereka. Jadi, tidak hairanlah ada golongan yang sanggup berhabis untuk membeli gaharu,” ulasnya.

Selain produk hiliran, Kumpulan Al-Hilmi turut membangunkan ladang pokok tengkaras di Slim River sebagai kawasan agropelancongan.

Dia memaklumkan, orang ramai boleh berkunjung ke sana untuk melihat sendiri ladang serta proses menghasilkan teras dan minyak gaharu.

“Ladang kami sentiasa terbuka kepada orang ramai yang ingin mempelajari cara penanaman pokok tengkaras dan menghasilkan gaharu.

“Mereka juga boleh melawat ke kilang kami untuk mengetahui proses pembuatan pati minyak gaharu. Ramai sebenarnya yang ingin tanam pokok ini, tetapi tidak ada ilmu,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Karas dan Gaharu Bumiputera (PKGB), Arfan Rambil memaklumkan, industri gaharu di negara ini masih berada pada tahap yang rendah.

Sasaran eksport

Jelasnya, nilai eksport gaharu negara pada tahun lalu adalah sekitar RM9.93 juta bersamaan 38,550.1 kilogram.

Dia menambah, angka tersebut jauh ketinggalan berbanding negara-negara pengeksport utama lain seperti India, Thailand dan Indonesia.

“Ketika ini, kami menganggarkan ladang pokok tengkaras yang berdaftar di negara ini adalah sekitar 2,600 hektar dan 3,000 tidak berdaftar dengan persatuan.

“Dengan ladang seluas ini, sukar untuk mencapai sasaran eksport gaharu yang kami tetapkan iaitu RM12 juta setahun,” terangnya.

Mula ditubuhkan pada tahun lalu, PKGB yang menggabungkan para usahawan gaharu berhasrat mengangkat martabat industri gaharu negara ini ke tahap global selain membangunkan usahawan baharu.

Menurut Arfan, terdapat pelbagai cabaran yang menanti dan terpaksa dihadapi oleh pihaknya dalam memacu matlamat ditetapkan oleh persatuan.

Dia memaklumkan, cabaran utama adalah masalah mendapatkan agen penggalak inokukar dalam kalangan petani selain wujudnya sindiket penipuan (scammer).

“Semakin ramai petani yang menjadi mangsa penipuan sindiket penjualan agen penggalak inokukar. Mereka ini menjanjikan bulan dan bintang kepada petani.

“Mereka cakap kepada petani dengan menggunakan produk agen penggalakan inokukar tertentu, gaharu yang terhasil mampu mencecah puluhan ribu ringgit.

“Jadi, para petani akan melabur ribuan ringgit memandangkan hasil yang dijanjikan sangat tinggi. Tiba masa hendak menjual gaharu, golongan scammer ini terus hilang,” ceritanya.

Dia berharap, pihak berkuasa dapat mengeluarkan produk agen penggalak inokukar rasmi bagi mengelakkan lebih ramai petani menjadi mangsa sindiket penipuan pada masa depan.

Gaharu yang terbentuk daripada pokok tengkaras mempunyai nilai pasaran tinggi iaitu sekitar RM25,000 hingga RM100,000 sekilogram bergantung kepada kualiti.