Namun, ikan kelah biru atau Tor duoronensis hakikatnya jarang sekali ditemui kerana begitu istimewa secara geografi. Di dunia ini, taburannya dipercayai hanya boleh didapati di hulu sungai di Taman Negara Endau Rompin, Johor.

Berbeza dengan ikan kelah merah (Tor tambroides), ia boleh didapati di Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak, selain Johor serta negara-negara di Asia Selatan.

Disebabkan kesukaran mendapatkannya telah mendorong Ahmad Firdaus Wahab, 27, mengambil inisiatif untuk menjualnya sebagai ikan hiasan air tawar tropika. Perniagaan itu mampu menjana pendapatan lumayan berikutan nilainya yang boleh mencecah ribuan ringgit di pasaran tempatan.

“Sejak tiga tahun lalu, saya mengusahakan peniagaan ikan kelah biru, rata-rata peminat ikan digelar Raja Sungai ini amat meminatinya untuk dipelihara sebagai hobi kerana ia suatu yang unik dan sukar ditemui berbanding ikan kelah merah.

“Sambutan dan permintaan terhadap ikan ini begitu menggalakkan sehingga saya mampu menjual antara 100 hingga 200 ekor dalam tempoh dua bulan,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Selanjutnya, Ahmad Firdaus dari Kota Bharu, Kelantan pasti akan ke kawasan perumahan tanah lot di Jalan Tuhanal Kampung Air Merah, Mersing, Johor bagi mendapatkan bekalan stok ikan kelah biru tersebut sekurang-kurang dua bulan sekali daripada pengusaha ternakan ikan itu.

Ikan kelah biru bersifat unik kerana sisik dan siripnya yang berwarna kebiruan.

Hidupan itu bagaikan membawa tuah kepada pengasas syarikat Far East Planet Exotic Agrofarm Sdn. Bhd. (Far East Planet), Mohd. Hanafi Awang yang telah mula mengusahakan ikan kelah biru sejak tahun 2012 lagi.

Pada awalnya, Mohd. Hanafi, 56, membiak 100 ikan kelah biru, selain merah di sebuah kolam simen bermodalkan RM350,000 dalam kawasan kolam berkeluasan 70 meter persegi di kawasan seluas 0.8 hektar.

“Selepas enam bulan diternak, seekor pun tidak mati dan ini saya anggap satu kejayaan.

“Pada tahun 2014, saya menubuhkan syarikat Far East Planet yang menjadi penggerak projek berkenaan. Selain ternakan ikan, syarikat tersebut juga mengusahakan kedai haiwan peliharaan dan kafetaria,” ujarnya.

Dia yang juga anak seorang nelayan memberitahu, sehingga kini, sebanyak 22 buah kolam ikan kelah biru diusahakannya dengan peningkatan modal kepada RM700,000. Projek penternakannya turut mendapat bantuan dari Jabatan Perikanan Negeri Johor menerusi geran-geran tertentu.

Harga

Menurutnya, ikan-ikan kelah biru itu diperoleh dari Endau Rompin sebelum diternak di kolamnya di Mersing. Di Asia, ikan ini buat masa ini disahkan hanya wujud di Endau Rompin manakala belum terdapat penemuannya di negara-negara lain di dunia.

Jelasnya, kelah biru dijual mengikut saiz berbanding berat kerana bilangannya yang agak terhad.

Biasanya ikan yang bersaiz 12 inci atau 30.48 sentimeter (sm) berharga RM1,500 seekor.

Katanya, kelah biru bersaiz antara 15.24sm hingga 30.48sm mendapat permintaan paling tinggi kerana ia sesuai dan cantik diletak dalam akuarium.

Jelasnya, ikan kelah biru yang diternak secara komersial itu turut dieksport ke negara jiran seperti Singapura. Namun, dia masih belum berupaya untuk memenuhi permintaan pasaran negara Asia Timur seperti China dan Hong Kong akibat permintaan yang tinggi itu.

Permintaan tinggi adalah disebabkan keunikan yang terdapat pada sisik dan siripnya yang berwarna kebiruan berbanding ikan kelah merah dan ikan kelah golden masheer.

Katanya, ia juga mendapat permintaan yang tinggi bagi industri perhotelan dan restoran makanan mewah bagi tetamu kenamaan.

Bahkan mengikut kepercayaan dan adat sesetengah masyarakat Cina, ikan kelah biru turut dipersembahkan kepada Maharaja bagi mendapat daulat selain melambangkan kekayaan dan membawa tuah.

Pulihara

Dalam pada itu, Mohd. Hanafi mengakui, ikan kelah biru perlu terus dipulihara kerana ia sebenarnya amat bernilai sebagai mutiara tropika di negara ini.

Menjadi impiannya untuk membangunkan projek mengkomersialkan ikan kelah biru itu kerana nilainya yang sangat tinggi, sama seperti arowana dan sarang burung di samping membantu pengusaha tempatan serta pelajar-pelajar dalam penyelidikan bidang berkenaan.

“Saya juga ingin menyelamatkan spesies kelah biru demi kesinambungan penternakan ikan kelah di negara ini yang semakin berkurangan disebabkan pelbagai faktor seperti pembalakan serta pemburuan menggunakan bom di sungai yang mengancam habitat ikan kelah.

“Sekarang pun saya bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Gelami Lemi di Kuala Klawang, Negeri Sembilan sedang membuat penetasan benih kelah dan hasilnya nanti separuh akan diasuh di kolam saya dan separuh lagi akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk dilepaskan ke habitat asalnya,” ujarnya.

Permintaan peminat kelah biru sebagai ikan hiasan turut menarik minat anaknya, Ahmad Faris Mohd. Hanafi, 25, yang menjadikannya sebagai salah satu kerjaya bagi memperoleh pendapatan lumayan.

Seawal pukul 9 pagi setiap hari, Ahmad Faris banyak meluangkan masa bagi memeriksa keadaan paras suhu air serta memberi makan ke setiap kolam ternakan ikan kelah biru.

Bermula sebagai hobi, Ahmad Faris yang menceburi bidang itu usai menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia menyatakan ikan kelah biru boleh diternak di dalam kolam, tidak semestinya menggunakan air sungai semata-mata.

“Ikan tersebut sesuai dibiak pada kadar suhu antara 28 hingga 30 darjah Celsius di dalam setiap kolam menggunakan air paip di hadapan laman rumahnya.

“Makanan berbentuk pelet jenama Cargill menjadi pilihan diet ikan kelah biru untuk pembiakannya dengan kira-kira 500 hingga 1,000 ekor benih ikan mendiami setiap kolam.

Kesihatan

Dedah anak jati kelahiran Mersing, Johor itu, pemilihan pelet yang berkualiti juga amat penting bagi pembiakan kelah biru, di mana sebanyak 28 peratus kandungan protein pelet dapat membantu tumbesaran ikan kelah yang normal.

Tuntasnya, ikan kelah biru dewasa boleh mencapai berat maksimum iaitu 15 kilogram dengan jangka hayatnya boleh mencecah antara 40 hingga 50 tahun, tetapi ia sangat sukar ditemui.

Tambahnya, sifat lincah ikan kelah yang bergerak secara kumpulan turut memudahkan dia mengenal pasti status kesihatan ikan di dalam kolam pembiakan.

Seperti ikan air tawar yang lain, ikan kelah juga tidak terkecuali daripada mengalami penyakit bintik-bintik putih pada tubuhnya apabila berlakunya perubahan Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut yang bermula dari bulan November ke Mac.

Justeru, sebagai langkah merawatinya, dia akan mengasingkan ikan kelah biru yag dijangkiti penyakit di sebuah kolam khas dengan meletakkan garam pada kadar tertentu demi memastikan kesihatan ikan tersebut berada pada tahap yang baik.

Kelah biru yang lazim dijadikan ikan hiasan begitu istimewa dan bernilai tinggi kerana ia jarang ditemui di dunia serta dipercayai buat masa ini hanya wujud di Endau Rompin, Johor.

Ikan kelah biru yang menjadi tarikan kepada peminat.

Mohd. Faris bersama pekerjanya melakukan pemeriksaan terhadap ikan kelah biru yang dibiak dalam kolamnya.