Setiap tahun bertempat di Lorient, Brittany, Perancis, bangsa Celtic daripada pelbagai wilayah itu akan berhimpun untuk mempamerkan variasi kebudayaan tradisi bangsa mereka meliputi pakaian, tarian, muzik dan gastronomi.

Tahun ini tidak terkecuali apabila Festival Interceltic Lorient (FIL) telah berlangsung dengan jayanya. Festival yang dimulakan sejak tahun 1971 itu sentiasa mendapat sambutan hangat dalam kalangan bangsa berkulit putih tersebut.

Pelbagai kumpulan kugiran dan tarian berarak mendendangkan muzik masing-masing yang menjadi kebanggaan bangsa itu keseluruhan.

Sinonim dengan pakaian gaun labuh berwarna hitam dan putih atau fabrik kekotak, kaum lelaki pula biasanya berkemeja kemas dengan mengenakan kot tanpa lengan sambil meniup instrumen-instrumen muzik.

Bangsa Celtic juga mempunyai bahasanya sendiri yang masih dituturkan oleh 1.4 juta orang. Bahasa Celtic terbahagi kepada dua iaitu Brittonic yang dituturkan masyarakat di Brittany, Cornwall dan Wales manakala Goidelic ditutur oleh masyarakat di Scotland, Ireland serta Isle of Man.