NAMANYA mungkin tidak segah ikon besar dalam bidang kulinari negara se­perti Datuk Cef Ismail Ahmad atau Cef Wan (Datuk Redzuan Ismail), namun pemilik nama Cef Faizul Hazly Ghazali mempunyai kisah menarik yang boleh dibanggakan rakyat negara ini.

Ini kerana, lelaki berusia 39 tahun itu diberi tanggungjawab mengetuai dapur masakan halal sempena temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Gangwon, Korea Selatan bermula 9 hingga 25 Februari ini.

Memegang status sebagai anak Melayu pertama menyediakan makanan halal buat para atlet dunia, Faizul Hazly nampak bersedia bagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa meskipun bukan bertan­ding sebagai peserta dalam edisi sukan musim sejuk terbesar dunia itu.

Siapa sangka seorang Cef Eksekutif di Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd. (Mamee) dengan pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang penyediaan makanan ini bakal membawa nama negara berbekalkan senduk, kuali serta pengetahuan dalam bidang makanan halal untuk mengisi perut kira-kira 180 atlet dan perwakilan beragama Islam.

Katanya, membayangkan dirinya dijadikan panduan dalam menyediakan masakan halal di Sukan Olimpik merupakan satu penghormatan yang perlu diambil serius meskipun terbayang-bayang suhu sejuk beku melebihi -20 darjah Cel­sius yang bakal dihadapi dalam tempoh lebih sebulan bersama seorang pembantu di kawasan Perkampungan Olimpik di Pyeongchang.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, cabaran terbesar ialah untuk mendidik cef-cef bukan Islam mengenai apa itu makanan halal.

“Apabila ditanya mengenai halal, mereka langsung tidak tahu mengenainya dan selepas diceritakan pe­rihal cara sembelihan yang betul dan sebagainya, mereka terkejut serta menyangkakan halal hanya melibatkan masakan tanpa babi sahaja,” kata cef yang berasal dari Senawang, Negeri Sembilan itu.

Dapur halal

Mengulas mengenai dapur halal, Faizul berkata, akan ada dapur bera­singan untuk penyediaan makanan halal di dewan makan yang mampu menampung seluruh perwakilan di Perkampungan ­Olimpik nanti.

Dia akan dibantu sepa­sukan 15 orang pekerja bagi menyediakan makanan melibatkan sejumlah 90,000 hidangan sepanjang acara tersebut berlangsung.

“Semua sistem penyediaan dan pengedaran makanan halal akan dikendalikan oleh sepasukan cef yang dilatih dan diketuai oleh Cef Choi Jeongyong dan saya sendiri,” katanya.

Biarpun bukan masakan Malaysia diketengahkan sebagai menu dalam penyediaan makanan halal, Faizul Hazly berkata, dia tetap berbangga kerana menjadi sebahagian daripada pasukan tersebut.

“Saya bersama seorang lagi pembantu dari Malaysia akan terlibat dalam penyediaan makanan sepanjang tempoh 24 jam iaitu bermula daripada sarapan pagi hingga makan lewat malam,” jelasnya.

Tambahnya, antara menu halal yang akan disediakan termasuklah sup lentil, kambing dan salmon panggang serta beriani kukus.

Katanya, untuk memastikan bahawa bekalan makanan di dapur halal mencukupi, hampir 6,000 kilogram ayam, ternakan dan makanan laut telah dibeli daripada vendor-vendor halal dari serata tempat.

Kesemua hidangan halal akan disediakan mengikut piawaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Faizul Hazly berkata, sebagai seorang warganegara Malaysia, dia berbangga diberi peluang menjadi rakyat negara pertama yang memasak sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018.

“Sebagai seorang duta untuk jenama makanan Malaysia, saya melihat ini sebagai peluang untuk belajar mengenai cita rasa orang daripada latar belakang budaya yang berbeza,” ujarnya.

Sementara itu, selaku pengeluar makanan terkemuka Korea Selatan dan pembekal makanan rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, Shinsegae Food bertanggungjawab menyediakan lebih 420,000 hidangan melibatkan 6,500 orang atlet, jurulatih dan pekerja mewakili 96 buah negara.

Ketua Pegawai Perniagaan Shinsegae Food, SeongYong Yang berkata, peranan Mamee sebagai rakan strategik Shinsegae Food yang dimeterai pada 27 November 2017 membuka ruang usahasama bagi memenuhi keperluan pemakanan para perwakilan Muslim.

“Kami akan diwakili Cef Choi Jeongyong bagi mengetuai persiapan makanan halal bersama Faizul Hazly di Pyeongchang nanti.

“Usahasama dengan pengusaha makanan terkemuka Malaysia, Mamee memberi kelebihan kepada kami untuk memenuhi tuntutan makanan halal,” katanya pada sidang akhbar penglibatan Malaysia dalam Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Pengarah Strategi Korporat dan Kewangan Mamee, Vuitton Pang Hee Cheah.