Beruk jantan ini akan menoleh muka dan menyahut apabila namanya dipanggil bahkan mengerti arahan tuannya untuk memulas kelapa muda atau tua.

Kehandalannya memetik kelapa sebanyak 15 biji dalam tempoh seminit terserlah dalam pertandingan beruk memetik nyior (kelapa) sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kelantan yang diadakan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Pemilik beruk itu, Mohd. Azrul Hakimi Mohammad, 20, dari Kampung Kandis, Bachok, berkata, Samad memiliki gigi kacip dan taring yang tajam yang sering digunakan ketika memetik kelapa.

Menurutnya, beruk itu jarang menggunakan kudrat tangannya untuk memulas kelapa tetapi lebih gemar menggigit dan menarik buah kelapa menggunakan kekuatan giginya.

“Saya sudah menjangka Samad tampil juara apabila menyaksikan beruk-beruk lain hanya menggunakan tangan dan kaki.

“Samad adalah beruk bekerja yang banyak menyumbang pendapatan kepada saya yang mengusahakan penjualan kelapa kepada pengusaha memproses santan. Saya memilihara beruk sejak usia 15 tahun lagi,” katanya.

Mohd. Azrul berkata, jangan membiarkan beruk lapar, dahaga dan kepanasan adalah petua utama mengekalkan kesetiaan haiwan itu kepada tuannya.

“Saya tidak akan membenarkan orang lain bermain atau mendekatinya kerana resmi beruk setia hanya pada tuannya.

“Samad kelihatan garang namun ia mendengar arahan tuannya dan tidak akan melengahkan kerja menurunkan kelapa.

“Beruk ini saya beli dengan harga RM5,100 dan kini sudah ditawarkan dengan harga RM10,000. Bukan masanya untuk dijual kepada orang lain kerana ia sudah banyak berjasa,” katanya.

Hanya 12 ekor beruk menyertai pertandingan memulas nyior yang dianjurkan. Selain Samad beruk bernama Putih, Mamat, Jen, John, Tokok, Itey, Said, Mat Yeh, Cotek, Salleh, Kecik turut menyertainya.

Tempat kedua dimenangi beruk bernama Tokok yang berjaya menjatuhkan enam biji kelapa dan tempat ketiga Itey yang menjatuhkan lima biji kelapa.

Hadiah tempat pertama hingga ketiga berupa barangan elektrik manakala hadiah sagu hati bagi semua penyertaan berupa hamper.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Unit Agronomi, Jabatan Perkhidmatan Veterina negeri Kelantan, Shalika Abdul Razak.

Jangan manjakan

Ketua pengadil pertandingan itu, Mohd. Solah Ramli berkata, peruntukan masa untuk beruk memetik kelapa ialah 1 minit 15 saat dengan menggunakan sistem jatuhan tempurung ke dalam air.

Menurutnya, peserta yang menyertai pertandingan itu tidak dibenarkan memaki atau memukul beruk sepanjang pertandingan diadili.

Mohd. Solah yang juga Cikgu Beruk dari Kampung Nipah, Bachok, berkata, sepanjang 10 tahun mengajar beruk memulas kelapa, dia tidak pernah digigit haiwan berkenaan kerana beberapa petua yang diamalkan.

“Tidak semua beruk yang diajar mendengar kata cikgu. Ada yang nakal. Kalau yang tidak dengar kata cukup dengan sergahan keras dan sentiasa menampilkan wajah yang serius.

“Kalau yang jinak jangan manjakan sangat. Beruk sebenarnya mampu mentafsir ketegasan tuannya. Jadi kita kena berwaspada dengan tindakan luar dugaan,” katanya.

Seorang lagi cikgu beruk, Zulkifli Mohamad, 53, dari Kampung Kemud, Bachok berkata, pertandingan beruk memetik nyior bukan sekadar menguji ketangkasan haiwan itu, tetapi yang lebih penting ialah memantapkan hubungan akrab dalam kalangan pemilik beruk.

Malah, katanya, pertemuan sebegini membuka ruang untuk menjual atau membeli beruk yang diminati dengan harga yang dipersetujui.

“Paling murah seekor beruk muda ialah RM500 dan yang berusia empat tahun boleh dibeli dengan harga RM1,000 manakala yang memiliki kemahiran tertentu dijual di antara RM8,500 hingga RM10,000,” katanya.

Kopitiam beruk

Sementara itu di Melor, Kota Bharu, Kelantan lain pula situasinya. Selalu kita dengar orang minum di kedai kopi, tetapi jarang kita melihat sekumpulan beruk bersarapan dengan makan nasi digaul bersama telur mentah, kuih dan minum susu atau air bergas sebelum memulakan ‘kerja’ memanjat kelapa.

Kelainan tersebut boleh dilihat di sebuah warung yang dikenali penduduk setempat sebagai Warung Kopitiam Beruk yang terletak di Kampung Melor Lama, Melor sejak hampir 10 tahun lalu apabila kedai kopi berkenaan menjadi tumpuan penternak beruk di kawasan sekitar.

Tidak segan kedai kopinya dikaitkan dengan beruk, pemilik kopitiam tersebut, Rohaida Ibrahim, 40, berkata satu suasana yang seronok apabila seawal jam 7 pagi, penternak beruk seolah-olah berjanji untuk bertemu, berkongsi maklumat dan masalah mengenai beruk di kedai makan berkenaan.

“Melihat gelagat beruk-beruk makan sangat menyeronokkan apabila pembela ini datang membawa haiwan kesayangan mereka, malah lebih menggembirakan beruk mereka bermanja dengan perlu disuap kuih seperti cik mek dan donat serta minuman seperti susu atau Milo.

“Kebetulan suami saya pun minat kepada hobi membela beruk, jadi kedai ini menjadi seperti pusat sehenti untuk perniagaan anak beruk dan beruk dewasa, jual beli berlaku, malah di sinilah penternak veteran banyak menurunkan ilmu kepada peminat baharu,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di warung tersebut di Kampung Melor Lama di sini.

Menjadi generasi muda kepada penternak beruk yang ada sekitar Melor dan Alor Bakat, Bachok, suami Rohaida, Mohd. Saiful Mohd. Sori, 45, berkata dia menternak beruk sejak lebih 20 tahun lepas dan pendapatannya bergantung kepada tenaga beruk untuk mengambil upah memanjat kelapa.

“Kebiasaannya beruk ini makan sama seperti apa yang tuannya makan, kalau tuan makan nasi, ia pun makan nasi, kalau tuannya minum Milo, ia akan mengikuti minum air yang sama.

“Tempat ini dianggap legend kerana di sinilah kami berbincang mengenai beruk peliharaan, malah sudah beberapa kali pertandingan memetik kelapa dianjurkan oleh kumpulan kami yang membawa minat ramai golongan termasuk pelancong dari luar negara,” katanya.

Cemburu

Menjinak dan melatih beruk yang dinamakan ‘Dolah’ berusia 15 tahun, Mohd. Saiful berkata, dia tidak pernah putus asa menternak haiwan itu yang dibela secara bersilih ganti setelah beruk lama mati atau dijual.

Katanya, apabila beruk lain datang kedai tersebut, sekurang-kurangnya Dolah mempunyai ‘kawan-kawan’.

Bagi penternak beruk, Yasin Awang Puteh, 72 dari berkata, lima tahun menjaga beruknya, Mat Soyok banyak memberi pulangan kepadanya kerana haiwan tersebut rajin memetik buah kelapa sehari kira-kira 200 hingga 300 biji dari pukul 7 pagi hingga 11 tengah hari.

“Kita perlu kenali sifat beruk jantan iaitu terlalu cemburu dengan orang perempuan... ia boleh mengamuk, jadi petua menjinakkannya, pujuklah semula dengan menggosok badan atau memberi makanan atau minuman bagi meredakan perasaan marah itu,” katanya.