Seperti internet, mengehadkan medium berkenaan amat sukar. Ia memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak tertinggi untuk menyekat atau sekurang-kurangnya mengehadkan penggunaan internet.

Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan 60,000 pelajar di negara ini ketagih terhadap Facebook (FB).

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ketagihan bermaksud rasa ingin benar akan sesuatu.

Ketagihan terhadap internet terutamanya FB itu berlaku akibat jaringan kuasa internet terlalu luas sehingga lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Hal berkenaan perlu dipandang serius memandangkan golongan pelajar adalah individu yang bakal mencorak masa depan negara.

Jika tidak dibendung dari awal, banyak perkara negatif boleh berlaku dan ia sememangnya amat merisaukan.

Pakar Psikiatri, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Azlin Baharudin berkata, punca ketagihan terhadap FB disebabkan oleh beberapa faktor.

“Antaranya menggunakan FB dengan masa yang terlalu lama, menggunakannya bagi tujuan yang tidak bermoral dan terlalu bergantung dengan laman sosial itu untuk mendapatkan pelbagai maklumat.

“Faktor-faktor inilah yang menyebabkan tingkah laku dan emosi pelajar berubah kerana kegiatan itu telah menimbulkan keseronokan (ketagihan) kepada mereka,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Azlin, contoh perubahan tingkah laku ialah suka menyendiri, antisosial, pemalu dan kurang keyakinan diri.

Katanya lagi, dengan berlakunya perubahan sedemikian ia akan memberi kesan sampingan buruk kepada pelajar terutamanya dari segi mental dan fizikal mereka.

Aktiviti bersama

“Pelajar yang menghabiskan waktu terlalu lama dengan melayari FB akan kurang waktu tidur seterusnya akan menyebabkan pelajaran terganggu kerana tidak cukup rehat.

“Prestasi pembelajaran akan merudum malah kesihatan diri turut terganggu,” ujarnya yang menyarankan pelajar perlu memanfaatkan waktu harian mereka dengan pelbagai aktiviti bagi mengelakkan masalah ketagih bermain FB.

Sementara itu, Pensyarah, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Kerja Sosial dan Polisi, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Wan Ibrahim Wan Ahmad memberitahu, salah satu sebab ketagihan melayari laman sosial ialah pelajar-pelajar berkenaan beroleh keseronokan daripada aktiviti tersebut.

“Pada peringkat permulaan mereka mungkin hanya sekadar mengisi masa lapang atau ingin cuba-cuba tetapi akhirnya tidak lagi mempunyai kemampuan untuk mengawal keinginan untuk tidak terlibat.

“Masa inilah kita kata mereka sudah ketagih. Orang seperti ini sanggup menghabiskan masa yang lama, malah sanggup berjaga malam untuk tujuan tersebut,” terangnya lagi.

Tambah Wan Ibrahim, sebab lain pula ialah pengaruh atau pengalaman rakan sebaya di sekeliling yang juga selalu terlibat dalam media sosial.

Cerita-cerita menarik daripada teman sebaya boleh menimbulkan rasa ingin tahu dan sekali gus menjadi daya penarik.

Justeru, Wan Ibrahim berpendapat perlunya penglibatan ibu bapa untuk memberi kesedaran betapa bahayanya penyakit ketagihan media sosial kepada kehidupan harian anak, terutama pada prestasi pembelajaran.

Di samping itu, ibu bapa perlu mengambil tahu tentang kegiatan anak-anak mereka terutama berkaitan internet yang mungkin boleh menyebabkan anak-anak akhirnya menjadi ketagih.

“Ibu bapa perlu menyemarakkan anak-anak mereka dengan pelbagai aktiviti bersama umpamanya membeli-belah, membaca atau menonton wayang yang membolehkan masa anak-anak diisi dengan aktiviti positif.

“Jika sudah terlibat, pelajar itu sendiri perlu ada kesedaran diri yang tinggi untuk membantu dirinya keluar daripada ketagihan,” ujarnya.