Rasa hangat tangan ibu yang menyuap ke mulutnya serta adik-beradik lain secara bergilir-gilir masih dikenang sehingga kini.

Amalan itu menjadi rutin setiap kali ibunya, Norazlin Md. Nor, 45, pulang ke kampung di Rembang Panas, Kuala Pilah, Negeri Sembilan kerana bekerja di Kuala Lumpur. Norazlin perlu bekerja selepas berpisah dengan suaminya.

Norazlin hanya akan pulang ke pangkuan anak-anaknya sekali dalam sebulan. Dia ketika itu melakukan beberapa pekerjaan di restoran dan hotel bagi menampung kehidupan.

Kepayahan hidup dan kekangan wang menyebabkan Mohd. Amirul Afiq yang lebih mesra dengan panggilan Mohd. Amirul bersama abang, Mohd. Azham Ameruddin, 26, dan adiknya, Mohd. Azmaredzal Ameruddin, 23, membesar dalam serba kekurangan.

Mereka terpaksa berpisah dengan ibu kandung ketika usia baru mencecah 10 bulan, lapan dan tujuh tahun dan tinggal bersama datuk dan nenek mereka, Allahyarham Md. Nor Sajak dan Allahyarhamah Maimunah Latif.

“Kami ditinggalkan kerana ibu berpisah dengan ayah. Ayah seorang yang baik tetapi dia juga manusia biasa yang pernah membuat kesilapan. Dia merupakan bekas penagih, apa yang berlaku antara ayah dan ibu, kami adik-beradik tidak mempersoalkannya.

“Sebagai anak bekas penagih dan ibu pula bekerja di Kuala Lumpur, kami sering dicemuh, kejadian itu banyak memberi impak kepada kehidupan kami. Kami dikatakan akan mengikuti jejak langkah ayah,” katanya yang mesra dipanggil Angah dalam keluarga.

Lebih membanggakan, walaupun hidup dalam serba daif, Mohd. Amirul mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia ketiga yang berjaya bergelar graduan Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (USAFA).

Semasa menyertai USAFA, segala latihan yang diberikan dilalui dengan kental kerana baginya, kepayahan semasa kecil lebih sukar berbanding di akademi itu.

Di USAFA, Mohd. Amirul mendapat wang saku malah dia juga mempunyai keluarga angkat yang banyak membantu meringankan perbelanjaannya.

“Berbanding semasa kecil kami hidup dengan wang pencen datuk. Kami diberikan wang 70 sen sahaja untuk berbelanja tetapi tidak mengapa kerana kami menerima bantuan RMT (Rancangan Makanan Tambahan) dan baju sekolah,” terangnya sambil memaklumkan datuknya adalah bekas pesara tentera.

Kepayahan ketika kecil banyak mengajar Mohd. Amirul untuk sentiasa berkorban dengan mendahulukan keperluan ahli keluarga yang lain.

Keadaan itu membuatkannya sudah terbiasa sehingga ke alam dewasa. Dia menjadi lelaki yang mempunyai wawasan, berpandangan jauh serta berdedikasi tinggi terhadap keluarga dan masyarakat.

Saat menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 9A, dia bercita-cita ingin menyambung pengajian di luar negara.

“Sejak dahulu lagi saya teringin ke luar negara untuk belajar tetapi sebenarnya saya tidak tahu ingin mengambil jurusan apa. Apa yang saya tahu saya belajar untuk jadi kaya. Saya ingin membuka perniagaan.

“Jadi semasa mengisi borang UPU (Unit Pusat Universiti), saya tanda pada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) walhal saya tidak tahu ia untuk ketenteraan,” katanya sambil tertawa kecil.

Menangis

Selepas seminggu berada di UPNM, Mohd. Amirul ingin keluar daripada universiti berkenaan tetapi Norazlin dan datuk Mohd. Amirul mahu anak serta cucunya meneruskan pengajian.

“Saya nampak Angah menangis ketika kami mahu meninggalkannya, saya tahu hatinya terluka tetapi saya ingin dia berjaya. Datuknya sentiasa memberi kata semangat agar dia meneruskan pengajian di UPNM.

“Angah tidak pernah melawan kata. Dia ni kalau dengan saya sentiasa cair (lembut hati), terlalu banyak dia berkorban untuk menjaga hati dan membalas budi saya,” kata Norazlin sambil menitiskan air mata.

Dalam nada perlahan, Norazlin memaklumkan, sewaktu kecil Mohd. Amirul sering dianggap lemah kerana selalu sakit.

“Pernah suatu ketika, Angah cirit-birit. Sebelum itu dia demam panas sehingga hampir mendapat epilepsi, pada masa itu hanya Allah yang tahu betapa terduduknya saya menghadap ujian daripada-Nya.

“Sampai saya berdoa, ambil nyawa kami anak-beranak kerana tidak sanggup lagi memikul beban di bahu. Saya betul-betul buntu kerana dalam masa yang sama, abang dan adiknya juga sakit,” cerita Norazlin sambil mengesat air mata.

Selepas hampir tujuh tahun bergelar ibu tunggal, Norazlin mendirikan rumah tangga dengan Nik Saifullizam sehingga ke hari ini.

Oleh kerana mereka anak-beranak jarang-jarang berjumpa, setiap kali bersua muka Norazlin akan memberi sepenuh perhatian kepada anak-anaknya. Apabila mempunyai wang lebih, sesekali Norazlin akan membelikan mereka nestum, ayam goreng McDonald’s dan Milo.

Jual nasi lemak

Norazlin yang merupakan anak kelima daripada sembilan beradik menjelaskan, oleh kerana dia membesar dan tinggal di Kuala Lumpur, dia ingin anaknya turut merasai makanan-makanan ‘bandar’.

Walaupun Norazlin terpaksa meninggalkan anak-anak ketika usia mereka masih kecil, kasih sayang anak-anak terhadapnya tidak pernah berbelah bahagi.

Malah, kasih sayang itu yang menjadi penguat untuk mereka meneruskan hidup dan berusaha mencari wang bagi menampung perbelanjaan walaupun sering dikecam masyarakat sekeliling.

Masyarakat sering berpandangan skeptikal dengan mengatakan apabila ditinggalkan di kampung, mereka tiga beradik tidak mempunyai peluang dan masa depan yang cerah, malah ada juga yang memandang serong dengan mempersoalkan pekerjaan Norazlin ketika di Kuala Lumpur.

Mohd. Amirul hanya mendengar sindiran masyarakat sekeliling. Dia tidak pernah mempersoal dan mempedulikan kata-kata tidak sihat itu kerana dia tahu ibunya bekerja untuk menghantar wang perbelanjaan di kampung.

“Kata-kata sindiran mereka itu menjadikan saya kuat. Saya dengar je apa mereka cakap tentang ibu, tentang keluarga kami. Saya menanam azam untuk melakukan setiap perkara dengan baik.

“Cumanya, janganlah kita sebut benda bukan-bukan pada kanak-kanak, nampak seperti mereka tidak memberi respons tetapi ia melekat di hati, sampai besar mereka ingat,” terangnya.

Walaupun bergelar kanak-kanak ketika itu, Mohd. Amirul sudah cukup matang untuk berfikir dengan baik bahawa dia tidak akan sesekali menyusahkan nenek, datuk dan ibunya.

Bagi Mohd. Amirul, dia sanggup bekerja sendiri untuk mencari makan dan mendapatkan duit poket.

“Ketika darjah empat, saya ambil upah menjual nasi lemak sebab saya sendiri ingin makan nasi berkenaan. Saya tidak mahu meminta wang daripada nenek atau datuk.

“Saya juga akan bertolak-ansur dengan abang dan adik. Jika ibu mahu membeli pakaian sekolah, saya akan meminta ibu mendahulukan keperluan mereka berbanding saya. Ibu perlu berjimat,” ujarnya.

Norazlin sering mengingatkan zuriatnya bahawa dia tidak mempunyai harta untuk diberikan dan ditinggalkan kepada anak-anak, cuma apa yang dia adalah tiga orang anak lelakinya itu.

“Saya cuma harap anak-anak tidak lupa diri dan asal usul. Melihat kejayaan Angah pada hari ini membuatkan jerih payah ketika dahulu begitu berbaloi.

“Angah nanti kena tolong orang pula, jangan bangga-bangga, ingat kita ni dahulu orang susah yang ramai orang tolong. Angah kena buat macam tu juga,” kata Norazlin sambil memandang wajah anak keduanya itu.

Mohd. Amirul mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia ketiga yang berjaya bergelar graduan Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (USAFA) 2018.