Berdasarkan prinsip tersebut, segala halangan dan cabaran mendatang ketika melakukan sesuatu perbuatan akan menjadi lebih mudah apabila dilakukan secara bersama-sama.

Salah satu aktiviti tradisi yang sering dilakukan orang-orang Melayu dan kini semakin ditinggalkan ialah mengusung rumah dari satu lokasi ke kawasan lain.

Baru-baru ini lebih 150 penduduk Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak berjaya mengusung dan memindahkan sebuah rumah tradisional seberat enam tan ke lokasi baharu sejauh kira-kira 150 meter merentasi sawah padi.

Jika difikirkan logik akal, mana mungkin rumah seberat enam tan yang diperbuat daripada kayu cengal dan merbau berusia 80 tahun itu mampu diangkat manusia namun perkara tersebut dibuktikan mereka selepas empat jam melakukannya.

Menceritakan detik-detik tersebut, Penyelaras Program Mengusung Rumah Lama, Meor Samsudin Abu Hassan berkata, selepas perbincangan bersama penduduk kampung, mereka sepakat untuk mengusung rumah tradisional itu bagi tujuan pameran kepada generasi akan datang dan para pelancong.

“Kami berjumpa dengan waris pemilik rumah satu bilik ini dan memaklumkan tujuan kami adalah untuk menjadikannya Galeri Budaya serta memindahkannya ke Dataran Badang di kampung berkenaan yang mempunyai jarak kira-kira 150 meter dari tapak asal rumah.

“Waris pemilik bersetuju dengan hasrat kami yang mahu mengekalkan keadaan rumah tradisi tersebut selain menjadikannya sebagai tarikan di kampung ini,” katanya.

Menurut Meor Samsudin, pada mulanya, mereka merasakan agak mustahil untuk mengusung rumah tersebut merentasi sawah padi dan parit selebar hampir satu meter.

Bagaimanapun, katanya, hasil kerjasama dan kesepakatan penduduk dengan bantuan hampir 100 pelajar dari Universiti Sultan Azlan Shah, Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta pelajar pondok Madrasah Islahiah Saiburi, Pattani, Thailand, ia telah berjaya dilakukan.

Kesukaran

Jelasnya, buluh dan batang pinang dikumpul dan diikat pada tiang bawah rumah bagi memudahkan proses mengangkat dan mengusungnya.

“Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu menggunakan rotan dan akar pokok untuk mengikat buluh dan batang pinang namun sekarang kita gunakan tali.

“Banyak tenaga manusia diperlukan untuk mengangkatnya dan bagi memudahkan proses angkatan, individu yang terlibat perlu peka terhadap arahan dan bergerak secara serentak,” katanya.

Katanya lagi, pada awalnya, terdapat kesukaran untuk mengangkat rumah tersebut namun selepas mendapat petua dan nasihat daripada orang-orang tua, proses tersebut menjadi lebih mudah.

“Mereka meminta salah seorang daripada kami untuk melaungkan azan selain berdoa dan meletakkan seorang kanak-kanak di dalam rumah tersebut ketika proses mengusung berjalan,” katanya.

Menurutnya lagi, kali terakhir aktiviti gotong-royong mengusung rumah di kampung tersebut diadakan ialah pada tahun 1970 dan adat tradisi tersebut tidak sepatutnya ditinggalkan.

Bentuk asal

“Satu-satunya rumah tradisional yang masih wujud di kampung ini yang tidak menggunakan paku dalam pembinaannya itu tidak sepatutnya dibiarkan reput ditelan zaman.

“Oleh itu, kami penduduk kampung bersetuju untuk mengekalkan bentuk asal rumah tradisional ini selain menghias dan meletakkan bahan pameran lain yang berkaitan,” katanya.

Jelasnya, walaupun tiang rumah tersebut longgar setelah diangkat, namun ia tidak menjadi masalah kerana hanya perlu mengetuk pasak di tiang berkenaan.

Bahagian lain rumah tersebut, katanya, tidak terjejas dan ia masih utuh untuk digunakan.

Menceritakan memori lama di rumah tradisional itu, cucu pemilik rumah tersebut, Ruzimah Abdul Rahman, 45, berkata, rumah itu menyimpan banyak kenangan manisnya ketika membesar.

“Saya bersama tiga lagi sepupu membesar di rumah ini sejak kecil tapi selepas arwah nenek, Rokiah Salim, meninggal dunia pada penghujung tahun 1980-an, masing-masing tinggal bersama keluarga di rumah lain.

“Rasa sayu dan terharu apabila rumah ini dipindahkan dan dijadikan Galeri Budaya. Harapan saya agar rumah ini akan terus dijaga dan dipelihara dengan sempurna agar dapat terus ditatap generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Doktor Falsafah dalam jurusan Teknologi Maklumat di UTP, Sayed Muslim Jameel meluahkan perasaan terujanya menyertai program mengusung rumah itu.

“Saya sangat teruja menyertai program ini kerana budaya ini tiada di tempat asal saya di Karachi, Pakistan.

Kesepakatan

“Program ini mengajar saya kesepakatan dan kerjasama di dalam kumpulan mampu menterjemahkan kejayaan walaupun terdapat halangan yang perlu ditempuhi,” katanya.

Tambah Sayed Muslim, dia juga tidak berasa seperti orang asing disebabkan sikap ramah penduduk tempatan yang sering menyapa dan bertanya tentang dirinya.

“Saya seperti dilahirkan di sini selepas mendapat layanan yang begitu baik daripada masyarakat walaupun baru beberapa bulan tinggal di Malaysia.

“Semoga program-program kebudayaan dan adat Melayu sebegini dapat diadakan lagi pada masa-masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Mengusung Rumah Lama, Hisham Yusof berkata, program angkat rumah tersebut merupakan simbolik kepada penganjuran Badang Ecosport Challenge yang bakal diadakan pada bulan ini.

“Penganjuran Badang Ethnosport Challenge pada tahun ini mempersembahkan sedikit kelainan apabila rumah yang diusung ini akan dijadikan lokasi program.

“Sebanyak 50 peserta dari 24 negara telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk Iran, Brunei, Indonesia, Amerika Syarikat, Kanada, Brazil, Uzbekistan dan Poland,” katanya.

Masyarakat Melayu di Kampung Labu Kubong, Perak kerah keringat usung rumah tradisional rentas sawah padi untuk dijadikan Galeri Budaya di Dataran Badang kampung itu.