Ironinya kerisauan ibu bapa terhadap tahap keselamatan anak-anak ketika pergi dan pulang dari sekolah termasuk ketika berada di kawasan sekolah tetap mempunyai asas yang kukuh. Lebih-lebih lagi apabila berlakunya insiden seorang pelajar perempuan yang terbunuh, manakala dua rakannya ­cedera akibat ­terke­­­na bilah pisau mesin rumput dari sebuah traktor yang ­mela­­yang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd. Rahman, Gemas, Tampin, Negeri Sembilan pada 13 Februari lalu.

Walaupun ia kes terpencil, kejadian seumpama itu sebenarnya bukan isu kecil dan remeh yang boleh dipandang ringan. Rentetan insiden itu, pihak Kementerian Pendidikan mengarahkan agar siasatan terperinci dijalankan bagi menge­tahui punca sebenar kejadian selain memastikan sama ada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tidak dipatuhi atau sebaliknya.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu keselamatan murid di sekolah, wartawan Kosmo! Ahad, ROSLI HASSAN menemu bual Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim di Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh Datin jelaskan secara terperinci apakah Pengurusan Keselamatan Murid di sekolah?

NOOR AZIMAH: Pengurusan Keselamatan Murid di sekolah ialah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak pengurusan sekolah dalam mengurus keselamatan diri murid serta warga sekolah secara keseluruhannya. Keselamatan murid juga perlu diberi keutamaan dan tidak boleh dikompromi sama sekali. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah perbuatan jenayah seperti culik, buli, keadaan fizikal serta kemudahan sekolah yang tidak sempurna, penguatkuasaan peraturan aktiviti murid serta kawalan keselamatan sekolah. Kementerian Pendidikan juga telah menetapkan SOP yang menyentuh perkara-perkara ini sebagai pedoman pihak pengurusan sekolah dan guru-guru. Bagaimanapun, SOP ini kadangkala gagal dipatuhi oleh segelintir pengurusan sekolah dan guru sehingga menjadi punca kepada kemalangan jiwa murid.

Apakah punca segelintir pengurusan sekolah dan guru gagal mematuhi SOP ditetapkan dan bagaimana ia boleh mengancam keselamatan murid di sekolah?

Antara punca kegagalan mematuhi SOP ditetapkan ini ialah guru tidak mengetahui akan kewujudan SOP itu atau kurang jelas mengenainya. Tidak mungkin sesuatu SOP itu dapat menjelaskan de­ngan terperinci semua langkah yang perlu diambil atau menyentuh semua perkara yang berlaku di sekolah. Namun, sebagai guru, mereka perlu bijak menilai kemungkinan-kemungkinan yang boleh menyebabkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini ke atas murid. Sebagai contoh, saya pernah melihat murid-murid di sebuah sekolah masih berada di atas padang walaupun ketika itu kilat telah mula sabung-menyabung. Murid-murid ini hanya diarahkan pulang ke kelas setelah hujan. Di sinilah kebijaksanaan guru dalam menilai sesuatu perkara itu memainkan peranan yang penting. SOP mungkin menjelaskan bahawa murid tidak boleh berada di atas padang ketika hujan, namun sebagai guru mereka perlu mengetahui bahawa salah satu sebab mengapa SOP itu diadakan ialah menggelakkan murid dipanah kilat ketika berada di padang. Kilat sebenarnya lebih berbahaya daripada hujan, tidak perlu tunggu air hujan mula menitik untuk menghentikan aktiviti di padang. Mereka perlu berhenti sebaik mendengar dentuman guruh atau pancaran kilat pertama.

Apakah yang perlu dilakukan dalam usaha meningkat keselamatan murid di sekolah?

Pihak pengurusan sesebuah sekolah perlu memastikan yang guru-guru di sekolah terbabit mengetahui sepenuhnya SOP berkaitan keselamatan murid dan bukan hanya dirujuk selepas sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku. SOP ini juga perlu dipatuhi tanpa kompromi. Jika SOP dipatuhi, kejadian malang yang menimpa pelajar SMK Tuanku Abd. Rahman mungkin boleh dielakkan. SOP dengan jelas menetapkan bahawa pelajar tidak dibenarkan berada di atas padang ketika kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan. Selain itu, keadaan fizikal peralatan dan kemudahan di sekolah juga perlu dilakukan pemeriksaan secara berkala. Kipas-kipas yang berada di dalam kelas perlu dipastikan berfungsi dalam keadaan baik. Guru yang mengajar di dalam kelas pastinya menyedari jika sesebuah kipas berpusing dalam keadaan bergoyang. Namun, jika mereka mengambil mudah serta mengamalkan sikap tidak peduli, kipas ini mungkin satu hari nanti jatuh dan menimpa pelajar. Insiden pelajar mati dihempap tiang gol juga mungkin boleh dielakkan jika tiang gol di sekolah diperiksa dan diselenggara dengan baik. Pada masa sama, pengawal keselamatan sekolah juga perlu lebih tegas dan tidak membenarkan ibu bapa atau pelawat memasuki sekolah sewenang-wenangnya. Ada segelintir pengawal keselamatan dilihat membenarkan pelawat memasuki kawasan sekolah dengan mudah tanpa merekod butir-butir peribadi dan tujuan memasuki sekolah. Keadaan ini tentunya memudahkan penjenayah termasuk penculik untuk memasuki kawasan sekolah.

Kejadian culik merupakan antara yang menjadi kebimbangan ibu bapa. Bagaimanakah hendak mengurangkan risiko kejadian culik daripada berlaku?

Pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) antara langkah yang boleh diambil pihak pengurusan sekolah. Namun, pemasangan serta penyelenggaraan CCTV melibatkan kos yang besar dan tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan sekolah. Ada sekolah yang memasang CCTV, namun akhirnya kesemua CCTV terbabit rosak akibat tidak diselenggara dengan baik. Ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah juga perlu memastikan anak-anak memasuki kawasan sekolah dengan selamat dan bukan sekadar menurunkan mereka di kawasan yang agak jauh hanya kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Ada segelintir anak-anak juga gemar untuk keluar semula dari kawasan sekolah selepas tiba hanya untuk membeli minuman atau makanan yang dijual di luar sekolah. Terap kepada anak-anak tentang bahaya membeli makanan dan minuman di luar kawasan sekolah serta langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil jika didatangi oleh individu tidak dikenali.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes murid maut dilanggar termasuk oleh kenderaan berat ketika melintas jalan di hadapan sekolah. Boleh Datin beri pandangan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelak kejadian sebegini daripada berulang?

Kemalangan maut yang menimpa murid sama ada ketika mahu pergi atau balik ke sekolah memang kerap berlaku, namun ia sebenarnya boleh dielakkan jika langkah-langkah pencegahan diambil. Antara langkah pencegahan yang paling baik ialah pemasangan bonggol dan garisan kuning di jalan berhampiran sekolah yang sering digunakan murid-murid untuk melintas. Dengan adanya bonggol dan garisan kuning, ia dapat memaksa pemandu mengurangkan kelajuan kenderaan mereka. Pembinaan jejantas terutamanya di jalan-jalan yang sibuk juga satu langkah yang baik. Selain itu, pemasangan papan tanpa amaran kawasan sekolah juga boleh membantu pemandu untuk menyedari bahawa mereka telah menghampiri kawasan sekolah. Pemasangan lampu isyarat pejalan kaki juga salah satu langkah yang baik dalam meningkat lagi ciri-ciri keselamatan jalan raya di kawasan sekolah.

Meningkatkan ciri-ciri keselamatan di sekolah biasanya melibatkan kos yang besar. Apakah yang boleh dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah dalam menangani kekangan ini?

Memang benar meningkat ciri-ciri keselamatan di sekolah seperti pemasangan CCTV, pembinaan jejantas dan bonggol melibatkan kos yang tinggi dan tidak semua sekolah mampu berbuat sedemikian. Selain bekerjasama dengan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dalam menampung kos terbabit, pihak sekolah juga boleh menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta lain-lain agensi kerajaan berkaitan. Pihak sekolah boleh menghubungi pihak berkuasa tempatan di kawasan masing-masing atau Jabatan Kerja Raya dan meminta bantuan mereka untuk membina bonggol atau jejantas di jalan berhampiran sekolah. Syarikat-syarikat swasta yang besar dan terkemuka juga biasanya mempunyai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyediakan peruntukan untuk membantu sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan. Hubungi syarikat-syarikat ini dan nyatakan apa yang diperlukan untuk meningkat keselamatan di sekolah. Insya-Allah mereka dapat membantu. PIBG juga perlu aktif dalam menjana pendapatan persatuan yang kemudiannya boleh disalurkan kepada usaha meningkatkan keselamatan murid di sekolah. Wang PIBG juga perlu dibelanjakan ke atas usaha-usaha meningkatkan keselamatan murid di sekolah dan bukannya hanya tertumpu pada peningkatan akademik atau keceriaan sekolah.

Selain pihak pengurusan sekolah dan guru, apakah peranan yang boleh dimain­kan oleh ibu bapa dalam meningkatkan keselamatan murid di sekolah?

Peranan ibu bapa sebenarnya sama penting dengan pihak pengurusan sekolah dan guru dalam meningkatkan keselamatan murid di sekolah. Mereka perlu buang sikap tak ambil peduli mengenai urusan sekolah. Hadiri mesyuarat PIBG dan beri sumbangan berdasarkan kemampuan. Jika tak mampu sumbang wang, boleh sumbang tenaga. Jika melihat ada sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan kepada murid, segera beritahu pihak sekolah agar ia boleh diatasi segera. Jangan letak kenderaan di tempat-tempat yang boleh membahayakan keselamatan murid dan pandu dengan berhati-hati di kawasan sekolah.