Dari aspek kesihatan pula, dalam keghairahan mencari penawar penyakit, persoalan halal dan haram juga perlu dititikberatkan.

Kefahaman dan penghayatan tentang halal dan haram ubat-ubatan perlu diberi perhatian agar kesihatan tubuh terpelihara mengikut ajaran Islam yang sebenar.

Justeru, Program Pembangunan Kapasiti Teknikal Halal Antarabangsa yang diadakan sempena penganjuran Persidangan Halal Antarabangsa Malaysia (MyHA) 2018 telah menganjurkan sebuah forum mini bertajuk Forum Isu dan Cabaran dalam Farmaseutikal Halal baru-baru ini.

Forum yang berlangsung pada hari pertama MyHA itu melibatkan seramai 39 orang peserta dalam bidang industri farmaseutikal dan kosmetik.

Tiga panel penceramah yang terlibat ialah Ketua Pegawai Strategi Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM), Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid; Pengarah Urusan AJ Pharma Holding, Dr. Tabassum Khan dan Pengarah Farmasi Markas Angkatan Tentera Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Dr. A. Halim Basari.

 

Proses pembuatan

Menurut Wan Amir-Jeffery, produk halal merangkumi proses pembuatan yang bersih, menepati standard pengeluaran dan bahan digunakan selamat.

“Kesedaran pengguna tentang famasutikal halal buat masa ini masih rendah dan mereka mempunyai persepsi bahawa aspek halal hanya untuk masyarakat Islam sahaja.

“Halal bukan untuk umat Islam semata-mata tetapi manfaatnya boleh disebarkan kepada semua,” katanya.

Isu dan cabaran yang dihadapi industri farmaseutikal halal bukan sahaja melibatkan kesedaran dan persepsi pengguna tetapi aspek pengawalan, standard dan sijil, industri serta modal manusia.

Sementara itu, Tabassum menjelaskan, farmasutikal halal bukan berkonsep komersial semata-mata.

“Farmasutikal halal mempunyai matlamat untuk mewujudkan komuniti ummah sihat yang menjadi pemangkin kecemerlangan dalam ekonomi dan kehidupan.

“Farmaseutikal halal juga melibatkan aspek saintifik yang memerlukan proses penyelidikan dan pembangunan agar ia bermanfaat kepada semua.

“Justeru, buatlah pilihan untuk tujuan yang tepat dan lakukan sesuatu perkara untuk tujuan yang tepat,” ujarnya.

A. Halim Basari pula membentangkan tentang cabaran masa hadapan agenda farmaseutikal halal dunia akibat daripada impak Revolusi Industri 4.0 (Forth Industrial Revolution – 4IR) yang kini hebat dibangunkan oleh dunia sains dan teknologi.

4IR telah menjadikan perbezaan antara sferafizikal, digital dan biologikal amat samar. Pelbagai teknologi baru 4IR telah dan akan mengubah cara pembuatan ubatan-ubatan di masa hadapan.

Antara teknologi 4IR yang dimaksudkan ialah robotik, artificial intelligence (AI), nanoteknologi, quantum computing, bioteknologi, The Internet of Things, pencetakan 3D dan kenderaan berautonomi.

Menurutnya, dua daripada tujuh jenis teknologi tersebut iaitu bioteknologi dan pencetakan tiga dimensi (3D) memberi kesan disruptif kepada pembuatan ubat dan pengurusan pensijilan halal farmaseutikal.

“Bioteknologi ialah teknologi yang mengubah suai organisme biologikal untuk kebaikan manusia melalui perubatan meliputi penemuan dan pengeluaran ubat farmaseutikal, farmakogenomik dan pengujian genetik dengan kos yang lebih murah dan jimat.

“Bioteknologi mengeksploitasi mikroorganisme untuk membuat ubat seperti vaksin dan ubatbiotek (biofarmaseutik),” katanya.

Mengulas lanjut, A. Halim berkata, pencetakan 3D dan pencetakan bio-3D pula merujuk kepada proses pencetak berteknologi tinggi direka cipta menghasilkan objek bukan organik dan organik 3D seperti rumah, peralatan dan kek.

Kini pencetak 3D boleh menghasilkan ubat dan telah diluluskan oleh pihak FDA dari Amerika Syarikat.

 

Pemahaman

“Pencetak bio-3D pula sudah mula menghasilkan sel darah merah, organ manusia dan lain-lain di makmal.

“Teknologi pencetak 3D ini menggunakan blueprint, dakwat khas dan kawalan komputer yang kompleks,” jelas beliau.

Pensijilan halal untuk ubat-ubat yang dihasilkan menerusi teknologi 4IR ini (bioteknologi dan pencetak 3D) memerlukan satu konsep pemahaman yang baharu. Ini kerana proses dan tatacara pembuatan serta bahan mentah yang digunakan jauh berbeza dan agak kompleks. Justeru, A.Halim mencadangkan penyelidikan dan pembangunan komponen halal untuk vaksin dan biofarmaseutik selari dengan teknologi 4IR bagi mengatasi cabaran masa hadapan.

“Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mendapatkan perincian input berkaitan kaedah proses dan teknologi pembuatan daripada pakar bioteknologi dan farmaseutikal demi mengeluarkan fatwa yang berkaitan dengan skop penggunaan untuk produk farmaseutikal berteknologi 4IR tersebut.

“Garis panduan Malaysia Standard (MS) 2424 versi tahun 2012 berkaitan Farmaseutikal Halal juga perlu dikaji semula apabila semakin banyak ubat dan perkhidmatan daripada pencetakan 3D atau bio-3D dihasilkan kelak.

“Inisiatif pensijilan halal perlu diteruskan bagi produk farmaseutikal, vaksin, ubat-ubatan bioteknologi dan peralatan perubatan kerana ini tanggungjawab kita kepada ummah,” ujarnya.