Lebih dikenali sebagai musim tengkujuh atau monsun timur laut, tiupan angin kencang berserta hujan lebat berterusan dalam tempoh beberapa hari boleh menyebabkan berlakunya banjir terutamanya di kawasan yang lebih rendah.

Walaupun tidak semua musim tengkujuh yang melanda negeri di Pantai Timur mengakibatkan banjir besar, namun beberapa kawasan masih berdepan dengan masalah tersebut menjejaskan kegiatan seharian selama berhari-hari.

Bermula hujung November lalu, beberapa kawasan di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang mula dilanda banjir. Namun, ia tidaklah seteruk banjir besar yang pernah berlaku di tiga negeri itu pada penghujung tahun 2014.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna penduduk di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang boleh menarik nafas lega.

Lemah

Langkah berjaga-jaga seharusnya diambil sebagai persiapan berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Ribut tropika Kai-Tak yang melanda Filipina baru-baru ini telah mula bergerak ke arah Laut China Selatan dan boleh mengakibatkan hujan lebat di Pantai Barat Sabah dan Pantai Timur Semenanjung.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis lalu turut menyatakan, ribut tropika Kai-Tak berkemungkinan akan melalui negeri Kelantan dan Terengganu dengan membawa angin berkelajuan kurang dari 50 kilometer sejam (kmj).

Namun, apa yang membimbangkan ialah MET Malaysia turut menjangkakan ribut tropika Tembin yang baru terbentuk di kawasan Kepulauan Sadaw di selatan Filipina akan turut bergerak ke arah utara perairan Sabah dan membawa angin kencang melebihi 50kmj dengan ketinggian ombak dijangka mencecah sehingga 3.5 meter.

Mengulas lanjut mengenai kedua-dua ribut tropika itu, Profesor Klimatologi dan Oseanografi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Fredolin Tangang berkata, walaupun Kai-Tak sudah menuju ke arah Sabah dan Pantai Timur Semenanjung, namun ia semakin melemah dan tidak sekuat ketika melanda kawasan tengah Filipina sehingga mengorbankan 54 nyawa.

“Ia mungkin disebabkan suhu permukaan laut di kawasan Laut China Selatan berhampiran perairan negara yang rendah telah mempengaruhi penurunan kekuatannya.

“Bagaimanapun, ia masih memberi kesan kepada kedua-dua kawasan (Pantai Timur Semenanjung dan Pantai Barat Sabah) dengan membawa hujan lebat selain boleh mengakibatkan banjir terutama di kawasan tanah rendah.

Bersedia

“Malah, banjir di beberapa kawasan di Sarawak yang berlaku ketika ini juga adalah kesan daripada ribut tropika Kai-Tak,” katanya.

Mengenai ribut tropika Tembin pula, beliau memberitahu, ia dijangka akan memberi kesan kepada kawasan utara Sabah sahaja.

Berdasarkan pemantauan, laluan ribut tersebut akan terus melalui utara Laut China Selatan dan terus menuju ke Vietnam.

Namun ribut Tembin mempunyai kekuatan yang lebih tinggi berbanding Tai-Tak dan berkemungkinan akan membawa angin kencang bersama hujan yang lebat.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Che Adam A. Rahman pula memberitahu, pihaknya telah menyalurkan segala maklumat berhubung ramalan cuaca khususnya di negeri berkenaan kepada pelbagai agensi penyelamat di peringkat negeri, daerah dan komuniti.

Ia bagi membolehkan kesemua pihak mengambil langkah bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita memang sentiasa memantau perkembangan berkaitan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia khususnya ribut tropika Tai-Tak dan Tembin.

“Malah, kita juga turut memantau perkembangan monsun timur laut yang sedang melanda di beberapa negeri di Pantai Timur Semenanjung bagi memastikan penduduk setempat dapat mengambil langkah awal sekiranya kawasan mereka dilanda banjir,” katanya.

Jelas Che Adam, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat berkaitan berkembangan cuaca daripada sumber yang sah bagi memastikan persiapan awal dapat dilakukan. Pada masa sama, mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.