Ramadan merupakan bulan umat Islam disyariatkan menunaikan ibadah puasa pada siang hari yang berbeza tempoh masanya mengikut kedudukan geografinya. Bagi Semenanjung Malaysia, umat Islam berpuasa selama hampir 14 jam selama 30 hari.

Walaupun angka tersebut dilihat sebagai jumlah yang besar, besar lagi manfaat puasa terhadap kesihatan manusia.

Menurut ahli dietetik Hospital Pakar KPJ Damansara, Rushda Adiba Ismail berpuasa selama hampir sebulan memberi pelbagai manfaat kesihatan terhadap tubuh badan manusia.

Proses berlapar ketika berpuasa sedikit sebanyak akan memberi perubahan khususnya dari segi fisiologi.

Lemak

“Ketika fasa awal berpuasa, proses pemecahan glikogen akan berlaku lalu membebaskan glukosa untuk tenaga.

“Selepas dua atau tiga hari, paras insulin yang rendah akan merangsang lipolisis dan penguraian lemak untuk tenaga.

“Kitaran proses tersebut yang berlaku selama sebulan itu lama-kelamaan akhirnya akan mengurangkan kandungan lemak dalam badan secara sihat,” jelasnya.

Tambah Rushda Adiba, selain berfungsi sebagai kaedah penurunan berat badan, berpuasa juga mampu mengawal paras gula dalam darah serta mengawal paras kolesterol. Bagi memastikan ibadah puasa itu dapat ditunaikan dengan lebih lancar, Rushda Adiba menyarankan pengambilan air sebanyak lapan gelas bersamaan satu hingga dua liter.

Katanya, pengambilan air yang secukupnya dapat mengekalkan penghidratan tubuh badan. Lapan gelas tersebut perlu dibahagikan kepada empat kali sesi seperti sahur, iftar, selepas solat Maghrib dan selepas solat sunat tarawih.

Selain itu, umat Islam juga disaran untuk makan dalam keadaan perlahan dan mengunyah makanan sehingga sempurna.

Ia bagi mengelakkan masalah penghadaman dan ketidakselesaan pada perut.

Tambahnya, bagi memudahkan proses penghadaman, umat Islam juga dinasihatkan untuk berbuka puasa dengan makanan seperti buah-buahan dan air kosong.

Pengambilan hidangan berat seperti nasi berlauk atau mi disaran selepas menunaikan solat Maghrib. Antara buah-buahan yang boleh diambil ialah kismis, prun dan kurma.

“Buahan-buahan itu kaya dengan nutrien, vitamin dan serat yang sangat penting untuk tubuh badan.

Pesta ibadah

“Kandungan fruktosa dan glukosa dalam buah-buahan tersebut berupaya menjadi penggalak tenaga segera bagi individu yang berpuasa mahupun para atlet,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis Puas Puas Puasa Kismis California di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi Pendakwah Bebas, Ustaz Muhammad Aizuddin Kamarul Zaman, umat Islam seharusnya menjadikan puasa sebagai pesta ibadah dan bukannya pesta juadah.

Walaupun tabiat pembaziran cenderung berlaku, namun ia mampu untuk dihindari sekiranya objektif sebenar berpuasa itu dicapai.

“Puasa bukan sahaja sekadar berlapar tanpa makan dan minum sehingga 14 jam semata-mata.

“Ia sebenarnya satu bentuk tarbiah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat dan mengawal nafsu pancaindera daripada perkara yang ditegah agama.

“Sepatutnya tabiat membazir itu tidak berlaku,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Baru-baru ini.

Jelas Muhammad Aizuddin, pengambilan kadar makanan ketika berbuka puasa perlulah sekadar cukup dan tidak melampau sehingga menyebabkan ibadah terganggu.