Walaupun gempa bumi itu lebih kecil berbanding gempa pertama serta gempa bumi susulan selepas itu, namun ia mendatangkan kemusnahan yang lebih besar apabila seramai 185 penduduk terkorban, manakala ribuan yang lain tercede­ra berbanding hanya satu kematian, itu pun akibat akibat serangan sakit jantung ketika bencana terdahulu.

Ini kerana, gempa bumi yang berlaku pada 2011 itu berlaku ketika kebanyakan penduduknya berada di sekolah atau di tempat kerja sama ada sedang belajar, makan tengah hari atau menjalankan tugas masing-masing.

Tangga runtuh

Berbanding gempa bumi kuta kira-kira enam bulan terdahulu, ia berlaku pada awal pagi ketika kebanyakan penduduknya berada di rumah.

Cerita seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Kris, ketika kejadian, dia yang ketika itu berada di bangunan Forsyth Barr bergegas keluar bersama-sama rakan sekerjanya yang lain.

“Lampu kecemasan di tangga ketika itu tidak berfungsi menyebabkan kami hampir tidak dapat melihat laluan di hadapan kami. Ketika itu kami menuruni tangga dari tingkat 15 ke 14.

“Salah seorang daripada kami kemudian teringat bahawa dia mempunyai lampu suluh dan ia membantu kami untuk bergerak dengan lebih pantas sebelum me­­n y­edari tangga menghampiri tingkat 14 telah runtuh. Kami tidak dapat turun dan terpaksa mencari laluan yang lain untuk turun ke bawah,” ceritanya.

Setelah memastikan diri sendiri selamat, kebanyakan penduduk bergegas memastikan keselamatan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak. Sejak gempa bumi pada September berlaku, pihak sekolah kerap mengadakan latihan gempa biasa kepada para pelajar. Kanak-kanak prasekolah juga sudah biasa dengan latihan kecemasan yang dikenali sebagai the turtle. Bagaimanapun, ibu bapa tetap berasa bimbang dan bergegas ke sekolah anak masing-masing secepat mungkin.

Kesan gempa kuat itu telah menyebabkan banyak bangunan runtuh atau menjadi tidak selamat, namun tiada kanak-kanak yang cedera parah atau terbunuh di sekolah.

Selepas kejadian gempa tersebut, kebanyakan penduduk bergegas mencari keluarga masing-ma­sing. Selain itu, terdapat juga penduduk yang tidak ke mana-mana sebalik­nya memberi bantuan kepada ma­ngsa-mangsa yang terjejas di tempat mereka berjam-jam lamanya.

Terperangkap

Sebelum gempa bumi pada 22 Februari itu berlaku, penduduk Canterbury telah mengalami berpuluh-puluh kejadian gempa bumi susulan berskala kecil sejak September 2010.

Walaupun gempa bumi pada Februari itu dikategorikan sebagai gempa bumi suslan, tetapi ia turut menghasilkan gempa susulan tersendiri termasuk gempa bermagnitud 5.8 pada pukul 1.04 petang dan 5.9 Richter pada pukul 2.50 petang hari yang sama.

Gempa bumi susulan amat berbahaya bagi mangsa yang terpe­rangkap di bawah runtuhan atau bangunan serta mereka yang cuba menyelamatkan mangsa.

Salah seorang mangsa, Lyn Reid yang cedera dalam kejadian itu ter­pe­rangkap di dalam bangunan tempatnya bekerja selama lebih tiga jam sebelum berjaya di­selamatkan.

“Ketika terperangkap, saya bimbang bangunan ini akan runtuh. Saya juga hanya menjerit dan menangis minta diselamatkan,” kata wanita berkenaan.

Daripada jumlah 185 yang maut, 115 menemui ajal di bangunan Canterbury Television (CTV), 18 di bangunan Pyne Gould Corporation (PGC), 36 di pusat bandar terma­suk lapan di dalam bas dan 12 lagi di pinggir bandar. Empat lagi kematian pula diputuskan mempunyai kaitan dengan gempa bumi itu.

Jumlah mangsa yang cedera juga adalah tiga kali ganda lebih ramai berbanding mangsa pada gempa bumi pada bulan September 2010.