Masyarakat kini menjadikan media sosial sebagai rujukan utama untuk mengetahui berita terkini (sama ada palsu atau benar) serta membeli dan mempromosi perniagaan.

Tidak kurang juga yang menggunakan medium itu sebagai tempat meluahkan perasaan kecewa berbanding bercerita kepada keluarga dan insan rapat.

Sejak akhir-akhir ini, melarat pula kisah berhibur menggunakan aplikasi seperti Bigo dan Tik Tok yang memerlukan pengguna melakukan pelbagai aksi seperti menari, melompat dan sebagainya mengikut lagu yang disediakan.

Terbaharu, bukanlah aplikasi tetapi trend semasa yang digelar Keke Challenge. Ia merupakan tarian yang perlu dilakukan di luar kereta dan dalam keadaan kereta bergerak sambil mengikut rentak lagu In My Feelings dendangan artis antarabangsa, Drake.

Secara umumnya, tiada masalah mengenai cabaran mahupun aplikasi yang disebut di atas.

Apa yang dikesalkan ialah apabila muncul pengguna dalam kalangan wanita terutamanya yang beragama Islam tanpa segan silu menari dan berjoget dengan penuh erotik demi perkara yang disebut sebagai hiburan mengikut trend.

Penceramah dan Pensyarah Akademi Islam, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Asmak Husin percaya, perkara ini terjadi kerana kurangnya ilmu mengenai adab berhibur yang dituntut oleh Islam.

Katanya, agama Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berhibur, namun perlulah berdasarkan landasan yang betul.

“Pertama sekali, lihat dahulu tujuan hiburan tersebut. Atas manfaat apa yang kita boleh dapat melalui hiburan yang kita lakukan itu?

Jika untuk diri dikenali, mendedahkan aurat, tarian seksi dan sebagainya, pasti ia adalah hiburan yang ditolak oleh Islam.

“Kedua, dalam berhibur, jagalah pergaulan.

“Wanita umpamanya, hendak menari, berzumba dan sebagainya boleh tetapi lakukanlah secara berseorangan atau dalam kalangan Muslimah semata-mata.

“Jangan pula merakam video untuk dipertontonkan kepada seluruh dunia agar tidak timbul fitnah,” pesannya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Asmak, umat Islam tidak boleh membiarkan aplikasi alam maya mengawal kehidupan kita sehingga membenarkan perkara yang tidak sihat kepada agama, bangsa dan negara.

Antaranya ialah mencipta pengaruh tidak elok kepada kanak-kanak dan remaja serta membuatkan Islam dipandang rendah oleh musuh Islam.

Bersetuju dengan Asmak, penceramah merangkap peserta Pencetus Ummah (PU) musim ketiga, Mohd. Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, kesan negatif budaya mengikut trend kini telah berlaku dalam masyarakat.

Rosak akidah

“Lihat sahaja sekarang, demi trend yang boleh mempopularkan mereka, betapa ramai masyarakat kita yang sanggup mengetepikan rasa malu dan harga diri.

“Lebih parah, apabila ada netizen dan pihak yang menegur, wujud pula respons seperti ‘jangan terlalu kolot’, ‘buat ini sekadar suka-suka’ dan ‘jika tak suka jangan tengok’. Secara jujurnya, ia bukan sekadar merosakkan akhlak tetapi akidah umat Islam,” kongsinya yang lebih dikenali sebagai PU Amin.

Beliau berkata, kehidupan umat Islam yang sepatutnya sejahtera dan indah kini mula kacau-bilau disebabkan kelalaian masyarakat terhadap agenda sosial yang merosakkan seperti yang telah disebutkan oleh sebuah hadis.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.”

Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”

Nabi menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim).

Untuk itu, Amin yang turut menerima kecaman daripada netizen ekoran keberaniannya menegur tindakan tarian Keke Challenge tersebut menyeru agar masyarakat tidak menjadikan hiburan sebagai teraju atau tujuan utama dalam hidup.

“Teknologi dan hiburan semestinya akan bergerak seiringan dengan perkembangan semasa. Kita sebagai manusia yang mempunyai agama dan pegangan, jangan terlalu mengikut nafsu kelak ia membawa binasa,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan (Psikologi Sosial), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Azlina Mohd. Khir menasihatkan masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan penting dalam menolak perlakuan tidak manis dalam khalayak ramai semata-mata untuk mengikut trend.

“Pengguna media sosial masa kini gemar berkongsi dan menyukai respons yang dianggap pelik dan terkini. Ia sekali gus bagai menggalakkan masyarakat termasuk wanita untuk melakukan apa sahaja untuk ‘diiktiraf’ komuniti maya.

“Justeru, penting untuk masyarakat terutamanya ibu bapa untuk memberikan pendedahan kepada anak tentang penggunaan media sosial dan juga bahayanya mengekspresikan diri tanpa batasan di ruang maya itu agar mereka lebih matang dalam menggunakan teknologi dengan baik,” katanya.